KOTA BHARU: Kira-kira 1,000 peserta terdiri daripada pelbagai masyarakat menyertai Larian Patriotik sejauh 7 kilometer di sini, malam ini.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Din Ahmad berkata larian berkenaan yang julung-julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, badan bukan kerajaan (NGO) Rakan FB Kelantan dan Sri Endang Enterprise.
"Pada awalnya kita menjangka hanya 500 peserta akan menyertai larian ini namun jumlah tersebut semakin bertambah sekaligus menunjukkan semangat kesepakatan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
"Kita berhasrat untuk menjadikan larian ini sebagai acara tahunan pada masa hadapan dan akan membuka penyertaan kepada penduduk di luar Kelantan serta negara jiran," katanya selepas merasmikan larian tersebut di Balai Polis Kota Bharu di sini, malam ini.
Din turut meluangkan masa kira-kira satu jam untuk berlari bersama peserta pada acara berkenaan.
Larian bermula dari Balai Polis Kota Bharu melalui Jalan Hamzah ke Jambatan Sultan Yahya ke Pasir Pekan, Tumpat sebelum berpatah balik ke garisan permulaan.
Sumber: Bernama | 15 September 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan