KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyasarkan kedatangan enam juta pelancong ke negeri ini, terutamanya dari Thailand, Singapura, Brunei dan negara Eropah, bersempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata jumlah kemasukan pelancong ke Kelantan tahun ini setakat September lepas adalah kira-kira tiga juta orang terdiri daripada pelancong domestik dan antarabangsa.
"Kita jangka ramai pelancong akan datang ke Kelantan pada tahun depan. Kita juga bercadang mengadakan promosi di luar negara seperti Hat Yai (Thailand), Singapura dan tempat lain," katanya pada sidang akhbar berkaitan TMK 2016 di sini, Selasa.
Md Anizam berkata melalui TMK 2016 yang bertemakan 'Menyusuri Warisan', pelancong berpeluang menyaksikan warisan budaya penduduk negeri ini dengan lebih dekat.
Beliau berkata pihaknya juga bersedia bekerjasama dengan industri pengangkutan dan perkhidmatan, perhotelan, kebudayaan dan industri makanan bagi memastikan sasaran itu tercapai.
Md Anizam berkata sebanyak 34 program termasuk persembahan kebudayaan akan diadakan bersempena TMK setiap bulan yang dianjurkan oleh Pusat Pelancongan Negeri Kelantan dan Muzium Negeri Kelantan.
"Pihak kami juga bercadang untuk menambah pemandu pelancong dalam kalangan pemuda-pemuda kita yang berminat dengan industri pelancongan," katanya.
Majlis pelancaran TMK 2016 akan diadakan di sini pada Sabtu ini (31 Okt), pada pukul 8.30 malam.
Sumber: Bernama | 27 Okt. 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan