Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 30 September 2018

Melaka perkukuh hubungan dengan Indonesia, Thailand menerusi pengangkutan udara

BANDAR RAYA MELAKA: Melaka akan memperkukuhkan hubungan dua hala dengan Thailand dan Indonesia menerusi perkhidmatan udara berdasarkan perjanjian udara antara ketiga-tiga pihak.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata beberapa laluan baharu dari Melaka menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) ke Indonesia dan Thailand dijangka akan dibuka menjelang akhir tahun ini.

"Kami memang mempunyai perjanjian udara dengan Indonesia dan Thailand sebelum ini dan hubungan atau kerjasama berkenaan akan dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa.

"Isu ini antara perkara yang kami bincangkan dalam forum ini selain beberapa perkara penting lain untuk kebaikan atau kepentingan bersama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ketua Menteri dan Gabenor Kawasan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-15 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri Melaka juga telah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan termasuk dari Air Asia dan Malindo Air pada minggu lepas untuk menjalin kerjasama bagi membuka lebih banyak laluan baharu ke Indonesia dan Thailand. 

Katanya Kerajaan negeri Melaka juga mendapat kerjasama baik daripada Kementerian Pengangkutan untuk mempertingkatkan perkhidmatan sistem pengangkutan udara di negeri ini termasuk menambah baik fasiliti LTAM khususnya landasan pesawat.

Adly berkata selain itu, pengecualian caj penumpang yang diberikan dalam tempoh lima tahun kepada syarikat penerbangan yang beroperasi di LTAM juga antara inisiatif Kementerian Pengangkutan dalam usaha menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan beroperasi di LTAM pada masa hadapan.

Beliau berkata forum berkenaan turut membincangkan peluang perniagaan yang boleh dipelopori antara ketiga-tiga negara menerusi Majlis Perniagaan Bersama (JBC) yang diwujudkan menerusi hubungan dua hala negara terlibat.

"Selain itu, Melaka sebagai negeri yang mendukung amalan hijau turut berkongsi pengalaman dan kejayaan projek pilot yang dilaksanakan menerusi Program Eco-School manakala wakil dari Thailand dan Indonesia turut berkongsi tentang kejayaan projek pilot di negara mereka," katanya.

Beliau berkata sebanyak 117 sekolah di negeri berkenaan terlibat dalam program berkenaan dan dua daripada sekolah terbabit menerima Anugerah Hijau.

Dalam pada itu, katanya forum yang berlangsung selama empat hari bermula Jumaat dan disertai lebih 200 delegasi dari Malaysia, Thailand dan Indonesia itu turut membincangkan isu lain termasuk pengurusan kesesakan lalu lintas, pengurusan parkir dan pengangkutan awam.

Sumber: Bernama | 30 September 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan