Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 24 Februari 2018

RM5.5 juta bantu warga emas, ibu tunggal, bina masjid di Pasir Mas

PASIR MAS: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan peruntukan RM5.5 juta bagi membantu warga emas, ibu tunggal, pembinaan dan baik pulih dua masjid di kawasan Parlimen Pasir Mas.

Selain itu, beliau turut mengumumkan sejumlah peruntukan bagi membina 647 unit Rumah Bina Baharu (RBR) dan membaik pulih 1,230 rumah.

Beliau berkata peruntukan RM5.5 juta itu merangkumi RM500,000 bagi membantu warga emas dan ibu tunggal, RM4 juta bagi membina bangunan baharu Masjid Bunut Susu dan RM1 juta bagi membaik pulih Masjid Iktikaf Kampung Atas Pinggir di sini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Rakyat di Dataran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Tendong, di sini hari ini.

Hadir sama isteri Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas Senator Datuk Hanafi Mamat.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyerahkan replika cek bernilai RM1 juta kepada Pengerusi Masjid Iktikaf Kampung Atas Pinggir, Arifin Idris.

Ahmad Zahid berkata Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menganaktirikan Kelantan walaupun ia telah diperintah oleh pembangkang sejak 28 tahun lepas.

Beliau berkata BN reda dengan keadaan tersebut dan tidak pernah berhasrat untuk menyekat sebarang pembangunan di negeri berkenaan terutama di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Namun dalam pada itu, beliau berkata rakyat Kelantan harus bersyukur dan mengucapkan terima kasih atas segala nikmat pembangunan yang dikecapi menerusi pelbagai peruntukan yang diberi kerajaan persekutuan selama ini.

"Rakyat kena pilih orang yang memberi, tanda syukur kita kepada Allah Taala. Oleh yang demikian kita merasakan bahawa angin perubahan telah sampai. Tapi kalau kita tolak nikmat maka kita kufur kepada nikmat (yang diberikan).

"Dalam keadaan ini mintalah kepada yang ada, berteduhlah di dahan yang rendang, bermudiklah di muara yang tenang. Sesungguhnya dahan yang rendang dan muara yang tenang adalah Barisan Nasional. Kini masanya untuk kami (BN) mengambil alih Kelantan," katanya.

Sumber: Bernama | 24 Februari 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan