KOTA BHARU: Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban) akan menganjurkan seminar antarabangsa sejarah dan budaya Kelantan-Pattani bagi mengenal pasti kajian terkini dan memahami perkembangan sejarah hubungan kedua-dua kerajaan.
Presidennya Datuk A Aziz Deraman berkata seminar tersebut akan diadakan pada 6 dan 7 Oktober ini di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini, melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Kelantan.
"Seminar ini akan menyentuh kandungan pemikiran peradaban dan beberapa perkara ketamadunan di wilayah budaya timur laut itu.
"Sebanyak 45 kertas kerja akan dibentangkan oleh para sarjana dan pengkaji tempatan serta Thailand sepanjang dua hari seminar berlangsung dengan dua ucaptama," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata sempena seminar itu akan turut disampaikan anugerah Sejarawan Peradaban dan pelancaran buku Kelantan-Pattani: Ulama dan Intelektualisme Melayu Wilayah Timur.
Dijangkakan seramai 150 peserta hadir pada seminar tersebut termasuk cendekiawan, agamawan, sarjana, budayawan, sasterawan, golongan profesional, pendidik dan mahasiswa.
A Aziz berkata kajian ilmiah khususnya semangat ketamadunan Melayu Kelantan-Pattani seharusnya diteruskan ke setiap generasi selain untuk rujukan semua pihak.
Beliau berkata sejarah dan budaya Kelantan-Pattani sudah sekian lama menjadi bahan penelitian khususnya dalam hubungan antarabangsa dengan melihat wilayah peradaban Melayu timur laut ini sebagai sebuah tamadun awal di Asia Tenggara dan ia harus diteruskan.
"Kita harap seminar ini akan menjadi saluran dokumentasi kajian dan dapatan yang akan diterbitkan bagi sebaran yang lebih luas agar lebih ramai khalayak mencintai ilmu dan pengetahuan," katanya.
Sumber: Bernama | 30 September 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan