GUA MUSANG: Projek pembinaan 300 unit rumah generasi kedua Felda di Rancangan Tanah Felda Chiku 6 di sini, yang tertangguh lebih setahun disebabkan halangan status tanah, akan diteruskan semula tidak lama lagi.
Anggota Dewan Undangan Negeri Paloh Datuk Nozula Mat Diah berkata pihak pengurusan Felda sedang menyelesaikan masalah itu dengan kerajaan negeri bersama Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.
"Felda akan membuka semula tender untuk melantik kontraktor baharu sebaik urusan status tanah selesai, ini kerana kontraktor yang dilantik sebelum ini sudah menarik diri berikutan penangguhan projek yang terlalu lama," katanya kepada Bernama selepas meninjau tapak projek tersebut hari ini.
Beliau berkata generasi kedua Felda terlibat perlu faham projek itu tertangguh disebabkan bidang kuasa tanah, adalah bawah kerajaan negeri pimpinan Pas.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan Persekutuan juga akan membina rumah untuk generasi kedua Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
Katanya kerajaan Persekutuan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi membina 40 unit rumah fasa pertama melibatkan di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 2 di sini.
Sumber: Bernama | 27 Januari 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan