Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 28 September 2018

Pelancongan berpotensi untuk majukan ekonomi Kelantan

KOTA BHARU: Pelancongan di Kelantan harus dibangunkan sepenuhnya kerana sektor itu berpotensi besar menyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri itu, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata negeri ini mempunyai banyak produk pelancongan yang boleh dibangunkan untuk menarik kunjungan pelancong domestik dan antarabangsa.

"Maklum balas yang kita dapat pelancong yang menggunakan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (Pengkalan Chepa), apabila tiba di sini mereka terus pergi ke pulau-pulau di negeri lain, oleh itu perlu ada usaha untuk menarik mereka berada di Kelantan untuk melihat produk-produk pelancongan yang terdapat di negeri ini," katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan berjumlah RM45,000 kepada 29 sekolah rendah dan menengah dalam Parlimen Ketereh bagi melaksanakan Program Asyura Perdana, di sini hari ini.

Mohd Radzi berkata pembangunan sektor pelancongan itu perlu disokong dengan kemudahan infrastruktur yang baik selain memperkenalkan produk pelancongan baharu.

Bagaimana pun, beliau berkata Kelantan perlu mempunyai pelan pembangunan ekonomi jangka pendek, sederhana dan panjang dalam usaha memajukan negeri ini yang kini ketinggalan berbanding negeri lain.

Sumber: Bernama | 26 September 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan