Jambatan sementara Pulau Setelu, Gua Musang, Kelantan berkabus tebal pagi ini. |
GUA MUSANG: Cuaca dingin dirasai penduduk di Gua Musang sejak beberapa hari lalu. Tinjauan mendapati cuaca sejuk dan kabus tebal melanda kawasan ini ketika awal pagi.
Bacaan suhu melalui aplikasi telefon bimbit juga mencatat suhu rendah antara 17 sehingga 21 celcius setiap pagi.
Seorang peniaga di bandar Gua Musang, Hasnah Deraman, 46, berkata, cuaca dingin yang melanda daerah ini boleh dianggap luar biasa.
Katanya, setiap pagi cuaca berkabus dan udaranya agak sejuk. “Rasanya sudah hampir seminggu cuaca dingin seperti ini.
“Paling ketara waktu pagi dan malam apabila tidur tidak perlu pasang kipas serta tidur dengan memakai baju sejuk,” katanya di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk Rohaizad Che Soh, 41, yang tinggal di Kampung Pulau Setelu di sini juga mengakui perkara itu.
Katanya, pada waktu pagi sejuknya terasa hingga ke tulang dan kabus tebal melanda di kawasan kampung sehingga menjejaskan pandangan.
“Waktu siang walaupun panas, sesekali angin datang terasa sejuk juga.
“Mungkin keadaan ini menandakan musim kemarau akan tiba kerana sebelum ini musim tengkujuh melanda daerah ini.
“Kita juga menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila melalui jambatan sementara Pulau Setelu pada awal pagi kerana kabus tebal,” katanya.
Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 11 Februari 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan