Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 10 September 2018

Bagaimana mahu tingkat kewangan Kelantan jika projek pembangunan disekat?

Nik Saiful Adli Burhan
KOTA BHARU: Biro Peguam Muda, Pergerakan Pemuda UMNO mempersoal teguran Menteri Kewangan, Lim Guan Eng supaya Kelantan yang merupakan negeri penerima bantuan tertinggi Kerajaan Persekutuan supaya meningkatkan hasil pendapatan negeri dan berbelanja lebih berhemah.

Pengerusinya, Nik Saiful Adli Burhan berkata, jika benar kerajaan Pusat peka terhadap masalah ekonomi Kelantan, mengapa projek pembangunan di negeri ini seperti pembangunan lebuh raya, pembesaran lapangan terbang dan pembinaan kereta api laju disekat.

Selain itu katanya, perbelanjaan boros dimaksudkan Guan Eng termasuk perbelanjaan bayaran gaji, pengurusan, penyelenggaraan dan utiliti yang mana secara langsung memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.

“Adakah teguran beliau bermaksud kerajaan Pas Kelantan harus berjimat cermat dalam membayar gaji penjawat awam dengan memotong gaji mereka serta berhenti menyelenggara kemudahan utiliti di negeri ini?,” soalnya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, Guan Eng dilaporkan berkata, Kerajaan Pas Kelantan merupakan penerima terbesar bantuan kewangan defisit dan bantuan kewangan pendahuluan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM913 juta.

Katanya, Kelantan perlu mengamalkan perbelanjaan yang berhemah serta tidak berbelanja melebihi pendapatan, selain perlu berusaha meningkatkan hasil bagi mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Nik Saiful Adli berkata, bantuan kepada negeri sememangnya termaktub dalam Perkara 109 (3) dan 109 (5) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas kaedah bantuan khas selain yang mengikut skala untuk negeri-negeri yang terpaksa diberi bantuan lebih termasuklah dengan bajet luar jangka.

“Saya menyeru semua pihak menghormati tujuan ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu asalnya iaitu supaya negeri-negeri dapat membantu antara satu sama lain dengan setiap negeri yang menyumbang kepada ekonomi negara tidak semestinya menikmati keseluruhan hasil bersendirian.

Beliau dalam pada itu berkata, dalam masa sama Kerajaan Pas Kelantan juga perlu memainkan peranan penting dalam menggerakkan ekonomi di negeri ini dan bukannya menggunakan alasan status sebagai negeri pembangkang semata-mata untuk mereka goyang kaki.

Sumber: Utusan Online | 9 September 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan