Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 22 Februari 2018

Kaji semula peraturan berkaitan aktiviti pembalakan - Shahidan

GUA MUSANG: Kerajaan Kelantan perlu mengkaji semula peraturan berkaitan aktiviti pembalakan di negeri itu berikutan kebanyakan syarikat yang mendapat kawasan pembalakan membuang sisa kayu balak ke dalam sungai hingga menyekat pengaliran air.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata perkara itu perlu dilihat secara positif kerana ia membabitkan kemusnahan alam sekitar, sekali gus turut menjejaskan penduduk Orang Asli yang bergantung kepada air sungai.

"Saya dapat lihat sendiri sisa kayu balak dicampak ke dalam sungai hingga mematikan pengaliran air," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan sekumpulan penduduk Orang Asli yang mengadakan sekatan di laluan lori balak di Kampung Cawas, Pos Bihai, di sini hari ini.

Shahidan turut mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along berhubung sekatan itu yang dibina sejak seminggu lalu sebagai bantahan terhadap aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan kerana didakwa memusnahkan sumber hutan dan berlakunya pencemaran.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Datuk Azmy Yahya dan Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang Tuan Mustapha Tuan Soh.

Sementara itu, Shahidan menasihati penduduk Orang Asli yang mengambil tindakan mengadakan sekatan tersebut berbincang mengikut saluran yang betul dengan pihak berkenaan khususnya kerajaan negeri.

Pada masa sama, Shahidan berkata beliau sedia mendengar sebarang aduan daripada komuniti itu yang berkaitan kerajaan persekutuan dan akan membawa aduan tersebut kepada agensi berkaitan.

"Saya datang bertemu dengan mereka (penduduk Orang Asli) kerana ingin menjaga kebajikan mereka berikutan ada antaranya yang tinggalkan anak isteri di rumah untuk bersama-sama menuntut hak mereka dengan mengadakan sekatan terbabit,"katanya.

Sumber: Bernama | 21 Februari 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan