Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 29 April 2015

Amalan 'raja' bomoh Ibrahim Mat Zain sesat dan haram - Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak

Ibrahim ketika di Terminal KLIA 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melakukan ritual pencarian MH370 yang hilang.
IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) akan mengambil tindakan terhadap 'raja' bomoh, Ibrahim Mat Zin setelah pewartaan haram berkaitan amalan songsangnya dibuat Jabatan Mufti Perak.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, perkara itu ditegaskan berikutan pewartaan tersebut tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Mufti Perak.

Jawatankuasa Fatwa Negeri yang bermesyuarat kelmarin telah memutuskan bahawa ajaran bomoh terbabit haram dan terpesong daripada ajaran Islam.

“Di pihak JAIPK, kami hanya tunggu pewartaan tersebut dibuat sebelum sebarang tindakan boleh dikenakan terhadap beliau,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut beliau, setakat ini hanya Ibrahim sahaja yang dikesan mengamal dan menyebarkan ajaran songsang di Perak.

Kelmarin, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dalam mesyuaratnya dilaporkan telah memutuskan bakal mewartakan amalan yang dibawa Ibrahim sebagai sesat dan haram.

Dalam kenyataan sama, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan keputusan itu dicapai setelah melihat amalan dan ajaran yang dibawa oleh bomoh terbabit.


Perlakuan pelik Ibrahim Mat Zin

12 Mac 2014 - Upacara mencari pesawat MH370 di KLIA menggunakan bubu, kelapa, teropong buluh dan beberapa peralatan lain.

16 Mac 2014 - Upacara sama dilakukan di hadapan Menara Condong, Teluk Intan, Perak.

29 Mac 2014- Upacara sama dan dilakukan di Pulau Sembilan, Perak.

19 April 2014 - Upacara ritual di kawasan kemalangan bekas ahli Parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh.

14 Februari 2015 - Upacara di luar Penjara Sungai Buloh selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Sumber: Sinar Harian | Nasional | 29 April 2015

Rampasan terbesar dadah jenis pil kuda di Kelantan tahun ini

Mohd Azlan (kanan) menunjukkan dadah dirampas Jumaat lalu.
KUALA KRAI: Tiga penganggur yang mempunyai rekod jenayah lampau ditahan bersama 1,884 pil kuda bernilai RM47,100 di persimpangan lampu isyarat Guchil Empat, kira-kira jam 10 malam, Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Mohd Azlan Abd Kadir berkata, rampasan itu adalah yang terbesar dilakukan di daerah ini tahun ini.

“Ketika ditahan ketiga-tiga lelaki berusia antara 19 hingga 24 tahun itu menaiki kereta jenis Honda Ferio berwarna putih.

“Pemeriksaan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Krai dan JSJN Gua Musang menemui 1,864 biji pil berwarna kemerahan serta 20 pil berwarna hijau disyaki dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, petang semalam.

Mohd Azlan berkata, siasatan awal mendapati bekalan pil kuda tersebut diperoleh dari Bachok dan dipercayai untuk diedarkan di sekitar Gua Musang.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Ketiga-tiga suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau, juga melibatkan kes dadah ditahan reman selama tujuh hari bermula 25 April lalu.

“Selain dadah, kereta Honda Ferio dinaiki suspek turut dirampas. Kesemua suspek disiasat di bawah 39B Akta Dadah Merbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti pengedaran dadah di daerah ini bukan sahaja dilakukan warga tempatan memandangkan pihaknya juga mendapat maklumat warga asing terutama dari negara jiran, Thailand turut terlibat.

“Berdasar maklumat diterima, mereka bekerja sendiri dan pada masa sama turut menjual dadah," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 28 April 2015

KPDNKK Kelantan serbu restoran sup kepala ikan di Pulau Pisang yang kenakan harga RM130 - RM150 semangkuk

Ab Ghani (tiga, kanan) membuat pemeriksaan di restoran berkenaan, semalam.
KOTA BHARU: “Saya reda dengan ketentuan ini sebagai ujian ALLAH SWT kepada saya. Memang agak terkejut dengan serbuan ini, namun saya harap dapat berniaga semula seperti biasa selepas ini."

Itu kata-kata pemilik restoran sup kepala ikan Pulau Pisang, Nik Mohd Noor Muhamad atau lebih dikenali sebagai ‘Pok Mat’ selepas kedainya di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) diperiksa penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan, semalam.

Pemeriksaan itu dibuat setelah dua laporan diterima daripada pelanggan berhubung harga dikenakan untuk sup kepala ikan mencecah RM130 sehingga RM150 semangkuk.

Restoran yang beroperasi sejak dua tahun lalu menyediakan hidangan sup kepala ikan bersama teh tarik madu sebagai menu utama, selain lauk-pauk lain yang turut menjadi pilihan pelanggan.

Pengarah KPDNKK Kelantan, Datuk Ab Ghani Harun berkata, hasil semakan terhadap bil di restoran terbabit mendapati, hidangan sup kepala ikan yang dihidangkan kepada pelanggan, sememangnya dijual pada harga seperti dalam aduan.

Kita siasat ekoran harga semangkuk sup kepala ikan agak tinggi dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 57 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Sebelum ini pada 22 April lalu, kita ada serahkan notis kepada pihak berkenaan untuk beri sebab kepada kami berhubung harga mahal dicatut dalam hidangan makanannya, namun sehingga semalam, kami masih belum terima notis jawapan daripadanya," katanya.

Ab Ghani berkata, oleh sebab gagal menjawab notis yang diberikan dan setelah siasatan dibuat, pihaknya menyerahkan kes tersebut kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan, sama ada dikenakan kompaun atau sebaliknya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 28 April 2015

MDK-PI saman dua pekerja kedai makan kerana tidak menutup aurat

KOTA BHARU: Dua gadis belasan tahun merayu penguat kuasa Majlis Daerah Ketereh-Perbandaran Islam (MDK-PI) tidak mengeluarkan notis saman aurat terhadap mereka yang baru sahaja bekerja di sebuah kedai makan di Peringat di sini.

Alasan mereka ialah tidak mengetahui memakai baju berlengan pendek dan ketat tidak dibenarkan ketika bekerja.

Namun, rayuan dua gadis terbabit tidak diendahkan, sebaliknya penguat kuasa MDK-PI tetap mengeluarkan notis saman kepada mereka tanpa kompromi.

Pegawai Undang-undang MDK-PI, Nazattul Aisya Hashim berkata, mereka diberikan notis saman terhadap individu dan dikompaun di bawah Undang-undang Kecil Seksyen 30.

“Mereka antara yang dikompaun dalam Ops Shisha dan Aurat yang dijalankan di kawasan Peringat dan Salor, di sini, semalam.

Turut dikenakan tindakan, empat restoran iaitu sebuah di Peringat dan tiga di Salor, dengan rampasan alatan shisha bernilai RM 3,500, empat notis amaran dan tiga kompaun,” katanya kepada media.

Nazattul Aisya berkata, peniaga yang masih berdegil dan tidak ikut arahan ditetapkan, pihaknya tidak teragak-agak menarik semula lesen perniagaan, dan menutup terus operasi perniagaan mereka.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 28 April 2015

Kerajaan Negeri Kelantan diminta kaji semula pembinaan kilang simen di Chiku 7

Gua Batu Kapur Chiku 7 yang dikhuatiri akan musnah apabila kilang simen dibina.
PASIR PUTEH: Angkatan Prihatin Kelantan (APK) meluahkan kebimbangan terhadap projek pembinaan kilang simen terbesar di Malaysia di Chiku 7, Gua Musang yang akan memusnahkan khazanah alam termasuk keindahan gua batu kapur berusia lebih 200 juta tahun.

Presidennya, Jeming Hassan berkata, beliau difahamkan, kerajaan negeri akan membina kilang itu dalam waktu terdekat membabitkan pelaburan RM1.38 bilion yang mana ia dijangka siap menjelang 2017.

Katanya, projek itu mungkin membantu dalam menjana ekonomi Kelantan tetapi dalam masa sama ia memusnahkan khazanah alam yang tidak ternilai selain menghapuskan kawasan tadahan air.

“Saya tidak berniat untuk menjadi penghalang cita-cita murni kerajaan negeri untuk memiliki kilang simen tetapi saya berharap pandangan kami diberi perhatian,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, selain ‘mengorbankan’ Gua Batu Kapur Chiku 7 dan memberi impak buruk kepada gua-gua lain seperti Gua Tok Guru, Gua Cinta dan Gua Paya, projek itu akan menyebabkan penduduk yang terlibat dengan pertanian hilang sumber rezeki.

“Kami sebagai rakyat Kelantan mahu mengetahui sejauh mana persediaan kerajaan untuk mengatasi masalah pencemaran udara dan bunyi supaya kesihatan penduduk tidak terjejas.

“Kawasan itu membekalkan sumber air bersih ketika ini, agak payah untuk mengekalkannya apabila kilang simen dibina,” katanya.

Jeming berkata, beliau tidak menafikan kebaikan daripada pembinaan kilang tersebut apabila ia dijangka memberi peluang pekerjaan kepada 2,000 penduduk.

Menurutnya, projek tersebut akan memesatkan pertumbuhan ekonomi namun terpaksa ‘membayar harga yang tinggi’ dengan memusnahkan khazanah negeri.

“Kami tertanya-tanya apakah kilang itu tidak menjejaskan tanaman penduduk seperti getah, kelapa sawit, buah-buahan dan banyak lagi.

“Saya dapat maklumat mengatakan penduduk tidak bersetuju dengan projek ini dan mempersoalkan tindakan pihak berkenaan mengadakan majlis menandatangani perjanjian persefahaman di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengkaji dengan teliti sebelum melaksanakan projek tersebut kerana alam sekitar juga merupakan aset penting untuk kelestarian kehidupan semua makhluk.

“Sudah menjadi tanggungjawab setiap umat manusia untuk memelihara alam sekitar ini kerana kita telah diamanahkan untuk menjaganya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini berbincang dengan Jawatankuasa Bertindak Felda Gugusan Chiku untuk mengemukakan bantahan kepada kerajaan negeri selain mengadakan sesi lawatan ke Gua Batu Kapur Chiku 7 bersama pencinta alam tidak lama lagi.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 27 April 2015

Kerajaan Negeri Kelantan nafi batalkan projek Kompleks Sukan Negeri Kelantan

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menafikan membatalkan cadangan projek pembangunan bandar sukan yang terdiri dari stadium, kompleks akuatik dan perumahan di kawasan Bukit Merbau, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood (gambar) berkata, kerajaan negeri akan tetap melaksanakan projek tersebut walaupun syarikat pemaju yang terdahulu menarik diri di atas sebab tertentu.

“Saya difahamkan mereka (pemaju) ada alasan sendiri, ada masalah dalaman dan sebagainya. Kita boleh menerima alasan mereka, tapi projek pembangunan ini akan diteruskan, sebab kita masih ada lagi senarai pemaju lain yang sedang menunggu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau mengulas isu viral surat pembatalan mengusahakan projek pembangunan bandar sukan di Bukit Merbau oleh pemaju terdahulu yang didakwa enggan meneruskan perancangan di atas sebab-sebab munasabah.

Menurutnya, sehingga kini, beliau masih belum membincangkan perkara tersebut bersama Tunjong Development Corporations Sdn Bhd (TDC) namun pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat ini untuk membincangkan hala tuju projek tersebut selepas ini.

Namun Abdul Fattah berkata, pihaknya akan mencuba yang terbaik bagi memastikan stadium impian rakyat Kelantan dan projek pembangunan tersebut akan tercapai serentak dengan pembangunan lebuh raya baharu, dijangka siap 2018 mengikut peringkat telah ditetapkan.

“Kita akan cuba yang terbaik, malah kita juga bersedia untuk membuka tawaran tersebut kepada mana-mana pemaju, namun semuanya masih belum boleh diputuskan. Saya akan mengadakan perbincangan dengan TDC, kemudian kita akan putuskan yang terbaik untuk keperluan rakyat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 27 April 2015

Ahad, 26 April 2015

JAHEIK terima relau lupus Quran rosak

KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Ahad menerima relau lupus naskhah al-Quran yang rosak.

Pengarahnya Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata relau bernilai RM15,000 itu dibiayai Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

"Biasanya JAHEIK menggunakan khidmat syarikat tertentu yang diperakui Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk proses pelupusan naskhah Al-Quran yang rosak dengan kadar bayaran antara RM6 dan RM8 bagi setiap sekilogram.

"Dengan adanya relau ini, kita mampu menjimatkan kos melebihi setengah juta ringgit bagi melupuskan 80 tan Al-Quran yang masih ada di sini yang kebanyakannya rosak akibat banjir besar Disember lepas," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata JAHEIK menerima lebih 100 tan naskhah Al-Quran yang rosak dari seluruh Kelantan sejak Disember tahun lepas untuk dilupuskan.

Che Mohd Rahim berkata Kelantan juga menerima naskah Al-Quran dari negeri-negeri lain untuk dilupuskan.

Sumber: BERNAMA | 26 April 2015

1,000 unit rumah PPR di Gua Musang bakal diagih dalam masa terdekat

GUA MUSANG: Sejumlah 1,000 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Persiaran Raya, Bandar Baharu Gua Musang di sini, bakal diagihkan kepada penduduk setinggan dan mangsa banjir dalam masa terdekat.

Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata rumah PPR itu telah siap sepenuhnya dan kini dalam proses peringkat akhir kelulusan pinjaman Bank Rakyat sebanyak RM35 juta untuk para pembelinya.

"Apabila semuanya selesai nanti, setiap penghuni yang layak akan menerima pinjaman bank itu RM35,000 untuk seunit rumah dengan kadar bayaran balik RM125 sebulan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra 1 di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh berkata kadar bayaran balik pinjaman itu adalah yang paling rendah dan mampu dibayar oleh pemilik rumah berkenaan.

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Gua Musang berkata matlamat utama pembinaan rumah PPR itu untuk mengatasi masalah penduduk setinggan sekitar bandar itu dan sebagai menunaikan janji kerajaan untuk membina 1,500 unit rumah.

"Tetapi oleh kerana keluasan kawasan itu tidak mencukupi untuk pembinaan 1,500 unit rumah, maka kerajaan terpaksa bina 1,000 unit dahulu manakala baki 500 unit lagi akan dibina di kawasan lain yang tapaknya telah dikenal pasti," katanya.

Sumber: BERNAMA | 26 April 2015

Sabtu, 25 April 2015

Kontraktor projek Lebuh Raya KBKK Fasa 2A yakin mampu siap lebih awal

Shaari (kanan) ketika meninjau salah satu lokasi di Sungai Ketereh yang terlibat dalam projek pembinaan lebuh raya berkenaan.
KOTA BHARU: Syarikat kontraktor Chengal Jati Sdn Bhd yang memperoleh tender Fasa 2A pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai (Lebuh Raya KBKK) yakin mampu menyiapkan pembinaan tersebut lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

Pengarah Urusannya, Datuk Ir Shaari Hassan berkata, mengikut terma kontrak, pihaknya akan memulakan pembinaan pada 22 April dan mengambil masa tiga tahun sehingga 17 April 2018 bagi menyiapkan jajaran dari Kadok ke Ketereh sejauh tujuh kilometer.

“Saya yakin mengikut pengalaman dan prestasi sebelum ini, kontrak ini akan dapat disiapkan lebih awal daripada tempoh asal berakhir,” katanya selepas Mesyuarat Pra Pembinaan lebuh raya itu di Ketereh baru-baru ini.

Bina 10 jambatan rentasi tali air, jalan kampung

Mengulas lanjut, Shaari berkata, di sepanjang lebuh raya berkenaan, akan dibina 10 jambatan merentasi tali air, jalan kampung dan Sungai Ketereh, selain membina empat laluan bawah kenderaan.

Menurutnya, bagi memastikan kelancaran projek itu pula, kaedah komunikasi lebih sistematik digunakan pihaknya yang membolehkan kerja pengawasan dilakukan di mana sahaja walaupun berada di luar tapak pembinaan.

“Kita menggunakan walkie-talkie sebagai alat perhubungan antara satu sama lain, selain memasang 16 kamera di sepanjang projek berkenaan bagi memastikan kaedah pengawasan yang pertama kali digunakan ini benar-benar berkesan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM70,000 diperuntukan untuk menyediakan kemudahan CCTV, selain peruntukan untuk kemudahan internet supaya kerja pengawasan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

“Kemudahan ini juga akan membolehkan pihak berkenaan melihat perkembangan projek ini dalam waktu sebenar tanpa perlu berada di lokasi,” katanya yang dalam masa sama mahu membuktikan bahawa orang Melayu juga mampu melaksanakan projek pembangunan skala besar.

Pembinaan dilakukan serentak, bukan berfasa

Malah katanya, pembinaan jajaran sepanjang tujuh kilometer dilakukan serentak dan bukannya berfasa supaya ia dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan, malah tidak menolak lebih awal.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, banyak yang kita pelajari termasuk bagaimana untuk bergerak serentak, kerana ia memberi kemajuan yang lebih baik kepada projek dijalankan,” katanya.

Untuk rekod, Fasa 2A adalah pakej kedua yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada program Jelajah Janji Ditepati PRU13. Pakej 1B dari Pasir Hor ke Perol kini sedang rancak dibina dan dijangka disiapkan pada 2017.

Dalam pada itu Shaari berkata, walaupun pihaknya secara rasmi memulakan kerja pada 22 April lalu, namun pihaknya mengambil inisiatif menempatkan jentera dan melakukan kerja asas lebih awal daripada  tempoh ditetapkan.

“Ini menunjukkan komitmen kami terhadap projek. Insya-Allah, kami akan melakukan yang terbaik bagi memastikan pembinaan dapat disiapkan pada tempoh ditetapkan ataupun lebih awal,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 25 April 2015

Operasi meroboh premis haram di Kok Lanas oleh MDK-PI berjalan lancar

Antara gerai yang dirobohkan dalam Ops Roboh di Kok Lanas, semalam.
KOTA BHARU: Tempoh hampir setahun yang diberikan dan beberapa kali notis amaran diterima peniaga, ternyata langsung tidak diendahkan malah ada di antara mereka yang masih lagi menjalankan perniagaan di kawasan kaki lima di sekitar jalan Politeknik Kota Bharu di Kok lanas di sini, walaupun tidak mendapat kelulusan.

Ada yang turut membesarkan kedai dengan binaan sementara bagi menarik pelanggan berkunjung ke premis mereka biarpun kawasan terbabit tidak pernah diwartakan sebagai kawasan perniagaan.

Atas tindakan itu, Majlis Daerah Ketereh-Perbandaran Islam (MDK-PI) menjalankan ops roboh bagi memastikan kawasan berkenaan bebas dari kesesakan memandangkan ia menjadi kawasan tumpuan.

Operasi yang dijalankan itu, diketuai Penolong Pegawai Undang-Undang (MDK-PI), Nazatul Aisya Hashim serta Ketua Operasi Wan Molly Wan Othman bersama 16 anggota, dua anggota polis dan dua pemandu lori.

Wan Molly berkata, dalam operasi terbabit peniaga ternyata akur dengan keputusan yang dibuat oleh MDK-PI tanpa sebarang bantahan dibuat dan tiada kekecohan berlaku.

“Ini memandangkan mereka sudah lama diberi peluang dan tidak menjalankan perniagaan mereka di kawasan itu namun masih ada yang menjalankan operasi walaupun sudah kerap kali diberi notis amaran.

Bukan kita tidak beri mereka masa, lagipun kawasan ini merupakan tanah rizab jalan dan mereka tidak seharusnya membina apa-apa binaan dan lokasi ini tidak sesuai untuk berniaga,” katanya kepada Sinar Harian.

Wan Molly berkata, dalam ops berkenaan tujuh premis yang membina binaan sementara dikenakan tindakan di bawah Seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Sementara itu, seorang peniaga Siti Khadijah Abdullah, 60, berkata, dia yang baru mula berniaga di kawasan itu, terpaksa akur dengan keputusan pihak MDK-PI.

“Saya menjual buah-buahan termasuk tembikai serta tembikai susu dengan binaan bangsal kecil di kawasan ini.

“Lagipun saya hanya membantu anak berniaga di kawasan ini, dan selepas ini akan terus berniaga memandangkan ini merupakan punca rezeki, namun akan cuba patuhi undang-undang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 24 April 2015

ASEAN disasar jadi ekonomi keempat terbesar dunia pada 2050 - PM

Najib bersama (dr kiri) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Tan Sri Dr Munir Abdul Majid dan Datuk Seri Idris Jala (kanan) Malam Gala Anugerah Perniagaan ASEAN (ABAM) pada Jumaat.
KUALA LUMPUR: ASEAN disasar menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2050 berasaskan arah aliran (trend) pertumbuhan semasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata jika dilihat sebagai sebuah ekonomi, ASEAN merupakan ekonomi ketujuh terbesar dunia, dengan gabungan keluaran dalam negara kasar berjumlah US$2.5 trilion pada 2014 dan US$2.4 trilion pada 2013

"Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) mengunjurkan pertumbuhan tahunan 5.6 peratus secara menyeluruh dalam tempoh empat tahun akan datang. 

Jika trend semasa berterusan, ASEAN diunjur menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2050," katanya semasa berucap pada Malam Gala Anugerah Perniagaan ASEAN (ABAM) 2015 pada Jumaat. 

ABAM ke-6, anjuran Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia, bertujuan memperakui juara setiap sektor dalam negara yang menyumbang secara positif kepada ekonomi ASEAN. 

Perdana Menteri berkata ASEAN kini memanfaatkan rekodnya yang baik dan konsisten. Dari segi pertumbuhan pendapatan perkapita, Najib berkata ASEAN sudah mengatasi sebahagian besar dunia sejak lewat 1970-an. 

Perdana Menteri memetik laporan McKinsey yang mencatatkan bilangan isi rumah pengguna berpendapatan lebih US$7,500 setahun akan meningkat sekali ganda kepada 125 juta menjelang 2025. 

"Berdasarkan penduduk melebihi 600 juta, lebih besar dari Kesatuan Eropah atau Amerika Utara, potensi pasaran kita besar. 

"Justeru usaha menyepadukan 10 negara kita sebagai Komuniti Ekonomi sangat penting," katanya. 

Najib berkata penyepaduan ASEAN melepasi akses perdagangan utama dan meliputi strategi dan pendekatan khusus untuk merealisasikan pasaran tunggal yang kompetitif, saksama dan terangkum. 

"Fokus kita ke atas perdagangan bebas, percukaian yang adil dan telus, dan digabungkan dengan langkah-langkah mewujudkan ekonomi yang terbuka dalam negara, yang menarik pelaburan, pertumbuhan dan pekerjaan.

"Ia juga merupakan pendekatan ASEAN bahawa, bagi mencapai pembangunanlestari, kebajikan, kesejahteraan dan kehidupan rakyat perlu ditingkatkan," kata Najib. 

Beliau berkata kejayaan Malaysia diperakui, dan Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2014 menyenaraikan Malaysia di tempat ke-12 daripada 60 ekonomi dan aspirasi negara meningkat dalam senarai daya saing itu. 

Najib berkata sudah ada tanda-tanda keyakinan yang tinggi terhadap Malaysia,seperti permintaan ke atas Sukuk Global US$1.5 bilion yang diterbitkan baru-baruini, yang terlebih langgan. 

Beliau berkata awal tahun ini, majalah Fortune menyenaraikan Malaysia sebagai antara tujuh pasaran pesat membangunan baharu terbaik. 

Najib berkata perakuan antarabangsa ketika dunia dalam kedudukan yang tidak menentu ini, dengan banyak negara berhadapan cabaran ekonomi, asas ekonomi Malaysia kekal kukuh. 

"Ini sangat menggembirakan, kerana kita tahu bahawa langkah berani seperti pemansuhan subsidi bahan api atau pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan, bukan langkah popular tetapi perlu. 

"Langkah ini untuk manfaat jangka panjang untuk semua rakyat Malaysia dan itulah yang akan terus menjadi keutamaan kerajaan saya," katanya.

Sumber: mStar Online | 24 April 2015

Jumaat, 24 April 2015

Tindakan tegas kepada peniaga shisha - MPKB-BRI

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) memberi amaran akan mengenakan tindakan tegas terhadap peniaga yang menjual shisha di premis makanan milik mereka. 

Setiausahanya, Rosnazli Amin berkata peniaga boleh digantung lesen perniagaan atau dikenakan kompaun jika didapati bersalah langgar larangan penjualan shisha di negeri ini.

Peniaga menjual tembakau berperisa dan menyediakan peralatan untuk menghisap shisha kepada golongan muda adalah bagi melariskan perniagaan di premis mereka, katanya dalam kenyataan pada Jumaat. 

Beliau berkata mengikut Undang-Undang Tred Perniagaan, peniaga yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan kompaun RM500 bagi setiap kesalahan

Shisha adalah sejenis alat yang digunakan untuk menghisap tembakau pelbagai perisa bagi menggantikan rokok atau cerut dan ia popular di negara-negara Timur Tengah. 

Sebelum ini, Setiausaha Majlis Daerah Ketereh (MDK), Tengku Sharifuddin Tengku Shah Budin berkata golongan muda berusia seawal 15 tahun dikesan terbabit dalam akiviti menghisap shisha yang disediakan dengan harga serendah RM10 oleh pengusaha premis makanan di daerah itu.

Sumber: mStar Online | 24 April 2015

"Gemuk is awesome" ungkapan tipu diri - Aizat Amdan

Aizat Amdan mengakui bukan mudah menurunkan berat badan.
PETALING JAYA: Penyanyi Aizat Amdan menganggap tagline yang diungkapkan oleh pelawak Abam (Bocey) iaitu "Gemuk is Awesome" semasa Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 (ABPBH 2014) pada 5 April lalu merupakan satu kenyataan bersifat menipu diri sendiri.

Aizat atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan, 26, berkata, sebagai seorang yang pernah mempunyai obesiti sebelum ini, tagline tersebut tidak wajar diungkapkan kerana ia akan mendatangkan masalah besar kepada seseorang yang mempunyai masalah berat badan.

"Saya juga pernah mempunyai berat badan berlebihan suatu ketika dahulu dan ungkapan itu merupakan penipuan diri sendiri kerana setiap orang harus menggamalkan gaya hidup sihat.

"Ini merupakan mentaliti masyarakat Malaysia yang harus diubah kerana jika perkara ini tidak dibendung ia akan menjadi masalah yang besar pada masa hadapan.

"Jadi tidak hairanlah Malaysia kini menjadi antara negara yang mempunyai ramai orang mengalami masalah obesiti," katanya kepada mStar Online.

Aizat berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Langit Tetap Biru di Paranormal Studio, Bandar Sri Damansara, di sini, Khamis. Hadir sama pada majlis itu, kumpulan Tona Warna dan The Venopian Solitude.

Bagaimanapun, Aizat berkata dia mengakui proses untuk menurunkan berat badan bukannya mudah kerana sesorang itu harus berkerja keras untuk mendapatkan berat badan ideal.

"Dulu saya pernah mempunyai berat badan 113 kilogram dan saya mengakui tidak senang untuk menurunkan berat badan menjadi ideal kerana senaman yang dilakukan bukanlah mudah seperti orang sangka.

"Sejujurnya, tiada jalan pintas untuk menurunkan berat badan ini jadi seseorang itu harus bekerja keras untuk mendapatkannya dan mereka perlu yakin dengan apa yang dilakukan," jelasnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Aizat berkata dia bakal menghasilkan klip video mengenai bagaimana cara yang dilakukan untuk menurunkan berat badan sebagai motivasi kepada orang ramai mengamalkan cara hidup sihat.

Sementara itu bercerita mengenai Langit Tetap Biru Aizat berkata, single tersebut mengisahkan tentang harapan terhadap beberapa tragedi yang berlaku di negara ini pada tahun lalu.

Lagu tersebut diilhamkan Aizat dikala negara sedang berkabung dalam menghadapi tragedi nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS), bencana banjir dan musim panas berpanjangan.

"Walaupun apa terjadi pada negara tahun lalu dan awan bersilih ganti antara putih dan gelap tetapi langit tetap biru. Lagu ini merupakan harapan kepada orang ramai untuk meneruskan hidup," katanya.

Sumber: mStar Online | 24 April 2015

Khamis, 23 April 2015

Pembinaan tembok di sempadan Malaysia - Thailand di Kelantan masih dikaji

Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim
PASIR MAS: Kerajaan Persekutuan masih mengkaji kesesuaian membina tembok sepanjang 121 kilometer di sempadan Malaysia - Thailand di Kelantan, kata Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim.

Beliau berkata pihaknya masih perlu melakukan kajian mengikut kesesuaian penduduk di kawasan itu selain mengambil kira pelaksanaannya tidak akan menyusahkan mereka.

"Maknanya bukan buat pagar nanti (akan) menyusahkan penduduk dan sebagainya tapi pagar ini perlu dibina untuk mengawal keadaan terutama aktiviti penyeberangan (secara tidak sah) di sempadan ini," katanya selepas meninjau kawasan operasi sempadan Malaysia-Thailand di Pos Tok Oh di Rantau Panjang, di sini hari ini.

Turut hadir Panglima 2 Divisyen, Mej Jen Datuk Fadzil Mokhtar dan Panglima 8 Briged Infantri, Brig Jen Datuk Azmy Yahya.

Pada 2013, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersetuju dengan cadangan polis Kelantan agar kerajaan membina tembok dan pagar di sepanjang sempadan Malaysia - Thailand di negeri ini bagi mengekang masalah penyeludupan dadah dan senjata api.

Selain itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata KDN juga akan mewartakan sepanjang tebing sungai di sempadan itu sebagai kawasan keselamatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkiple berkata Rejimen Sempadan yang ditugaskan mengawal sempadan Malaysia - Thailand di Kelantan di bawah sektor 8 Briged Infantri merampas pelbagai barangan seludup bernilai kira-kira RM1.5 juta di bawah Ops Wawasan dan Ops Merpati sepanjang tahun lepas.

Katanya Rejimen Sempadan turut merampas pelbagai barangan yang diseludup ke negara ini berjumlah RM416,269.69, bagi tempoh Januari hingga semalam.

Selain itu, katanya, Rejimen Sempadan menahan 221 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ingin memasuki atau keluar ari negara ini menggunakan laluan tidak sah sepanjang tahun lepas. 
 
Sumber: BERNAMA | 22 April 2015

Rabu, 22 April 2015

Caj perkhidmatan kekal, premis wajib letak notis - KPDNKK

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan industri perhotelan dan restoran boleh mengenakan caj perkhidmatan seperti amalan sebelum ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad.

Bagaimanapun, katanya, hanya premis yang mempunyai perjanjian bersama (CA) dengan pihak kesatuan pekerja atau termaktub dalam kontrak pekerja, boleh mengenakan caj berkenaan.

Mereka juga diwajibkan untuk mempamerkan notis makluman bahawa mereka mengenakan caj perkhidmatan di premis masing-masing agar pengguna boleh membuat pilihan, katanya.

"KPDNKK juga akan keluarkan notis standard untuk diguna pakai oleh premis tetapi buat sementara ini premis boleh pamerkan notis mengikut cara sendiri," katanya dalam sidang media mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di sini, Rabu.

Menurutnya, perkara itu merupakan antara kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat bersama agensi dan jabatan kerajaan, persatuan hotel dan restoran, kesatuan pekerja serta persatuan pengguna, Isnin lepas.

Alias berkata, satu peraturan standard mengenai caj perkhidmatan juga sudah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan kelulusan dan dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat.

Katanya, satu kajian lanjut juga akan dibuat untuk mencadangkan satu perundangan baharu bagi mengawal selia kutipan caj perkhidmatan pada masa akan datang terutama dari aspek kepenggunaan.

Menurutnya, KPDNKK juga tidak menetapkan kadar caj yang boleh dikenakan dan terpulang kepada pihak hotel dan restoran untuk menetapkan kadar caj masing-masing dengan kadar maksimum 10 peratus.

"Ketika ini purata caj yang dikenakan di negara ini adalah 10 peratus dan GST turut dikenakan ke atas caj itu," katanya.

Alias berkata, mesyuarat itu mengambil maklum bahawa pekerja industri perhotelan dan restoran mengutip caj perkhidmatan bagi menampung gaji asas pekerja yang serendah RM350 walaupun selepas pelaksanaan gaji minimum.

Mengulas mengenai Ops Catut yang dijalankan sejak pelaksanaan GST, Alias berkata, KPDNKK akan membuat strategi baharu dengan turun ke pekan kecil dan kawasan luar bandar mulai hujung minggu ini.

"Kita akan fokus kepada penjaja seperti di pasar malam sebab ada yang menaikkan harga sesuka hari," katanya.

Beliau berkata, sejak 1 April lepas, sebanyak 139,425 premis telah diperiksa dan 30 kertas siasatan sedang dalam peringkat akhir sebelum dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya minggu depan.

Sumber: mStar Online | 22 April 2015

Karnival Berbasikal Kelantan 2015 dari 22 - 24 Mei

KOTA BHARU: Persatuan Berbasikal Kelantan dengan kerjasama Badang Outdoor Solution dan kerajaan negeri akan menganjurkan Karnival Basikal Kelantan 2015 dari 22 hingga 24 Mei ini.

Pengarah Urusan Badang Outdoor Solution Razi Abdul Rahman berkata kejohanan tiga hari itu dijangka menarik penyertaan kira-kira 300 peserta termasuk dari Thailand.

"Acara yang dipertandingkan dalam karnival itu adalah Lebuh Raya Terbuka Elit 152 km (Kejohanan Kebangsaan), Terbuka Wanita 100 km dan Remaja Lelaki 112 km (bawah 18 tahun).

Selain itu, kita juga mengadakan acara kritarium membabitkan Terbuka Elite , Remaja Lelaki bawah 18 tahun, Terbuka Wanita dan Veteran serta Basikal Bukit (MTB)," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Razi berkata acara lebuh raya akan bermula di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini dan berakhir di Pantai Irama, Bachok.

Acara kritarium pula akan berlangsung di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, manakala kategori MTB pula di Lembah Sireh, di sini.

"Setakat ini beberapa kelab berbasikal seluruh negeri dan Thailand telah mengesahkan penyertaan masing-masing," katanya.

Antara pasukan yang telah mengesahkan penyertaan termasuklah Team Malaysia, NSC Cycling Team, Thailand Team dan TSG Team selain beberapa kelab amatur di Kelantan.

Razi berkata peserta berpeluang merebut Piala Presiden, Piala Badang dan Piala Pusingan Wanita Terbuka yang dipertandingkan dalam karnival itu.

"Sebagai pengurus karnival kami amat berbesar hati kerana diberi mandat oleh kerajaan negeri bagi menjayakan program ini. Karnival ini akan dijadikan acara tahunan di Kelantan," katanya.

Sumber: BERNAMA | 21 April 2015

Selasa, 21 April 2015

Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai Fasa 2A bermula 22 April

Shaari (kanan) ketika meninjau lokasi di Sungai Ketereh yang terlibat dalam projek pembinaan lebuh raya berkenaan.
KOTA BHARU: Syarikat kontraktor, Chengal Jati Sdn Bhd yang memperoleh tender Fasa 2A pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai yakin mampu menyiapkan pembinaan tersebut lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.

Pengarah Urusannya, Datuk Ir Shaari Hassan berkata, mengikut terma kontrak, pihaknya akan memulakan pembinaan esok (22 April) dan mengambil masa tiga tahun sehingga 17 April 2018 bagi menyiapkan jajaran dari Kadok ke Ketereh sejauh tujuh kilometer.

“Saya yakin mengikut pengalaman dan prestasi sebelum ini kontrak ini akan dapat disiapkan lebih awal daripada tempoh asal berakhir,” katanya selepas mesyuarat prapembinaan lebuh raya itu di Ketereh, baru-baru ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Pengarah Kanan Cawangan Jalan Jabatan Kerjar Raya, Datuk Hasnol Md Salleh. Difahamkan perasmian projek itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Shaari berkata, di sepanjang lebuh raya berkenaan akan dibina 10 jambatan merentasi tali air, jalan kampung dan Sungai Ketereh selain membina empat laluan bawah kenderaan.

Menurutnya, bagi memastikan kelancaran projek itu pula, kaedah komunikasi lebih sistematik digunakan pihaknya yang membolehkan kerja-kerja pengawasan dilakukan di mana sahaja walaupun berada di luar tapak pembinaan.

“Kita menggunakan walkie-talkie sebagai alat perhubungan antara satu sama lain, selain memasang 16 kamera di sepanjang projek berkenaan bagi memastikan kaedah pengawasan yang pertama kali digunakan ini benar-benar berkesan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM70,000 diperuntukkan untuk menyediakan kemudahan CCTV selain RM30,000 bagi kemudahan internet supaya kerja-kerja pengawasan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

“Kemudahan ini juga akan membolehkan pihak-pihak berkenaan melihat perkembangan projek ini dalam waktu sebenar tanpa perlu berada di lokasi,” katanya yang dalam masa sama mahu membuktikan bahawa orang Melayu juga mampu melaksanakan projek-projek pembangunan dalam skala besar.

Beliau berkata, bagi memastikan projek dijalankan lebih terkedepan, pergerakannya dilakukan secara serentak apabila setiap bahagian dilakukan sekali gus tanpa melalui fasa-fasa tertentu.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, banyak yang kita pelajari termasuk bagaimana untuk bergerak serentak, kerana ia memberi kemajuan yang lebih baik kepada projek dijalankan,” katanya.

Untuk rekod, Fasa 2A adalah pakej kedua yang diluluskan perdana menteri dalam program jelajah Janji Ditepati Pilihan Raya Umum Ke-13. Pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok kini sedang rancak dibina dan dijangka disiapkan pada 2017.

Dalam pada itu Shaari berkata, walaupun esok merupakan tarikh sebenar untuk memulakan projek berkenaan, namun pihaknya mengambil langkah awal dengan menempatkan kabin untuk kegunaan pihak pengurusan.

“Ini menunjukkan komitmen kami terhadap projek, insya-Allah kami akan melakukan yang terbaik bagi memastikan pembinaan dapat disiapkan pada tempoh yang ditetapkan ataupun lebih awal,” katanya.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 21 April 2015

Jumaat, 17 April 2015

SKMK City Liner kini tawarkan perkhidmatan bas ulang-alik dari Kuala Krai ke Dabong

Pelancaran operasi laluan bas Kuala Krai-Dabong-Kuala Krai di Stesen Bas Kuala Krai.
KUALA KRAI: Penduduk Dabong kini boleh menggunakan perkhidmatan bas awam apabila Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Berhad (SKMK) City Liner memulakan operasi mengambil penumpang untuk perjalanan Kuala Krai - Dabong dan Dabong - Kuala Krai bermula Isnin lalu.

Pengurusnya, Hadli Husin berkata, perkhidmatan tersebut disediakan sebanyak enam perjalanan iaitu tiga perjalanan dari Kuala Krai dan tiga lagi dari Dabong untuk jarak perjalanan sekitar 81 kilometer.

Menurutnya, perkhidmatan disediakan seawal jam 7 pagi dari Kuala Krai untuk kemudahan penduduk berurusan di kedua-dua lokasi dan kampung sepanjang perjalanan dari dan ke Dabong.

“Kita menyediakan tambang perkhidmatan mengikut cadangan kerajaan RM8.40.

“Kami berharap perkhidmatan bas ini dapat meringankan beban penduduk di Dabong selepas bencana banjir baru-baru ini di mana mereka sukar untuk ke Kuala Krai disebabkan perkhidmatan kereta api tidak dapat beroperasi seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Adun Dabong, Datuk Ramzi Ab Rahman berkata, perkhidmatan SKMK City Liner ini merupakan satu inisiatif untuk membantu rakyat Dabong yang sukar melaksanakan pelbagai urusan di Kuala Krai selepas banjir.

Hadli berkata, kereta api memainkan peranan penting kepada masyarakat Dabong sejak dahulu lagi. “Apabila kereta api tidak dapat beroperasi segala urusan penduduk terbantut.

“Tambang agak mahal untuk perjalanan pergi balik ke Kuala Krai iaitu sekitar RM80 hingga RM1,000 menyukarkan penduduk untuk keluar ke Kuala Krai lebih kerap,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Krai berkata, tambang dikenakan kepada penumpang berpatutan dan mengalu-alukan penduduk Dabong dan kampung sepanjang perjalanan antara Kuala Krai menggunakan perkhidmatan tersebut.

Katanya, sebagai pemimpin beliau akan pastikan kemudahan untuk rakyat diberikan keutamaan pada setiap masa.

“Saya menyambut baik usaha penyediaan perkhidmatan untuk masyarakat Kuala Krai dan Dabong serta mengharapkan penduduk tidak lagi berdepan masalah pengangkutan untuk kedua-dua destinasi. “Saya yakin beban rakyat dapat dikurangkan dengan adanya perkhidmatan bas ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 17 April 2015

7,950 pil kuda berjaya dirampas

Mazlan menunjukkan pil kuda yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, petang semalam.
KUALA KRAI: Polis Kelantan rampas 7,950 pil kuda bernilai RM206,750 dan menahan empat lelaki termasuk seorang dipercayai saki baki Geng Zawa yang dikehendaki pihak berkuasa kerana kes jenayah lampau dalam tiga tangkapan berasingan, sejak Isnin lalu.

Ketiga-tiga tangkapan dilakukan di Bachok, Pasir Puteh dan Gua Musang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, tangkapan menerusi Ops Jala yang pertama dilakukan di Jelawat, Bachok apabila polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sendiri, kira-kira jam 1 pagi.

“Tangkapan tersebut membawa kepada penemuan 5,400 pil kuda bernilai RM135,000 dalam 27 paket, yang diletakkan dalam satu beg hitam di atas tempat duduk penumpang hadapan.

“Polis turut menyita kereta jenis Honda Integra digunakan suspek bernilai RM90,000,” katanya kepada pemberita pada Majlis Serah dan Terima Tugas sempena persaraan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Ab Rahim Che Ghani, semalam.

Mazlan berkata, tangkapan kedua di sebuah rumah di Taman Kobena, Pasir Puteh, kira-kira jam 4 petang, Selasa lalu.

"Ketika serbuan, dua lelaki berusia 17 dan 23 tahun sedang membungkus dadah di rumah salah seorang suspek, dipercayai untuk pasaran setempat.

“Polis menemui 1,980 pil dipercayai pil kuda bernilai RM49,500 dan juga wang tunai RM3,715. Saringan ujian air kencing terhadap suspek mendapati mereka positif methamphetamine,” katanya.

Sementara itu, tangkapan pagi kelmarin, polis berjaya menahan lelaki dipercayai saki-baki Geng Zawa yang ditembak polis di Machang, sebelum ini

Menurutnya, tangkapan dibuat di tepi jalan Gua Musang, Kuala Krai, Felda Chiku Tiga dan polis turut menemui 570 pil kuda dan 12 gram heroin.

“Dengan tertangkap semua suspek, polis yakin berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif mengedar dadah beroperasi di Gua Musang, Pasir Puteh, Bachok dan Kota Bharu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 16 April 2015

Aktiviti pengorekan pasir di Sungai Kelantan diarah dihentikan - Kerajaan Negeri Kelantan

Ahmad (kanan) melihat lakaran kawasan Sungai Kelantan ketika program menyusuri Sungai Kelantan, semalam.
KOTA BHARU: Kerajaan negeri memandang serius kerja-kerja mengorek pasir haram yang dijalankan di tebing Sungai Kelantan dan giat berusaha untuk menanganinya.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya terpaksa menghentikan semua kerja mengorek pasir di tebing Sungai Kelantan buat sementara waktu untuk membolehkan pihaknya membuat penyusunan semula terhadap syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi.

“Kerja-kerja mengorek pasir secara haram tidak sepatutnya berlaku, kerana hanya kerja-kerja yang dijalankan mengikut peraturan sahaja dibenarkan, sebaliknya mereka langgar apa yang kita tetapkan.

Buat masa ini kita tutup semua, kita akan beri penjelasan, susun semula supaya mereka buat dalam keadaan terkawal dan tidak melakukan pencemaran kepada sungai,” katanya selepas program menyusuri Sungai Kelantan bersama Datuk Menteri Besar Kelantan di Sungai Kelantan di sini, semalam.

Ahmad tidak menolak kemungkinan merampas peralatan digunakan sekiranya didapati masih ada pihak yang mengingkari arahan dikeluarkan.

“Setakat ini kita hanya keluarkan arahan, dan bagi penjelasan semula, sekiranya kegiatan terus berulang, baru kita rampas,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, tinjauan pascabanjir itu juga dibuat bagi memastikan kawasan rizab sungai tidak dibangunkan dengan projek-projek yang boleh membahayakan orang ramai dan dalam masa sama melihat potensi Sungai Kelantan sebagai aset pelancongan negeri.

“Kita lihat potensi Sungai Kelantan yang begitu sesuai untuk dijadikan tempat rekreasi dan pelancongan dengan merancakkan jalan air pada masa akan datang sekali gus menambah peluang pekerjaan dan pendapatan penduduk setempat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 17 April 2015

FT mufti: Zakat-paying Musilims should be exempted from paying GST

PETALING JAYA: Federal Territories Mufti Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri said zakat-paying Muslims should be exempted from paying the Goods and Services Tax (GST) to avoid being taxed twice.

"There should be a mechanism so that Muslims who already pay zakat do not get taxed twice or it will burden them," he said in a statement posted on his Facebook page.

He also said the 6% GST rate should be reduced according to the people's needs. "The Government should also exempt the poor from being burdened with tax. The mechanism set up to collect the tax and distribute the proceeds needs to also be free from any oppressive elements," he said.

Dr Zuklifli said that GST implementation should be transparent, honest and full of integrity as the people are anxiously waiting for improvements in the quality of public transportation, education and other matters of public interest.

"A detailed explanation on GST needs to be disseminated to the people amid confusion and questions on its implementation," he added.

Zakat, an Islamic obligatory act, is a tithe that Muslims must pay monthly or annually to help the poor in their community.

The zakat rate in the Federal Territories stands at 2.5% of the total income, and is tax-deductible.
 
Source: The Star Online | Nation | 17 April 2015

Selasa, 14 April 2015

Hampir 150 hektar hutan di Pasir Mas musnah terbakar

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Azmi Osman (kiri) bersama pegawainya membuat tinjauan ke kawasan kebakaran hutan di Kampung Cherang Hangus hari ini.
PASIR MAS: Hampir 150 hektar hutan di Kampung Cherang Hangus di sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku sejak 5 April lepas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Azmi Osman berkata pihaknya kini menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kebakaran dan tidak menolak kemungkinan terdapat petani yang melakukan pembakaran terbuka bagi membersihkan kebun mereka.

"Kami mengambil masa selama seminggu untuk memadamkan kebakaran hutan ini bagi mengelak api merebak ke kawasan kebun getah dan kelapa sawit berhampiran tempat kejadian yang boleh menjejaskan pendapatan penduduk.

Kami akan menjalankan siasatan lanjut mengenai punca sebenar kejadian kebakaran hutan ini kerana cuaca sekarang panas dan menyebabkan api lebih cepat merebak," katanya ketika melakukan tinjauan di kawasan terbabit Isnin.

Beliau berkata 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tunjong, Kota Baharu menyertai operasi memadam kebakaran hutan itu.

"Sebanyak sebuah jentera, lima unit pam air yang digunakan untuk menyedut air dari parit yang terletak kira-kira dua kilometer dari tempat kebakaran sebelum disalurkan kepada tiga 'water damp' untuk menyimpan bekalan itu.

"Selain itu, 25 anggota itu dipecahkan kepada dua kumpulan, masing-masing dengan kekuatan 10 hingga 13 anggota ditugaskan secara bergilir-gilir dalam dua syif kerja selama 12 jam sehari bagi memadam kebakaran terbabit," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Azmi berkata pihaknya juga melakukan pemantauan di semua daerah di negeri ini yang dikenal pasti sering berlaku kebakaran hutan, terutama Rantau Panjang di Pasir Mas dan Bachok.

"Secara keseluruhannya kami berjaya memadam kira-kira 350 hektar hutan dan menyelamatkan ratusan hektar tanah pertanian daripada musnah sejak Januari hingga Mac lepas," katanya.

Sumber: BERNAMA | 13 April 2015

GST: Kelantan dicabar haramkan cukai negeri juga - kata 'ustaz' Umno Fathul Bari

Fathul Bari Mat Jahaya
SHAH ALAM: Kerajaan Kelantan pimpinan Pas dicabar mengeluarkan fatwa bahawa semua cukai di bawah pentadbirannya adalah haram sebelum menyanggah hukum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada masa ini.

Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahaya berkata, Pas Kelantan tidak sewajarnya menyalahgunakan dalil untuk menyerang pelaksanaan cukai baharu itu sahaja tanpa pemahaman mendalam.

"Sebenarnya, nas-nas tersebut adalah bersifat umum terhadap apa-apa cukai, jadi kenapa ditumpukan kepada GST sahaja, saya melihat ini ada usaha-usaha politik.

"Kalau hendak cakap cukai itu haram, saya minta Kerajaan Kelantan bercakap haram ke atas semua cukai, cukai pendapatan haram...cukai pintu haram...haramkan semua cukai, kenapa GST sahaja, tolong jangan selektif," katanya kepada Sinar Online, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob semalam yang mendakwa Islam melarang pemimpinnya mengutip cukai daripada orang miskin untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara.

Ahmad berkata, lagi cukai tersebut harus dikutip termasuk orang miskin apabila negara berada dalam keadaan darurat untuk tujuan mempertahankan kedaulatan negara.

Mengulas lanjut, Fathul Bari juga kesal apabila sesetengah ustaz Pas menggunakan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyatakan, ‘Tidak akan masuk syurga pemungut cukai’ dengan mudah untuk menghukum kerajaan.

“Saya hendak betulkan ada sebahagian Ustaz dengan mudah gunakan hadis ini untuk memasuk atau menerakakan pemungut cukai, kena tengok penjelasan ahli ilmu dan ulama, jangan ambil sekerat saja.

“Al-Imam Az-Zahabi berkata, ‘Ambil dari seorang yang tidak berhak dan agihkan kepada orang tidak berhak’, Imam Nawawi pula berkata, ‘Ambil harta manusia tanpa hak, agihkan bukan dengan cara yang betul,” jelasnya.

Tambah beliau, perkataan cukai dalam hadis itu merujuk kepada dua perkara iaitu kurang dan zalim, maknanya secara zalim kutip cukai, paksa orang, bila dia agihkan secara tidak adil atau kurang.

“Jadi kalau orang yang kutip zakat pun dengan bukan cara yang betul, dia termasuk dalam hadis tadi (tidak masuk syurga pemungut cukai),” katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian | Nasional | 14 April 2015

Ahad, 12 April 2015

Kajian dua tahun hasilkan teater 'Puteri Saadong'

Sabera mengambil masa selama dua tahun untuk membuat kajian terperinci pementasan teater terbaharunya berjudul Puteri Saadong.
PETALING JAYA: Aktivis teater, Sabera Shaik, 63, menjelaskan beliau mengambil masa selama dua tahun untuk membuat kajian terperinci pementasan teater terbaharunya berjudul Puteri Saadong yang sedang dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC) sejak Jumaat lalu.

Sabera berkata, selain membuat penelitian terhadap sejarah sebenar Puteri Saadong, beliau juga mengambil ilham daripada beberapa sasterawan ternama seperti Aeschylus, Shakespeare and Tage Larsen untuk menghasilkan skrip pementasan itu.

Saya perlu berulang-alik ke Kota Bharu, Kelantan selama dua tahun bagi memahami penceritaan sebenar kisah Puteri Saadong selain mendapat ilham dari beberapa karya terkemuka.

“Saya juga ingin mempertontonkan kisah sebenar mengenai Puteri Saadong yang mungkin tidak diketahui oleh generasi baharu," katanya kepada mStar Online.

Sabera turut memegang watak sebagai Puteri Saadong.
Puteri Saadong adalah salah satu teater di dalam pementasan utama Naga Women arahan Tage Larsen dari Denmark dan sedang dipentaskan sehingga Ahad (hari ini).

Dalam pada itu, Sabera berkata, adalah satu kewajipan untuk beliau mementaskan kisah raja wanita kedua negeri Kelantan itu untuk sentiasa dikenang.

Jelasnya lagi, watak tersebut merupakan peranan penting yang perlu digalas dan tenaga muzik mahir turut membantu dalam teater ini.

Bukan mudah untuk saya membawa watak Puteri Saadong kerana ia merupakan satu nama besar yang diingati sepanjang zaman.

“Menjadi satu tanggungjawab bagi saya membawa watak ini dan mujur pemuzik memberikan satu aliran jiwa untuk saya menghayati lakonan,” katanya.

Menerusi pementasan ini, Sabera dan tenaga produksinya menggunakan campuran muzik tradisional dan moden secara langsung tanpa menggunakan sebarang muzik rakaman semula bagi menghidupkan jalan cerita yang ingin disampaikan.

Penggunaan alat muzik tradisional turut memberi jiwa kepada pementasan teater Puteri Saadong.
Menurut pemuzik teater ini, Mohammad Kamrulbahri Hussin, 37, irama dan alunan muzik secara langsung memberi impak luar biasa dalam sesuatu persembahan.

“Saya menggunakan beberapa elemen muzik khususnya kepada alat muzik bertali seperti rebab dan juga beberapa peralatan lain seperti gendang ibu, keyboard serta gambus untuk mewujudkan irama keislaman.

“Dalam persembahan ini, hanya saya dan rakan, Susan Sarah John menguruskan muzik dan kami melakukan latihan yang komprihensif kerana perlu memahami dialog dan membantu agar lakonan Sabera menjadi lebih bertenaga,” katanya.

Pementasan teater Naga Women yang dihasilkan oleh Masa Kini Theatre Company ini mempunyai tiga cerita berbeza iaitu Puteri Saadong, A Million of Sitas serta Eleni of Sparta.

Tiket dijual pada harga RM100 untuk dewasa dan RM65 bagi pelajar serta warga emas.

Sumber: mStar Online | 12 April 2015

Pembinaan rumah kekal dijangka siap menjelang Ramadhan - JKR

Muhyiddin mendengar taklimat daripada jurutera JKR Tanah Merah berkaitan proses pembinaan rumah kekal ketika mengadakan tinjauan ke tapak pembinaan rumah kekal mangsa banjir di Kampung Kusial sempena lawatan kerja sehari ke Kelantan pada Sabtu. Foto: BERNAMA
TANAH MERAH: Pembinaan 27 buah rumah kekal untuk mangsa banjir di jajahan Tanah Merah dijangka siap menjelang Ramadhan iaitu pertengahan Jun depan.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Tanah Merah, Mazlan Mustafa berkata pembinaan rumah kekal itu melibatkan 11 buah kampung.

"Sekarang proses pembinaan kesemua rumah kekal itu sudah mencapai 60 peratus siap. "Rumah berkenaan mula dibina pada 24 Februari lepas," katanya ketika menyampaikan taklimat mengenai kerja membina rumah berkenaan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Kusial di sini, Sabtu.

Muhyiddin dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini. Turut hadir meninjau proses pembinaan rumah kekal itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Anggota Parlimen Tanah Merah Datuk Ikmal Hisyam Abd Aziz.

Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas pascabanjir negeri Kelantan di Pejabat Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Dabong, Kuala Krai.

Beliau meninjau lokasi penempatan mangsa banjir di kawasan berkenaan serta Sekolah Kebangsaan Dabong dan SMK Dabong, yang terjejas banjir. 

Selain itu, Muhyiddin juga menghadiri majlis penyerahan bantuan pemulihan ekonomi mangsa banjir di padang SMK Tanah Merah I.

Sementara itu, Mohd Shukri Abu Kassim, 32, yang merupakan penerima rumah kekal berkenaan berkata beliau bersyukur kerana kerajaan sudi membantu untuk membina kembali rumahnya yang musnah akibat banjir pada Disember lepas.

"Memang saya tidak sangka dapat bantuan ini, saya hanya mampu ucap terima kasih kepada pihak kerajaan yang menolong kami sekeluarga," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa syukur dapat bertemu dengan pemimpin kedua negara. "Jika dahulu hanya dapat lihat dia (Muhyiddin) dalam televisyen tetapi ini dapat lihat depan mata. "Terima kasih kerana sudi hadir dan melawat tapak pembinaan rumah saya," katanya.

Sumber: mStar Online | 11 April 2015

Sabtu, 11 April 2015

Pelajar direkrut jual dan menagih dadah seawal umur sembilan tahun

Jamaludin (tengah) menyampaikan surat penghargaan kepada seorang pegawainya, semalam
KOTA BHARU: Seawal usia sembilan tahun pelajar sekolah telah direkrut sebagai pengedar dan penagih oleh sindiket dadah bagi mempengaruhi golongan remaja dan penagih baharu.

Sindiket ini bergerak aktif dengan membelikan sebuah motosikal kepada golongan pelajar terbabit sebagai ‘habuan’ sebelum memerangkap mereka menagih dan seterusnya mempengaruhi rakan-rakan lain untuk menagih.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa Pencegahan Kepolisan Am Bukit Aman, Datuk Jamaludin Kudin berkata, sebagai pelajar yang masih bersekolah, hadiah berkenaan nampak gah dan mewah berbanding dengan usia mereka yang masih muda.

“Ingin hidup mewah menyebabkan golongan ini mudah dipengaruhi tanpa memikirkan sebab dan akibat di kemudian hari.

“Malah ada juga ramai golongan yang keciciran sekolah sanggup terlibat dalam kes dadah,” katanya demikian kepada sidang media selepas mesyuarat khas dan makan malam bersama anggota polis Bahagian Narkotik Kelantan di Pantai Cahaya Bulan (PCB) Resort, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Superintendan Mit Emong.

Jamaludin berkata, Kelantan juga turut tersenarai antara 10 negeri tertinggi dalam penglibatan dadah melibatkan pelajar ekoran keadaan negeri ini yang berada berhampiran Thailand.

“Walaupun jumlahnya tidak ramai dan masih terkawal namun kita perlu atasi masalah ini supaya penagih tidak berulang dan tidak wujud penagih baharu.

Jamaluddin berkata, secara keseluruhannya dalam kes dadah, Kedah mencatatkan tangkapan paling tinggi membabitkan kesalahan mengedar dan memiliki dadah iaitu sebanyak 37,948 tangkapan, Selangor (37,428), Johor (34,898), Pahang (26,049), Pulau Pinang (22, 160) manakala Kelantan hanya (12,235) tangkapan pada tahun lalu.

“Masalah dadah yang berleluasa di negara ini agak membimbangkan memandangkan kes sejak 10 tahun lalu belum diselesaikan ditambah pula dengan dadah (sintetik) dadah jenis baharu yang mula menular sejak 2010 sehingga kini di Malaysia,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 

Jumaat, 10 April 2015

DAP tidak wakili semua bukan Islam tentang hudud - Hadi

MARANG: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata DAP tidak mewakili semua bukan Islam menentang Rang Undang-Undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) kerana masih ramai yang memberi maklum balas positif berkaitan hudud.

Ada dalam kalangan orang bukan Islam tidak bersama dengan DAP dan mereka menemuinya sambil memberikan respons yang sangat positif dalam hal itu, katanya.

"Antaranya, ada yang membuat penyelidikan peringkat PhD (doktor falsafah) tentang politik di Malaysia. Mereka ini datang juga jumpa saya dan menimbulkan isu ini.

"Dua hari lepas juga ada pemberita daripada Reuters dan AFP...media Perancis datang membuat temu ramah dan saya turut diundang untuk memberi ceramah khusus di Universiti Nanyang, Singapura hujung bulan ni. Insya-Allah, mungkin isu ini akan dibangkitkan," katanya.

Abdul Hadi berkata semua ini menunjukkan respons secara berilmu pihak bukan Islam.

"Sebab itulah, saya mengingatkan DAP supaya tidak membuat kenyataan sehingga mengheret kepada anggapan bahawa dia (DAP) adalah anti-Islam dan nak bermusuh dengan orang Islam," katanya pada sidang media di Rusila di sini Jumaat.

Sumber: BERNAMA | 10 April 2015