KOTA BHARU: PAS hanya bersedia menjalin kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam perkara yang membawa kebaikan dan kebajikan kepada rakyat dan bukan atas dasar politik.
Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata perkara tersebut telah menjadi dasar PAS sejak sekian lama.
"Contohnya dalam masalah banjir yang melanda Kelantan akhir tahun lepas, kita boleh berkompromi, kita boleh bincang dan ketepikan dari segi politik untuk menyelamatkan rakyat kita...itu perkara berkebajikan.
"Jadi pada pokoknya itulah yang dikehendaki presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang)," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, Rabu.
"Dalam hal ini (kebajikan) politik tidak berbangkit.. politik kita dasar masing-masing. Tetapi kerjasama politik, tidak sama sekali," katanya.
Beliau diminta mengulas berhubung pendirian Abdul Hadi yang sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan UMNO dalam perkara yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
Sumber: Bernama | 28 Okt. 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan