Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 10 Oktober 2015

Madrasah Ad Diniah Al Yusofiah boleh guna peruntukan RM252,000 bina semula bangunan terbakar

PASIR PUTEH: Pentadbiran Madrasah Ad Diniah Al Yusofiah di Pasir Mas boleh menggunakan peruntukan RM252,000 sumbangan Kerajaan Persekutuan untuk membina semula bangunan baharu menggantikan 48 pondok yang musnah dalam kebakaran, Isnin lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis graduasi kali pertama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selising di sini, malam tadi.

Dalam kebakaran itu, sebanyak 48 pondok madrasah, antara yang terbesar di negara ini, musnah menyebabkan 60 pelajarnya tinggal sehelai sepinggang.

Asyraf Wajdi berkata dengan peruntukan itu, pihak madrasah boleh membina semula bangunan baharu yang lebih selesa untuk pelajarnya di samping menitik beratkan ciri keselamatan termasuk pendawaian elektrik.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, beliau berkata Tabung Haji (TH) akan terus mengeluarkan subsidi bagi kos mengerjakan ibadat haji kepada setiap bakal haji tahun depan walaupun ekonomi dunia tidak menentu.

Beliau berkata rancangan itu selaras dengan penubuhan asal TH untuk membantu bakal haji bagi meringankan beban mereka hasil keuntungan pelaburan TH dari dalam dan luar negara.

Asyraf Wajdi berkata umat Islam di negara ini bernasib baik kerana menanggung kos menunaikan haji yang lebih rendah disebabkan mempunyai sebuah kerajaan yang sangat prihatin dengan tuntutan Islam.

"Ia sangat berbeza dengan umat Islam di negara jiran, mereka terpaksa menangung kos sebanyak RM20,000 seorang jika mahu menunaikan haji berbanding tidak sampai RM10,000 seorang yang perlu ditanggung oleh umat Islam di negara ini," katanya.

Sumber: Bernama | 9 Okt. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan