Mat Lia Senik melawat kubu yang dibina pada zaman insurgensi 1940-an terletak di Kampung Bertam Baru, Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini. |
GUA MUSANG: Kubu yang dibina pada zaman insurgensi komunis pada 1940-an di Kampung Bertam Baru di sini, tidak pernah dilupakan oleh penduduk tempatan.
Kubu yang terletak berhampiran Balai Polis Bertam itu sentiasa dibersihkan supaya tidak terbiar dan menjadi kenangan sejarah bukan sahaja kepada penduduk ketika era tersebut tetapi juga untuk generasi baharu.
Seorang penduduk asal Kampung Bertam Baru, Mat Lia Senik, 76, berkata, kubu itu menjadi tempat askar negara berselindung dan menyerang komunis yang cuba memasuki kampung itu.
Menurutnya, ketika zaman itu, hanya terdapat beberapa keluarga penduduk tinggal di kampung berkenaan kerana kerap diganggu pengganas komunis.
“Kubu ini terletak di tepi Sungai Nenggiri kerana komunis melalui jalan sungai untuk menyerang Kampung Bertam yang majoriti penduduknya orang Melayu.
“Walaupun ketika itu saya masih kecil, tetapi saya masih ingat kehidupan dan keperitan orang tua ketika zaman tersebut,” katanya di sini, baru-baru ini.
Mat Lia mengakui, generasi baharu kurang mengambil berat sejarah kampung tersebut dan ada dalam kalangan mereka tidak mengetahui sejarah hitam yang berlaku di Kampung Bertam Baru.
Jelasnya, ketika ini hanya penduduk asal yang masih tinggal di kampung tersebut manakala generasi baharu kebanyakannya sudah berpindah ke tempat lain.
“Penduduk kampung ini membersihkan kubu terbabit setiap kali menyambut hari kemerdekaan negara.
“Kita berharap kubu ini dijaga seeloknya kerana ini adalah peninggalan sejarah yang harus dikenang,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Naim Sulaiman, 57, pula memberitahu, kerajaan sepatutnya mengambil langkah memperkenalkan kubu itu sebagai tempat bersejarah di Kelantan.
Katanya, ketika ini hanya penduduk kampung menjaganya sebagai kenangan sejarah terutama ketika menyambut kemerdekaan negara.
“Kita berharap kerajaan dapat mengambil langkah membina pagar atau membina kemudahan lain di kubu ini supaya lebih terjaga,” ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia | 13 September 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan