GUA MUSANG: Kerajaan Persekutuan membelanjakan sejumlah RM58 juta setiap tahun untuk membayar elaun kepada 5,252 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Kelantan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan Muhammad Zahari Othman berkata justeru, beliau mahu setiap guru Kafa yang dilantik sentiasa ikhlas dalam mendidik pelajar beragama Islam mengenai asas agama sebagaimana sukatan pelajaran yang ditetapkan.
"Walaupun kita menerima laporan ada guru Kafa yang tidak berdisiplin, malas mengajar dan datang lewat, namun saya tidak mahu tugas yang diamanahkan dijalankan sambil lewa dan tidak mencapai objektif yang ditetapkan.
"Sikap segelintir guru Kafa itu hanya mencerminkan amalan tidak baik dan sekali gus kualiti perkhidmatan mendidik murid beragama Islam akan terjejas" katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Guru Kafa Sesi 2018 Parlimen Gua Musang di Dewan Sekolah Menengah Sains Gua Musang di sini, hari ini.
Penyampaian watikah kepada 346 guru Kafa itu dilakukan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Muhammad Zahari turut melahirkan rasa hairan dengan sikap sesetengah guru Kafa yang mula berubah selepas menerima watikah pelantikan.
"Guru Kafa yang mempunyai sikap seumpama itu perlu fikir cara terbaik untuk berubah kerana kerajaan membayar elaun begitu besar setiap bulan," katanya.
Sumber: Bernama | 26 Januari 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan