Khairy Jamaluddin (kiri) dan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika Program Townhall di Kompleks Uthmaniyah Kampung Pulau Lima, Pasir Puteh hari ini. |
PASIR PUTEH: Impian penduduk jajahan ini untuk memiliki sebuah kompleks sukan sendiri menjadi kenyataan apabila kemudahan tersebut yang bernilai RM8 juta akan dibina berhampiran Terusan Semerak, Tok Bali di sini dalam masa tedekat.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, kompleks sukan berkenaan merupakan antara 14 kompleks sukan baharu yang akan dibina kerajaan sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2018.
Beliau berkata, pelbagai kemudahan akan disediakan dalam kompleks berkenaan dengan mengambil kira keperluan penduduk setempat.
"Kita belum menentukan lagi bila projek ini bermula, namun pembinaan kompleks di atas tanah seluas enam hektar ini akan mengambil masa antara 12 hingga 18 bulan," katanya.
Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Townhall Bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Kompleks Uthmaniyah, Kampung Pulau Lima, di sini hari ini.
Program itu diadakan sempena Fiesta Sehati RTM @ AKOK 25.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman.
Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 9 Februari 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan