Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 24 Oktober 2015

Kerajaan Kelantan akan pantau iklan di tempat awam

Md Anizam (depan, dua kanan) turut melancarkan kedai buku bergerak pertama di Kelantan iaitu Ujana Buku DBP, semalam.
KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan memastikan pihak swasta yang mahu memasang iklan di tempat awam mematuhi peraturan ditetapkan dan tidak meminggirkan bahasa kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Datuk Md Anizam Abd Rahman yang mewakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, langkah yang diambil melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut melibatkan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Dalam situasi ini, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas dan wajar, selaras undang-undang kecil atau peraturan tertentu sedia ada untuk memastikan Kelantan bebas gejala pencemaran bahasa serta penggunaan bahasa yang tidak mencerminkan jati diri Malaysia,” katanya, semalam.

Teks ucapan Menteri Besar itu dibaca Md Anizam pada Majlis Perasmian Karnival Bahasa dan Pelepasan Perarakan Konvoi 1 Bahasa sempena Bulan Bahasa Kebangsaan. Turut hadir, Exco kerajaan negeri, Dr Ramli Mamat; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Prof Dr Zaharani Ahmad dan Pengarah DBP Wilayah Timur, Che Zainab Omar.

Dalam pada itu, Md Anizam berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan pelbagai pihak yang berhasrat mengadakan pelbagai program membabitkan bahasa dan sastera di negeri ini bagi memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri memartabatkan bahasa kebangsaan negara ini.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) juga akan berusaha menjayakan apa sahaja hasrat kerajaan dan rakyat untuk melihat martabat bahasa kebangsaan diletakkan di kedudukan sepatutnya.

“Kami juga akan menyerlahkan penggunaan tulisan Jawi sebagai sebahagian komitmen kami ikut serta menjayakan dasar kerajaan, khususnya berkaitan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.

Pada majlis itu, Md Anizam turut melancarkan kedai buku bergerak pertama di Kelantan iaitu Ujana Buku DBP.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 23 Okt. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan