Aminuddin (tengah) bersalaman dengan sebahagian kakitangan MPS dan MPN yang hadir pada perhimpunan khas, semalam. |
SEREMBAN: Pengisytiharan Seremban sebagai bandar raya ditangguhkan sementara pada suatu masa yang akan ditentukan kemudian.
Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, pengisytiharan yang sepatutnya dilakukan pada 1 Januari 2019 terpaksa ditangguhkan bagi memberi laluan kepada PBT terlibat untuk membaiki segala kelemahan yang telah dikenal pasti.
Katanya, antara kelemahan yang perlu dibaiki segera adalah dari segi kemudahan dan penyediaan infra yang sepatutnya perlu ditambah baik sebelum boleh diisytihar sebagai bandar raya.
“Kita perlukan sedikit lagi masa sebelum mengisytiharkan Seremban sebagai bandar raya kerana ada beberapa lagi kelemahan yang perlu kita baiki.
“Malah bangunan pejabat untuk Majlis Bandaraya Seremban (MBS) juga belum lagi siap sepenuhnya dan kita menjangkakan pada pertengahan tahun depan atau selewatnya penghujung 2019 pengisytiharan dapat dilakukan.
“Sekarang ini kita memberi ruang kepada PBT terlibat untuk membaiki segala kelemahan dan melengkapkan segala kemudahan yang sepatutnya perlu ada di kedua-dua daerah ini sebelum kita isytihar sebagai bandar raya,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Khas Bersama Kakitangan Majlis Perbandaran Seremban dan Majlis Perbandaran Nilai di Dewan MPS, semalam.
Hadir sama, Yang Dipertua MPS/MPN, Datuk Zazali Sallehudin dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Teo Kok Seong.
Tambah Aminuddin, masih ada banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki dan pihaknya juga tidak perlu terburu-buru untuk pengisytiharan Seremban sebagai bandar raya.
Terdahulu, kerajaan negeri di bawah pimpinan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) akan digabungkan menjadi entiti baru dengan nama Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Katanya, pelaksanaan gabungan ini dijangka akan dilakukan pada tahun ini berikutan proses berada di peringkat akhir.
Gabungan kedua-dua PBT itu akan dapat melancarkan lagi pengurusan dan pentadbiran PBT bersama masyarakat dengan lebih berkesan.
Melalui gabungan PBT itu, orang ramai tidak perlu masuk ke bandar Seremban untuk ke pejabat PBT atau ke Nilai, kerana pejabat baharu MBS itu nanti akan beroperasi di Jalan Rahang, dalam bangunan yang sebelum ini dijadikan pasaraya Carrefour.
Sumber: Sinar Harian | 4 September 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan