KOTA BHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan melaksanakan projek tebatan banjir di sepanjang Sungai Golok demi manfaat penduduk dalam usaha mengurangkan kesan bencana tersebut yang berlaku saban tahun di Kelantan.
Katanya projek tebatan ini dan juga projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 adalah antara senarai projek yang akan dilaksanakan di negeri ini.
"(Projek tebatan banjir di lembangan Sungai Golok) adalah projek lain tapi itu pun dalam senarai kita. Kita akan laksanakan apabila sampai masanya dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tengah melihat projek ini untuk dilaksanakan," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perjumpaan bersama penjawat awam kerajaan persekutuan dan negeri di Wisma Persekutuan di sini, hari ini.
Majlis yang dihadiri lebih 10,000 penjawat awam itu turut disertai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Yahaya Mamat.
Disember lepas, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Hamim Samuri dipetik sebagai berkata Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan projek tebatan banjir bernilai RM300 juta di sepanjang Sungai Golok di Tumpat pada tahun ini bagi mengatasi masalah 'banjir termenung' di jajahan itu.
Beliau dilaporkan sebagai berkata projek tebatan banjir sepanjang 26 kilometer itu akan bermula di Pengkalan Kubor hingga ke Kuala Jambu di Tumpat.
Mengulas mengenai PLSB pula, Najib berkata kerajaan sedang mempertimbang untuk melaksanakan fasa kedua dan ketiga projek berkenaan bagi mengurangkan impak bencana tersebut kepada lebih 100,000 penduduk di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu dan Machang yang terkesan dengan banjir.
"Masalah pencegahan banjir ini tak akan selesai sepenuhnya melainkan kita dapat siapkan fasa kedua dan ketiga dan juga dapat mengawal puncanya iaitu di hulu sungai.
Ini akan kita pertimbangkan pada masa akan datang tertakluk kepada kemampuan kewangan kita. Komitmen kita kepada Kelantan ini memang tinggi dan kita akan laksanakan berdasarkan janji kita kepada rakyat Kelantan," katanya.
Projek PLSB Sungai Kelantan Fasa 1 yang bernilai RM572 juta itu, dijangka dapat mengelakkan lebih 100,000 penduduk di jajahan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bahru, Tanah Merah dan Machang daripada dipindahkan akibat banjir serta turut menyelamatkan infrastruktur dan harta benda awam di sepanjang 10 kilometer tebing sungai berkenaan.
Sumber: Bernama | 28 Januari 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan