Kompleks Hospital Kuala Krai yang baharu di Kuala Krai, Kelantan. |
KUALA KRAI: Pembinaan Hospital Kuala Krai yang baharu bernilai RM300 juta di Pahi di sini, dijangka siap sepenuhnya pada 30 Mac ini.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata hospital bertaraf antarabangsa yang mula dibina pada 2014 itu kini sudah 99.05 peratus siap.
"Kita berharap kerja pembinaan yang berbaki 0.5 peratus dapat disiapkan lebih awal (dari 30 Mac) dan kita akan bawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merasmikan hospital ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau pembinaan hospital itu hari ini.
Berkonsepkan hospital dalam taman di tapak seluas 100 hektar, selain menempatkan 268 katil, ia juga mempunyai lapan dewan bedah, beberapa klinik pakar, laluan berjoging, padang bola dan gelanggang serbaguna.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata hospital enam tingkat itu turut memberi perkhidmatan pakar kepada penduduk jajahan lain termasuk Gua Musang, Tanah Merah, Jeli dan Tanah Merah.
Mustapa berkata perjawatan di hospital baharu ini bertambah kepada 2,700 kakitangan berbanding 900 di Hospital Kuala Krai sekarang.
Dengan kewujudan hospital itu, katanya ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan jajahan Kuala Krai bagi memakmurkan rakyat.
"Ia akan membawa limpahan ekonomi seperti peluang perniagaan, kawasan perumahan dan riadah baharu serta pelbagai lagi yang akan meningkatkan pendapatan rakyat," katanya.
Beliau berkata Hospital Kuala Krai adalah antara projek besar berimpak tinggi Kerajaan Persekutuan bagi membuktikan bahawa janji ditepati.
Sumber: Bernama | 11 Februari 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan