Hospital
baharu Kuala Krai yang masih dalam pembinaan dijangka siap bulan depan dan akan
dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
|
Sejarah hitam yang berlaku lebih tiga tahun lalu itu sukar dipadam daripada memori penduduk. Namun, ia sedikit pun tidak menghalang mereka untuk bangkit dan berdiri semula bagi meneruskan kehidupan masing-masing.
Bantuan daripada Kerajaan Persekutuan tidak putus-putus menjadi tulang belakang. Sehingga kini, sebanyak RM71.45 juta telah diperuntukkan bagi membina sebanyak 1,299 rumah kekal baharu (RKB) di seluruh negeri. Daripada jumlah itu, sebanyak 896 unit RKB dibina di Kuala Krai.
Sebanyak RM50 juta lagi dibelanjakan bagi membaik pulih sejumlah 5,003 rumah penduduk yang rosak akibat banjir tersebut.
Kerajaan Pusat juga telah membiayai pelbagai projek di jajahan ini biarpun ada di antaranya di bawah tanggungjawab kerajaan negeri. Pembinaan pejabat Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) bernilai RM5.5 juta adalah buktinya.
Dataran Guchil, Pasar Besar Dabong dan Pasar Besar Manik Urai juga dibina atas prihatin Kerajaan Pusat. Ke semua pasar ini melibatkan peruntukan lebih RM600,000 dan telah diserahkan kepada MDKK untuk diuruskan.
Kuala Krai juga merupakan jajahan di negeri ini yang paling banyak menerima peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dengan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur bagi membangunkan semula kawasan ini.
Semua ini bukan ‘datang bergolek’ jika tidak ada pemimpin tempatan seperti Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab. Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong dan dibantu oleh timbalannya, Tuan Aziz Tuan Mat untuk meyakinkan pucuk pimpinan negara khususnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed tentang keadaan di jajahan tersebut.
Salah satu projek paling ditunggu-tunggu penduduk ialah pembinaan Hospital Kuala Krai (HKK) bernilai RM304.7 juta dibina di atas tapak seluas 100 hektar di Kampung Pahi, kira-kira tujuh kilometer dari pusat bandar.
Seorang penoreh getah dari Kampung Manjor, Mohd. Hafiz Mohd. Alwi, 32, mengakui, dia sudah membayangkan dirinya sebagai antara ribuan penduduk Kuala Krai yang bakal menerima manfaat daripada projek berimpak tinggi tersebut.
“Selama ini saya berulang-alik membawa ayah untuk pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Krai yang lama di pusat bandar. Hospital itu jauh dari rumah kami. Kemudahannya pula terhad, kawasannya sempit dan sering dipenuhi orang ramai.
“Sudah tentu saya tidak sabar mahu membawa ayah ke hospital baharu yang lebih lengkap, lebih luas dan lebih selesa,” katanya.
Dengan pelbagai limpahan pembangunan sampingan seperti pembinaan kediaman dan premis komersial yang bakal wujud selepas ini, kehadiran HKK di situ boleh diibaratkan sebuah impian yang akhirnya menjadi kenyataan bagi penduduk Kuala Krai.
HKK yang kini sudah 99 peratus siap menawarkan 2,700 perjawatan, 268 katil, 11 wad dan lapan bilik bedah serta doktor pakar sepenuh masa. Hospital kebanggaan warga Kuala Krai itu dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bulan depan.
Dalam pada itu, pembinaan jambatan kekal merentangi Sungai Lebir yang menghubungkan Kampung Pemberian dan Kampung Manjor bernilai RM27 juta turut menjadi tumpuan. Projek itu kini mencapai 32 peratus dan dijangka siap November ini.
Apabila siap, kemudahan itu bakal menyelesaikan masalah lebih 2,500 penduduk di situ yang sering terputus hubungan akibat jambatan rosak setiap kali hujan lebat.
“Selama ini kami dihubungkan dengan jambatan sementara yang dibina oleh pihak tentera. Setiap kali hujan lebat, paras sungai meningkat dan menenggelamkan jambatan. Lebih malang, jambatan itu juga kerap runtuh dihentam balak hanyut.
“Jujurnya, saya bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana membina jambatan baharu untuk kami. Jujur juga saya katakan, saya tidak sabar mahu melaluinya,” kata seorang penduduk, Mohd. Alwi Mohd. Ali, 73.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 27 Februari 2018 | Terbitan 28 Februari 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan