Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 30 September 2018

UMK rancang kerjasama dengan sekolah, pupuk minat pelajar dalam sains

JELI: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sedang merancang program kerjasama dengan pihak sekolah bagi menarik minat pelajar mengikuti pengajian sains di universiti tersebut.

Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Husaini Omar berkata pihaknya akan ke sekolah untuk memberikan penerangan kepada pelajar bagi tujuan itu.

Usaha tersebut dilakukan berikutan pihak universiti mendapati jumlah pelajar yang menyambung pengajian dalam bidang sains semakin berkurangan, kemungkinan antara faktornya mereka tidak berminat dalam bidang itu, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Program Sambutan Maal Hijrah Mahasiswa UMK Bersama Komuniti Dalam Parlimen Jeli oleh Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamarudin Md Noor di UMK Kampus Jeli di sini, hari ini.

Husaini berkata pada sesi pengambilan pelajar tahun ini, UMK menawarkan 800 tempat untuk pengajian berkaitan bidang sains namun hanya 344 pelajar mendaftar.

"Pada kami, elok jika mana-mana pelajar yang mendapat tawaran pengajian sains mereka mengikuti pengajian terbabit kerana bidang itu tidak hanya memberikan peluang pekerjaan dalam bidang sains sahaja, mereka boleh menjadi ahli perniagaan dan sebagainya," katanya.

Sumber: Bernama | 30 September 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan