Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 24 Oktober 2015

Program penerangan mengenai projek pembangunan untuk Kelantan dalam Bajet 2016 dan RMK11 - Mustapa

KOTA BHARU: Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan akan menganjurkan program penerangan mengenai projek pembangunan yang diperuntukkan Kerajaan Persekutuan dalam Bajet 2016 dan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) untuk dilaksanakan di Kelantan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri akan menyenaraikan semua projek pembangunan itu dan kemudiannya akan dihebahkan kepada semua pihak di negeri ini melalui program penerangan berkenaan.

"Walaupun tiga projek sahaja disebut dalam Bajet 2016 iaitu pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa dan pembinaan dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) iaitu di Ketereh (Kota Bharu) dan Tanah Merah, ini bukan bermakna hanya tiga projek itu sahaja yang akan dilaksanakan di Kelantan.

"Kita akan perjelaskan kepada rakyat bahawa terdapat banyak lagi projek yang sedang dan akan dilaksanakan. Kelantan terus mendapat pembelaan daripada Kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Menteri Mentor UMK mengulas Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat semalam.

Mustapa berkata beliau akan memastikan semua pihak termasuk pegawai kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat dan parti politik mendapat penerangan yang jelas berkaitan usaha-usaha yang dilakukan Kerajaan Persekutuan untuk membantu rakyat Kelantan.

Sementara itu di TUMPAT, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan pembinaan dua MRSM itu akan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri ini.

Beliau berkata pembesaran lapangan terbang itu akan dapat menampung jumlah penumpang dan bilangan penerbangan yang semakin meningkat selain memberi keselesaan kepada orang ramai.

Sumber: Bernama | 24 Okt. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan