Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 12 Februari 2018

Hospital Kuala Krai bertaraf antarabangsa

Kompleks Hospital Kuala Krai (HKK) yang baharu di tepi Lebuh Raya Kuala Krai - Gua Musang.
KUALA KRAI: Hospital Kuala Krai baharu yang kini 99.5 peratus siap mempunyai kemudahan canggih bertaraf antarabangsa.

Ketua BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tidak banyak hospital di dunia yang mempunyai kemudahan seperti yang terdapat di hospital ini.

"Bukan sahaja canggih malah hospital ini akan turut mempunyai jawatan baharu, doktor pakar, berikutan pertambahan bilik bedah daripada dua di hospital lama kepada lapan bilik bedah baharu.

"Sementara itu, kakitangan juga akan meningkat daripada 900 kepada 2,700 orang, tidak lama lagi," katanya ketika lawatan ke Hospital Kuala Krai baharu, hari ini.

Turut serta, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Yahaya Mamat; Pemangku Timbalan Pengarah Perubatan, Dr. Maizon Mohd Zain dan Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, pertambahan kakitangan akan memberikan kesan besar terhadap kawasan sekitar hospital dengan permintaan tinggi terhadap tempat tinggal, pusat riadah serta pusat perniagaan.

"Apabila dibuka kelak, hospital ini bakal menjadi projek terbesar bukan sahaja di Kuala Krai malah di Kelantan.

"Ia juga bakal membuka peluang pekerjaan serta peluang perniagaan kepada masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata, ramai menganggap kerajaan pusat bertanggung jawab menyediakan segala kemudahan untuk rakyat.

"Memang benar tanggung jawab kerajaan,tetapi sebenarnya bukan mudah untuk mendapatkan sesuatu projek,ia memerlukan perancangan serta kepimpinan yang baik, kita bernasib baik Datuk Seri Najib prihatin dengan rakyat Kelantan," katanya .

Beliau berkata, banjir besar Disember 2014 memberikan kesan besar terhadap Kuala Krai.

"Segala kerosakan termasuk rumah guru, sekolah serta institusi agama berjaya disiapkan," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 11 Februari 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan