KUANTAN: Niat seorang wanita warga emas ingin membantu rakan yang baru dikenalinya menerusi laman sosial Facebook membawa padah apabila dia ditipu sehingga kerugian RM34,101, pertengahan bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 60 tahun itu mendakwa mahu membantu suspek yang dikenalinya sebagai Ying Jimmy, kononnya dari Amerika Syarikat untuk memulakan perniagaan di sini.
"Suspek yang berkenalan dengan mangsa sekitar Julai lalu mendakwa menyerahkan US$1 juta kepadanya melalui penghantaran bungkusan yang dijangka tiba di Malaysia pada 15 Ogos lalu.
"Mangsa kemudian dihubungi oleh seorang wanita meminta bayaran RM4,601 kononnya sebagai bayaran insurans bungkusan itu pada 15 Ogos, diikuti dengan bayaran RM18,500 untuk urusan pengisytiharan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Wazir berkata mangsa kemudian menerima panggilan telefon lagi untuk meminta bayaran selanjutnya atas pelbagai alasan kononnya termasuk urusan peguam sehingga menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM34,101.
Mangsa akhirya menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut dekat sini, semalam.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sumber: Bernama | 4 September 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan