Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 31 Oktober 2015

KTMB baik pulih jambatan rosak akibat banjir di Kemubu

KUALA KRAI: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini memulakan kerja membaik pulih jambatan kereta api di Kemubu di sini, yang rosak dihanyut banjir pada akhir tahun lepas.

Presiden KTMB, Left Kol (B) Sarbini Tijan berkata projek berkenaan yang melibatkan lima fasa bernilai RM17.5 juta, turut melibatkan pemasangan semula kerangka jambatan itu seberat 112 tan yang merentasi Sungai Galas.

"Kerja membaik pulih jambatan tersebut akan mengambil masa selama 15 bulan untuk disiapkan sepenuhnya iaitu pada Disember tahun depan," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja pemulihan trek dan jambatan terlibat di sini, hari ini.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Dabong Datuk Ramzi Ab Rahman dan Pengurus Wilayah Timur KTMB Sadun Abdullah.

Sarbini berkata, kerja membaik pulih jambatan itu mungkin menjadi perlahan berikutan musim tengkujuh yang dijangka bermula bulan depan hingga Mac ini.

Beliau berkata, projek membaik pulih jambatan dan trek landasan itu adalah bagi memberi kemudahaan dan keselesaan kepada masyarakat yang sering menggunakan perkhidmatan kereta api.

Sementara itu, Ramzi berkata perkhidmatan kereta api merupakan pengangkutan utama khususnya kepada penduduk di kawasan Dabong dan usaha KTMB membaik pulih jambatan itu memberi kelegaan kepada penduduk.

Beliau berkata, selain trek landasan kereta api, laluan pejalan kaki dan motosikal turut disediakan di jambatan berkenaan untuk kemudahan penduduk berulang alik antara Kampung Kemubu dan Kampung Bertam. 

Sumber: Bernama | 28 Okt. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan