Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 28 Februari 2018

Jajahan Kuala Krai bangkit selepas bah kuning

Hospital baharu Kuala Krai yang masih dalam pembinaan dijangka siap bulan depan dan akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
KUALA KRAI: Bah kuning yang bermula pada penghujung Disember 2014 dan berakhir pada awal Janua­ri 2015 diakui merupakan saat paling sukar bagi rakyat Kelantan, terutama penduduk di jajahan ini yang paling teruk terjejas.

Sejarah hitam yang berlaku lebih tiga tahun lalu itu sukar dipa­dam daripada memori penduduk. Namun, ia sedikit pun tidak meng­halang mereka untuk bangkit dan berdiri semula bagi meneruskan kehidupan masing-masing.

Bantuan daripada Kerajaan Persekutuan tidak putus-putus menjadi tulang belakang. Sehingga kini, seba­nyak RM71.45 juta telah diperuntukkan bagi membina sebanyak 1,299 rumah kekal baharu (RKB) di seluruh negeri. Daripada jumlah itu, sebanyak 896 unit RKB dibina di Kuala Krai.

Sebanyak RM50 juta lagi di­belanjakan bagi membaik pulih sejumlah 5,003 rumah penduduk yang rosak akibat banjir tersebut.

Kerajaan Pusat juga telah mem­biayai pelbagai projek di ja­jahan ini biarpun ada di antara­nya di bawah tanggungjawab kerajaan negeri. Pembinaan pe­jabat Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) bernilai RM5.5 juta adalah buktinya.

Dataran Guchil, Pasar Besar Dabong dan Pasar Besar Manik Urai juga dibina atas prihatin Kerajaan Pusat. Ke semua pasar ini melibatkan peruntukan lebih RM600,000 dan telah diserahkan kepada MDKK untuk diuruskan.

Kuala Krai juga merupakan jajahan di negeri ini yang paling banyak menerima peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dengan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur bagi membangunkan semula kawasan ini.

Semua ini bukan ‘datang bergolek’ jika tidak ada pe­mim­pin tempatan seperti Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab. Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong dan dibantu oleh timbalannya, Tuan Aziz Tuan Mat untuk me­yakinkan pucuk pimpinan negara khususnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed tentang keadaan di jajahan tersebut.

Salah satu projek paling ditunggu-tunggu penduduk ialah pembinaan Hospital Kuala Krai (HKK) bernilai RM304.7 juta dibina di atas tapak seluas 100 hektar di Kampung Pahi, kira-kira tujuh kilometer dari pusat bandar.

Seorang penoreh getah dari Kampung Manjor, Mohd. Hafiz Mohd. Alwi, 32, mengakui, dia sudah membayangkan dirinya sebagai antara ribuan penduduk Kuala Krai yang bakal menerima manfaat daripada projek berimpak tinggi tersebut.

“Selama ini saya berulang-alik membawa ayah untuk pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Krai yang lama di pusat bandar. Hospital itu jauh dari rumah kami. Kemudahannya pula terhad, kawasannya sempit dan se­ring dipenuhi orang ramai.

“Sudah tentu saya tidak sabar mahu membawa ayah ke hospital baharu yang lebih lengkap, lebih luas dan lebih selesa,” katanya.

Dengan pelbagai limpahan pembangunan sampingan seperti pembinaan kediaman dan premis komersial yang bakal wujud selepas ini, kehadiran HKK di situ boleh diibaratkan sebuah impian yang akhirnya menjadi kenyataan bagi penduduk Kuala Krai.

HKK yang kini sudah 99 peratus siap menawarkan 2,700 perjawatan, 268 katil, 11 wad dan lapan bilik bedah serta doktor pakar sepenuh masa. Hospital kebanggaan warga Kuala Krai itu dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bulan depan.

Dalam pada itu, pembinaan jambatan kekal merentangi Su­ngai Lebir yang menghubungkan Kampung Pemberian dan Kampung Manjor bernilai RM27 juta turut menjadi tumpuan. Projek itu kini mencapai 32 peratus dan dijangka siap November ini.

Apabila siap, kemudahan itu bakal menyelesaikan masalah lebih 2,500 penduduk di situ yang se­ring terputus hubungan akibat jamba­tan rosak setiap kali hujan lebat.

“Selama ini kami dihubungkan dengan jambatan sementara yang dibina oleh pihak tentera. Setiap kali hujan lebat, paras sungai mening­kat dan menenggelamkan jambatan. Lebih malang, jamba­tan itu juga kerap runtuh dihentam balak hanyut.

“Jujurnya, saya bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana membina jambatan baharu untuk kami. Jujur juga saya katakan, saya tidak sabar mahu melalui­nya,” kata seorang penduduk, Mohd. Alwi Mohd. Ali, 73.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 27 Februari 2018 | Terbitan 28 Februari 2018

Sabtu, 24 Februari 2018

Barisan Nasional gov't can develop Kelantan better - Mustapa

PASIR MAS: The Barisan Nasional (BN) government is able to develop Kelantan better if given the mandate by the people in the 14th General Election (GE14), said Kelantan Umno Liaison chairman Datuk Seri Mustapa Mohamed.

He said that all this time, the BN government had provided much assistance to the people through various development projects implemented for their well-being.

"If the BN succeeds in administering Kelantan in the coming GE, I will ensure this state will, among others, become number one in the agriculture sector," he said when speaking at the 'An Evening with the People' programme attended by Deputy Prime Minister Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi at Tendong Kemubu Agricultural Development Authority (KADA) here today.

Also present were Ahmad Zahid's wife Datin Seri Hamidah Khamis, Deputy Rural and Regional Development Minister Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Deputy Minister in the Prime Minister's Department Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki and Pasir Mas UMNO division chief Senator Datuk Hanafi Mamat.

Mustapa, who is also International Trade and Industry Minister, said the federal government through its various agencies could rehabilitate abandoned land as was being undertaken in the 60-hectare of idle land in Kampung Bendang, Bunut Susu here.

Source: Bernama | 24 February 2018

RM5.5 juta bantu warga emas, ibu tunggal, bina masjid di Pasir Mas

PASIR MAS: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan peruntukan RM5.5 juta bagi membantu warga emas, ibu tunggal, pembinaan dan baik pulih dua masjid di kawasan Parlimen Pasir Mas.

Selain itu, beliau turut mengumumkan sejumlah peruntukan bagi membina 647 unit Rumah Bina Baharu (RBR) dan membaik pulih 1,230 rumah.

Beliau berkata peruntukan RM5.5 juta itu merangkumi RM500,000 bagi membantu warga emas dan ibu tunggal, RM4 juta bagi membina bangunan baharu Masjid Bunut Susu dan RM1 juta bagi membaik pulih Masjid Iktikaf Kampung Atas Pinggir di sini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Rakyat di Dataran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Tendong, di sini hari ini.

Hadir sama isteri Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas Senator Datuk Hanafi Mamat.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyerahkan replika cek bernilai RM1 juta kepada Pengerusi Masjid Iktikaf Kampung Atas Pinggir, Arifin Idris.

Ahmad Zahid berkata Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menganaktirikan Kelantan walaupun ia telah diperintah oleh pembangkang sejak 28 tahun lepas.

Beliau berkata BN reda dengan keadaan tersebut dan tidak pernah berhasrat untuk menyekat sebarang pembangunan di negeri berkenaan terutama di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Namun dalam pada itu, beliau berkata rakyat Kelantan harus bersyukur dan mengucapkan terima kasih atas segala nikmat pembangunan yang dikecapi menerusi pelbagai peruntukan yang diberi kerajaan persekutuan selama ini.

"Rakyat kena pilih orang yang memberi, tanda syukur kita kepada Allah Taala. Oleh yang demikian kita merasakan bahawa angin perubahan telah sampai. Tapi kalau kita tolak nikmat maka kita kufur kepada nikmat (yang diberikan).

"Dalam keadaan ini mintalah kepada yang ada, berteduhlah di dahan yang rendang, bermudiklah di muara yang tenang. Sesungguhnya dahan yang rendang dan muara yang tenang adalah Barisan Nasional. Kini masanya untuk kami (BN) mengambil alih Kelantan," katanya.

Sumber: Bernama | 24 Februari 2018

Khamis, 22 Februari 2018

Pelabuhan Tok Bali dicadang sebagai hab eksport produk halal

PASIR PUTEH: Pelabuhan Tok Bali di sini akan dicadangkan sebagai hab eksport produk halal dari negeri ini terutama ke negara-negara di rantau ASEAN.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau akan mengemukakan cadangan itu untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

Menurutnya, ini berikutan produk halal keluaran Kelantan sebelum ini dieksport menerusi kemudahan Pelabuhan Kuantan, Pahang serta Pelabuhan Klang di Selangor.

"Negara-negara terutamanya Kemboja, Vietnam dan Thailand selain Jepun (terletak) begitu hampir dengan Pelabuhan Tok Bali," katanya ketika berucap merasmikan program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di sini, pada Sabtu.

Menurut Asyraf Wajdi, kewujudan hab itu akan turut memberi peluang lebih besar kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk mengeksport produk mereka.

Sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan diminta membantu pengusaha IKS negeri ini mendapatkan sijil halal bagi membolehkan mereka memperluaskan perniagaan masing-masing ke luar negara, katanya.

Sementara itu, ECER dalam satu kenyataan berkata, potensi perkembangan Pelabuhan Tok Bali itu akan turut dipacu oleh pembangunan berimpak tinggi yang bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan selain aspek keusahawanan kepada rakyat.

Sejajar kedudukannya di lokasi strategik, pelabuhan itu juga berpotensi sebagai hab pengedaran serantau bagi barangan perdagangan rentas sempadan terutama wilayah selatan Thailand.

Sumber: Bernama | 28 Januari 2018

UMK bakal buka kampus cawangan di Besut, Terengganu

KUALA TERENGGANU: Cubaan untuk memberikan gambaran buruk terhadap kerajaan negeri dengan terus menjadikan Taman Ilmu di Besut sebagai sasaran untuk digagalkan akan terhenti dengan kemasukan dua lagi universiti yang dijadualkan beroperasi tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kemudahan yang dirancang sebagai hab pendidikan tinggi dan gerbang pendidikan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah menarik Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) untuk menempatkan kampus induk dengan beroperasi sebagai sebuah universiti penuh.

Selain itu katanya, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang dalam proses perkembangannya turut menyatakan hasrat yang sama bagi membuka kampus cawangan di kompleks yang mampu menampung keperluan sekitar 50,000 hingga 100,000 orang.

Satu perjanjian akan dimeterai dengan UMK dan Kementerian Pelancongan dan kebudayaan pada pertengahan Mac, dan dengan perkembangan itu juga, Terengganu akan memiliki sebuah lagi universiti (Aswara yang bakal dinamakan Universiti P. Ramlee) ,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menutup program Profesor Bersama Masyarakat anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) di pekarangan masjid Tok Jembal di sini hari ini.

Program selama dua hari itu yang turut dihadiri Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof. Datuk Dr. radhuan Che Ros itu dipenuhi dengan pelbagai kegiatan termasuk diskusi ilmu, motivasi kepada para pelajar di samping kegiatan kemasyarakatan.

Menurut Ahmad Razif, perkembangan terbaharu yang bakal tercetus akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi setempat selain membuka lebih banyak peluang pekerjaaan kepada rakyat, sekali gus memberi makna kepada negeri ini sebagai negeri Anjung Ilmu.

Taman Ilmu yang dibangunkan pada 2004 di kawasan seluas 280 hektar dengan kos kira-kira RM300 juta itu terbengkalai dan disambung semula pada 2012 dengan menyediakan kelengkapan asrama, kompleks pusat pelajar, dewan konvokesyen dan kompleks sukan serta mini stadium.

Pembukaan kompleks itu dirintis oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan menempatkan pelajar mereka dari Kampus Besut pada tahun lalu yang dijangka mencecah 500 orang nanti.

Pendekatan dengan konsep perkongsian yang disediakan oleh kerajaan negeri bagi mana-mana institusi pendidikan tinggi menarik minat banyak pihak kerana tidak perlu mengambil masa yang panjang dan kos yang tinggi untuk membuka kampus atau pejabat, malah dapat beroperasi dalam suasana yang kondusif. 

Sumber: Utusan Online | Nasional | 9 Februari 2018

97 projek impak tinggi ubah wajah Kelantan

KOTA BHARU: Sebanyak 364 projek yang bernilai RM14.83 bilion dilaksanakan di Kelantan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Daripada jumlah itu, sebanyak 97 projek berimpak tinggi akan dan sedang dilaksanakan membabitkan kos RM11.62 bilion.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Yahaya Mamat, berkata antara projek berimpak tinggi itu adalah pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra membabitkan kos RM483 juta; Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai (Pakej 1B Pasir Hor - Kadok) berjumlah RM310.5 juta.

Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Krai, Pakej 2B Ketereh ke Kok Lanas (RM229.79 juta); Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai Pakej 2A, Kadok-Ketereh (RM189.28 juta); Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) Pakej 3 Gua Musang ke Kampung Relong, Pahang (RM253.5 juta).

Katanya, Kerajaan Pusat juga akan membina jejambat dari Kota Bharu ke Bulatan Wakaf Bharu bernilai RM144.49 juta yang akan mengatasi kesesakan teruk di kawasan itu.

"Selain itu, Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Kewangan juga menyediakan peruntukan geran tahunan kepada negeri Kelantan membabitkan jumlah RM350 juta sehingga Oktober tahun lalu.

"Ia membabitkan pemberian kekurangan akaun mengurus kerajaan negeri seperti membayar gaji dan sebagainya sebanyak RM54.6 juta," katanya ketika Taklimat Pembangunan Negeri Kelantan bersama media di pejabat JPP, di sini, hari ini.

Yahaya berkata, menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan geran tahunan sebanyak RM21.3 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Katanya, peruntukan itu adalah untuk pembayaran gaji kakitangan; pembelian peralatan pentadbiran serta perkhidmatan perbandaran; pelaksanaan program dan sebagainya.

"Kerajaan Pusat turut menyalurkan siling peruntukan sebanyak RM90.13 juta untuk 701 projek dari tahun 2014 hingga 2017 untuk membantu PBT dalam penyelenggaraan dan menaiktaraf kawasan pentadbiran tempatan bagi membolehkan rakyat menikmati taraf sosial ekonomi yang selesa," katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM168.86 juta lagi diperuntukkan untuk projek pembinaan dan baik pulih masjid serta surau di negeri ini.

Katanya, kerajaan juga memperuntukkan RM91.3 juta pada tahun lalu, untuk membayar elaun imam, guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru Takmir, pegawai penyelaras masjid daerah, fasilitator pusat khidmat keluarga dan bantuan sekolah pondok, Sekolah Menengah Agama Rakyat dan institut tahfiz.
 
Sumber: Berita Harian | Nasional | 21 Februari 2018

RMK-11: 97 projek berimpak tinggi di Kelantan

Yahaya memberikan taklimat kepada media semalam.
KOTA BHARU: Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM14.8 bilion melibatkan 364 projek dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) di Kelantan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 58 projek berimpak tinggi sudah dan bakal dilaksanakan melibatkan peruntukan RM9.21 bilion sekali gus mengetepikan tanggapan negeri ini dipinggirkan Kerajaan Pusat.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Datuk Yahaya Mamat berkata, antara projek tersebut Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 1 berjumlah RM572 juta dan pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan yang melibatkan peruntukkan RM483 juta.

Selain itu juga, pembinaan Lebuh Raya Bharu - Kuala Krai dari Pasir Hor ke Kadok juga sudah memasuki fasa 98 peratus, selain projek naik taraf Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) Pakej 3D di Gua Musang melibatkan peruntukkan RM253 juta dijangka akan ditender Ogos ini.

"Pembinaan bangunan guna sama Tunjung yang melibatkan RM576 juta akan dimulakan pada Mac ini, manakala pembinaan loji rawatan kumbahan serantau dan rangkaian paip pembentungan di Tunjung (RM500 juta) juga dimulakan Mac ini," katanya dalam talimat media di bangunan JPP disini, semalam.

Yahaya berkata, menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukkan geran tahunan sebanyak RM21.3 juta kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 22 Februari 2018

Kaji semula peraturan berkaitan aktiviti pembalakan - Shahidan

GUA MUSANG: Kerajaan Kelantan perlu mengkaji semula peraturan berkaitan aktiviti pembalakan di negeri itu berikutan kebanyakan syarikat yang mendapat kawasan pembalakan membuang sisa kayu balak ke dalam sungai hingga menyekat pengaliran air.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata perkara itu perlu dilihat secara positif kerana ia membabitkan kemusnahan alam sekitar, sekali gus turut menjejaskan penduduk Orang Asli yang bergantung kepada air sungai.

"Saya dapat lihat sendiri sisa kayu balak dicampak ke dalam sungai hingga mematikan pengaliran air," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan sekumpulan penduduk Orang Asli yang mengadakan sekatan di laluan lori balak di Kampung Cawas, Pos Bihai, di sini hari ini.

Shahidan turut mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along berhubung sekatan itu yang dibina sejak seminggu lalu sebagai bantahan terhadap aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan kerana didakwa memusnahkan sumber hutan dan berlakunya pencemaran.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Datuk Azmy Yahya dan Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang Tuan Mustapha Tuan Soh.

Sementara itu, Shahidan menasihati penduduk Orang Asli yang mengambil tindakan mengadakan sekatan tersebut berbincang mengikut saluran yang betul dengan pihak berkenaan khususnya kerajaan negeri.

Pada masa sama, Shahidan berkata beliau sedia mendengar sebarang aduan daripada komuniti itu yang berkaitan kerajaan persekutuan dan akan membawa aduan tersebut kepada agensi berkaitan.

"Saya datang bertemu dengan mereka (penduduk Orang Asli) kerana ingin menjaga kebajikan mereka berikutan ada antaranya yang tinggalkan anak isteri di rumah untuk bersama-sama menuntut hak mereka dengan mengadakan sekatan terbabit,"katanya.

Sumber: Bernama | 21 Februari 2018

Rabu, 14 Februari 2018

Op Mandarin : 33 PATI ditahan di Kelantan

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Op Mandarin sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula malam tadi hingga awal pagi hari ini.

Pengarahnya Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata kesemua PATI terbabit berumur antara 12 dan 49 tahun ditahan di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkuatan Jalan (JPJ) Gua Musang pada 9 malam tadi hingga 3 pagi tadi.

"PATI yang ditahan membabitkan tiga lelaki warga Bangladesh, empat lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia, dua lelaki warga India, seorang lelaki warga Pakistan serta 17 lelaki dan lima perempuan warga Myanmar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Wan Mohammed Saupee berkata kesemua PATI itu ditahan mengikut Seksyen 15(1) kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh dibenarkan serta Seksyen 6(1)(a) akta sama kerana tidak mempunyai pas atau permit sah untuk tinggal di negara ini.

Katanya kesemua mereka kini ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

Sumber: Bernama | 14 Februari 2018

Kerajaan Persekutuan bina 15 klinik baharu di Kelantan sejak 2015

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan meluluskan pembinaan 15 Klinik Kesihatan Jenis 7 yang baharu sejak 2015 bagi menggantikan Klinik Desa yang rosak akibat banjir besar yang melanda Kelantan pada 2014.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata pembinaan klinik kesihatan itu dianggarkan bernilai RM85 juta, dengan 10 klinik sedang dalam proses pembinaan.

"Antara 10 klinik yang sedang dibina termasuklah Klinik Kesihatan Rantau Panjang, Klinik Kesihatan Kok Lanas dan Klinik Kesihatan Pos Brooke.

"Lima lagi klinik akan dibina selepas kita temui tapak yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Permulaan Pembinaan Tapak Klinik Kesihatan Jenis 3 Penambang di sini, hari ini.

Klinik Penambang yang akan dibina di atas tanah seluas 3.4 hektar dekat Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, bakal memberi manfaat kepada hampir 20,000 penduduk di kawasan berkenaan.

Perkhidmatan yang disediakan termasuklah Klinik Pesakit Luar, Kesihatan Ibu dan Anak, Kecemasan, Pergigian, Pentadbiran dan Pengurusan, Unit Makmal, Unit Farmasi, Unit Pemulihan Cara Kerja, Unit Pemulihan Anggota, Unit Perkhidmatan X-Ray dan Unit Bekalan Air dan Kesihatan Alam Sekeliling (BAKAS).

Dr Ahmad Razin berkata projek itu akan menggantikan klinik sedia ada dengan kos RM21.3 juta dan dijangka siap menjelang akhir 2019.

Sementara itu, mengulas mengenai pembinaan Hospital Kuala Krai (HKK) yang baharu, beliau berkata hospital berkenaan kini telah 99.5 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac ini.

Katanya ia merupakan satu daripada projek mega oleh kerajaan Persekutuan di Kelantan untuk kemudahan rakyat.

Sumber
: Bernama | 14 February 2018

Isnin, 12 Februari 2018

Hospital Kuala Krai bertaraf antarabangsa

Kompleks Hospital Kuala Krai (HKK) yang baharu di tepi Lebuh Raya Kuala Krai - Gua Musang.
KUALA KRAI: Hospital Kuala Krai baharu yang kini 99.5 peratus siap mempunyai kemudahan canggih bertaraf antarabangsa.

Ketua BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tidak banyak hospital di dunia yang mempunyai kemudahan seperti yang terdapat di hospital ini.

"Bukan sahaja canggih malah hospital ini akan turut mempunyai jawatan baharu, doktor pakar, berikutan pertambahan bilik bedah daripada dua di hospital lama kepada lapan bilik bedah baharu.

"Sementara itu, kakitangan juga akan meningkat daripada 900 kepada 2,700 orang, tidak lama lagi," katanya ketika lawatan ke Hospital Kuala Krai baharu, hari ini.

Turut serta, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Yahaya Mamat; Pemangku Timbalan Pengarah Perubatan, Dr. Maizon Mohd Zain dan Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, pertambahan kakitangan akan memberikan kesan besar terhadap kawasan sekitar hospital dengan permintaan tinggi terhadap tempat tinggal, pusat riadah serta pusat perniagaan.

"Apabila dibuka kelak, hospital ini bakal menjadi projek terbesar bukan sahaja di Kuala Krai malah di Kelantan.

"Ia juga bakal membuka peluang pekerjaan serta peluang perniagaan kepada masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata, ramai menganggap kerajaan pusat bertanggung jawab menyediakan segala kemudahan untuk rakyat.

"Memang benar tanggung jawab kerajaan,tetapi sebenarnya bukan mudah untuk mendapatkan sesuatu projek,ia memerlukan perancangan serta kepimpinan yang baik, kita bernasib baik Datuk Seri Najib prihatin dengan rakyat Kelantan," katanya .

Beliau berkata, banjir besar Disember 2014 memberikan kesan besar terhadap Kuala Krai.

"Segala kerosakan termasuk rumah guru, sekolah serta institusi agama berjaya disiapkan," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 11 Februari 2018

BENARKAH TUN DR. MAHATHIR TIDAK PERNAH MENDISKRIMINASI KELANTAN?

TERKEJUT besar saya bila mendengar ucapan Naib Presiden AMANAH, Haji Husam Musa, dalam Ceramah Perdana Sempena Pelancaran Pakatan Harapan Parlimen Bachok di Pejabat AMANAH Bachok malam tadi, 9 Februari 2018, yang berbunyi “Tun Dr Mahathir ni tidak pernah diskriminasi Kelantan”.

Ini kerana ucapan Haji Husam ini jauh bertentangan dengan kenyataan beliau sendiri sebelum ini, dengan kenyataan Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, yang merupakan Pengerusi AMANAH Kelantan, sebelum ini, malah dengan kenyataan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri sebelum ini.

Dalam kenyataan beliau sempena 22 tahun pemerintahan PAS di Kelantan pada tahun 2012, Haji Husam telah menyebut: “Sikap diskriminasi UMNO yang berterusan, seperti penafian pembayaran royalti petroleum, pembinaan lebuh raya, lapangan terbang yang masih tidak diberikan status antarabangsa, pelabuhan yang belum benar-benar dimajukan oleh Kerajaan Pusat dan wujudnya pelbagai diskriminasi yang lain.”

Dalam kenyataan beliau pada tahun 2011, Haji Wan Abdul Rahim telah menyenaraikan 17 diskriminasi Kerajaan Persekutuan terhadap Kelantan, termasuk:
  1. Menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebaik sahaja PAS berjaya memerintah negeri itu pada tahun 1990 bagi tujuan mengganggu sistem pentadbiran kerajaan negeri.
  2. Menteri Besar tidak lagi dilantik menjadi Pengarah Keselamatan Negeri Kelantan.
  3. Baja subsidi tidak lagi diberikan secara menyeluruh oleh Kerajaan Persekutuan kepada rakyat Kelantan.
  4. Menteri Besar tidak lagi dijemput di dalam Mesyuarat-Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri.
  5. Geran Persekutuan dalam bentuk capitation grant, federal road grant, growth grant, dalam bentuk geran keseimbangan dan lain-lain diberi amat lewat.
  6. Peruntukan geran rumah awam kos rendah sebanyak RM12 juta yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan melalui pihak Perbadanan Kemajuan Iktisas Negeri Kelantan telah ditarik balik sebaik sahaja PAS berjaya memerintah Kelantan.
  7. Permintaan Tuan Guru Nik Aziz sejak tahun 1991, menerusi pertemuannya dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, agar diwujudkan satu pelabuhan di Kelantan, tetap tidak dilayan oleh Kerajaan Persekutuan hingga kini.
  8. Tok Guru minta supaya tanah yang telah pun diambil di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa untuk memanjangkan landasan penerbangan, sampai ke hari ini pun tidak dapat digunakan lagi.
  9. Royalti petroleum kepada Kerajaan Kelantan tetap terus dinafikan sehingga hari ini, sehingga Kerajaan Kelantan terpaksa membawanya ke mahkamah untuk mendapatkan royalti minyak dan gas hak rakyat negeri Kelantan.
  10. Apabila berubah kerajaan, wakil kerajaan negeri untuk berada di dalam Lembaga Pengarah KESEDAR tidak lagi diminta daripada kerajaan negeri, tetapi dilantik mengikut kesukaan pihak Kerajaan Persekutuan sendiri
Penegasan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai diskriminasi Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Kerajaan Kelantan pula telah terlalu banyak direkodkan dan tidak jauh berbeza daripada kenyataan-kenyataan Haji Husam dan Haji Wan Abdul Rahim yang merupakan bekas Setiausaha-Setiausaha Politik beliau sebelum ini.

Malah, bekas pemimpin UMNO seperti Datuk Zaid Ibrahim juga turut mengakui diskriminasi Tun Dr Mahathir terhadap Kerajaan Kelantan ini di mana di dalam satu tulisan beliau pada tahun 2009 beliau telah menyebut: “Bila BN kalah kepada PAS sejak 1990, setiap kali Pilihan Raya Umum BN berjanji nak buat macam-macam kebaikan untuk rakyat di Kelantan. Tapi setiap kali BN kalah, orang Kelantan terus menjadi mangsa diskriminasi pembangunan BN.”

Lebih jauh lagi, diskriminasi Tun Dr Mahathir terhadap Kerajaan Kelantan ini juga turut disebut di dalam tesis PhD Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff pada tahun 1998 bertajuk “Federalism in Malaysia: A Study of the Politics of Centre-State Relations” dalam mana beliau telah menyebut:
  1. “This centralisation of constitutional powers has been used by the federal government in a discriminatory manner to gain leverage against state governments under opposition control.”
  2. “The Federal Government refused to cooperate with the PAS-led state government in administering the state and also limited its assistance to the state’s economic development programmes in order to undermine the credibility of PAS claims to be a legitimate alternative to UMNO rule.”
  3. “Mahathir’s UMNO discriminated against Kelantan in terms of cultural development.”

Tidak saya sangka sama sekali sampai ke tahap ini cubaan mensucikan Tun Dr Mahathir selaku Pengerusi Pakatan Harapan dan selaku calon Perdana Menteri Pakatan Harapan boleh berlaku di kalangan pemimpin Pakatan Harapan Kelantan, termasuk oleh Haji Husam selaku Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan sendiri.

Nota: Isu royalti petroleum kepada Kerajaan Kelantan bagaimanapun hanya berbangkit selepas Tun Dr Mahathir tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Sumber: Facebook Dr. Kamarul Yusoff | 10 Februari 2018

Ahad, 11 Februari 2018

Tidak bayar royalti petroleum kepada Kelantan, Husam pertahan Tun Mahathir

BACHOK: Di sebalik kecaman terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan mendiskriminasikan Kelantan termasuk tidak membayar hasil royalti minyak, pemimpin Pakatan Harapan (Harapan) kini menafikan bekas perdana menteri itu individu yang bertanggungjawab meminggirkan negeri ini.

Semasa berucap di ceramah di Pejabat Amanah Bachok di sini, Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa menjelaskan Tun Mahathir bukan pemimpin yang menolak tuntutan royalti minyak Kelantan, kerana beliau tidak lagi menjadi perdana menteri ketika pengeluaran minyak dilakukan pada 2004.

"Ada pemimpin Pas kata Tun Mahathir tidak mahu bayar, orang itu tidak semak, (Tun) Mahathir berhenti 2002, minyak kita keluar 2004, macam mana (Tun) Mahathir nak sekat, minyak pun tak keluar lagi, itu sudah fitnah, jelas mereka yang membuat dakwaan tidak membuat semakan," katanya.

Pemimpin Pas Kelantan sebelum ini antara yang lantang mendakwa Tun Mahathir mengamalkan diskriminasi termasuk tidak menyalurkan projek yang sepatutnya kepada rakyat Kelantan.

Bekas exco kerajaan Kelantan yang bertanggungjawab menuntut royalti itu turut mendakwa, Tun Mahathir juga bukan sahaja menolak hab petroleum di Pantai Senok di Bachok sebaliknya, mendakwa bekas pemimpin nombor satu negara itu telah bersetuju dengan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk membangunkan projek itu.

"Saya nak betulkan, Tun Mahathir tidak pernah diskriminasi Kelantan, yang jadi 'raja' ketika itu, Tan Sri Annuar Musa, bukan (Tun) Mahathir, buktinya (Tun) Mahathir pernah setuju dengan Tok Guru Nik Aziz nak bawa pusat petroleum di Senok... sehigga terbina satu kilang, ketika itu lantik KUB Malaysia Bhd (KUB) dengan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), bagaimanapun tahun 1997-1998 ekonomi kita jatuh dan (projek) tak jadi," katanya.

Husam berkata, melalui Harapan, pihaknya mahu memastikan idea menjadikan Bachok khususnya Pantai Senok sebagai hab petroleum diteruskan sekiranya mampu memerintah negara selepas PRU14 nanti.

Malah, katanya, secara peribadi, Husam telah bercakap dengan Tun Mahathir dan bekas perdana menteri itu berjanji royalti akan dikembalikan kepada Kelantan.

"Kita boleh semak balik, Bachok masih sesuai pusat pelaburan minyak dan gas sekaligus membawa kemajuan kepada orang kampung, lebih lebih lagi (Tun) Mahathir ada pengalaman, kita akan semak akaun Petronas dan betulkan yang mana salah bayar.

"Ketika ini siapa boleh perjuangan isu royalti, menteri besar (Datuk) Ahmad Yakob tak bersuara pun, wang ehsan yang dapat pun disalurkan kepada (agensi) persekutuan, kalau Umno menang juga mereka tak bayar royalti," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini menegaskan beliau bersikap adil kepada Kelantan dengan menyalurkan peruntukan dan pelbagai projek tidak sepertimana di bawah pemerintahan Tun Mahathir.

Malah, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam satu kenyataan mengakui pentadbiran Najib dikatakan lebih baik berbanding zaman Tun Mahathir.

Sumber: Sinar Harian | Politik | 10 Februari 2018

Cuaca dingin, berkabus di Gua Musang

Jambatan sementara Pulau Setelu, Gua Musang, Kelantan berkabus tebal pagi ini.
GUA MUSANG: Cuaca dingin dirasai penduduk di Gua Musang sejak beberapa hari lalu. Tinjauan mendapati cuaca sejuk dan kabus tebal melanda kawasan ini ketika awal pagi.

Bacaan suhu melalui aplikasi telefon bimbit juga mencatat suhu rendah antara 17 sehingga 21 celcius setiap pagi.

Seorang peniaga di bandar Gua Musang, Hasnah Deraman, 46, berkata, cuaca dingin yang melanda daerah ini boleh dianggap luar biasa.

Katanya, setiap pagi cuaca berkabus dan udaranya agak sejuk. “Rasanya sudah hampir seminggu cuaca dingin seperti ini.

“Paling ketara waktu pagi dan malam apabila tidur tidak perlu pasang kipas serta tidur dengan memakai baju sejuk,” katanya di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk Rohaizad Che Soh, 41, yang tinggal di Kampung Pulau Setelu di sini juga mengakui perkara itu.

Katanya, pada waktu pagi sejuknya terasa hingga ke tulang dan kabus tebal melanda di kawasan kampung sehingga menjejaskan pandangan.

“Waktu siang walaupun panas, sesekali angin datang terasa sejuk juga.

“Mungkin keadaan ini menandakan musim kemarau akan tiba kerana sebelum ini musim tengkujuh melanda daerah ini.

“Kita juga menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila melalui jambatan sementara Pulau Setelu pada awal pagi kerana kabus tebal,” katanya.

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 11 Februari 2018

Pasar Terapung Kota Pengkalan Datu jadi tarikan Tahun Melawat Kota Bharu 2018

Hafiz Hazin (tengah, berbaju biru) ketika melawat pasar tani pelancongan di Pengkalan Datu, Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU: Kemunculan pasar tani pelancongan yang menggunakan konsep pasar terapung di Kota Pengkalan Datu, di sini mampu membantu menarik kehadiran pelancong ke negeri ini sebagaimana sasaran iaitu lima hingga lapan juta orang pada tahun ini.

Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Hafiz Hazin berkata, sasaran ini ditetapkan membabitkan pelancong dari dalam dan luar Kelantan sempena Tahun Melawat Kota Bharu 2018.

Katanya, pasar tani terapung unik di Pengkalan Datu yang dibuka sejak awal September lalu merupakan sebahagian daripada strategi pihaknya bagi meningkatkan sektor pelancongan di Kelantan.

“Selain membeli barang-barang di sini dengan harga murah, pengunjung juga boleh mencuba beberapa lagi aktiviti menarik seperti melihat proses membuat wau dan gasing serta berpeluang menaiki ‘river cruise’ meninjau panorama sekitar Sungai Pengkalan Datu ini.

“Pihak Tourism Malaysia sentiasa mengalu-alukan sebarang produk pelancongan kerana kita ingin mempelbagaikannya supaya pelancong sentiasa ditawarkan dengan pelbagai perkara baharu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pasar itu, di sini hari ini. 

Sumber: Utusan Online | Nasional | 10 Februari 2018

Cadangan pembinaan lapangan terbang di Machang cuma 'umpan' mahu pancing undi

Ibrahim Ali (kiri, berdiri) menyampaikan ucapan sebelum menyerahkan sumbangan beras kepada penduduk di DUN Pengkalan Pasir.
PASIR MAS: Cadangan Kerajaan Pas Kelantan untuk membina lapangan terbang di Sungai Bagan, Machang hanyalah modal politik untuk memancing undi rakyat bagi memastikan mereka menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, kemudahan itu bukan satu keperluan penting buat rakyat lebih-lebih lagi jaraknya dengan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LSTIP) tidak terlalu jauh.

Menurutnya, keperluan utama ketika ini ialah menaik taraf LSTIP supaya menjadi lapangan terbang antarabangsa yang akan memberikan lebih banyak limpahan manfaat kepada rakyat.

"Ada hati nak berjanji buat itu dan ini sedangkan apa yang mereka (Pas Kelantan) janjikan sebelum ini tidak pernah ditunaikan walaupun sebesar kelingking.

"Saya lihat cadangan ini tidak masuk akal dan lebih kepada politik sahaja, maklumlah dekat-dekat pilihan raya," katanya selepas bertemu penduduk dan menyampaikan sumbangan beras di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Datuk Dr. Wan Zawawi Wan Ismail memberitahu, Kerajaan Pas Kelantan merizabkan tanah seluas 200 hektar untuk pembinaan lapangan terbang bertaraf antarabangsa di kawasan tersebut.

Kenyataan beliau disiarkan di laman web Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, semalam.

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 9 Februari 2018

Kompleks sukan untuk rakyat Pasir Puteh akan dibina

Khairy Jamaluddin (kiri) dan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika Program Townhall di Kompleks Uthmaniyah Kampung Pulau Lima, Pasir Puteh hari ini.
PASIR PUTEH: Impian penduduk jajahan ini untuk memiliki sebuah kompleks sukan sendiri menjadi kenyataan apabila kemudahan tersebut yang bernilai RM8 juta akan dibina berhampiran Terusan Semerak, Tok Bali di sini dalam masa tedekat.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, kompleks sukan berkenaan merupakan antara 14 kompleks sukan baharu yang akan dibina kerajaan sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2018.

Beliau berkata, pelbagai kemudahan akan disediakan dalam kompleks berkenaan dengan mengambil kira keperluan penduduk setempat.

"Kita belum menentukan lagi bila projek ini bermula, namun pembinaan kompleks di atas tanah seluas enam hektar ini akan mengambil masa antara 12 hingga 18 bulan," katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Townhall Bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Kompleks Uthmaniyah, Kampung Pulau Lima, di sini hari ini.

Program itu diadakan sempena Fiesta Sehati RTM @ AKOK 25.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman.

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 9 Februari 2018

ECRL: Kami tidak tolak pembangunan tapi kerajaan perlu beri penjelasan

Sebahagian pemilik tanah dan pesawah yang memohon pihak berwajib memberi penjelasan mengenai pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Mukim Tunjong ketika ditemui di Kampung Tiong Dalam di Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU: Penduduk khususnya pesawah padi di beberapa buah kampung dalam Mukim Tunjong, di sini tidak menolak pembangunan tetapi berharap pihak kerajaan memberi penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di kawasan mereka.

Hal ini kerana sejak awal bulan lalu, pihak yang mendakwa sebagai kontraktor projek ECRL telah membina jalan sementara merentasi sebahagian kawasan sawah di Kampung Pulau Tebu, Kampung Tiong Dalam dan Kampung Kubang Kacang tanpa pampasan atas kerugian akibat kemusnahan anak padi yang baru tumbuh.

Kira-kira 50 pemilik tanah dan pesawah padi di kawasan terjejas musykil kerana wakil kontraktor hanya membayar antara RM4 hingga RM100 sahaja, kononnya bagi tempoh sewaan enam bulan kawasan tanah yang digunakan untuk kemudahan lori dan jentera keluar masuk.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Tunjong, Azami Awang berkata, pihak berwajib wajar turun padang memberi penjelasan dan bukannya membiarkan penduduk terkontang-kanting berhadapan kontraktor sendirian.

“Wakil daripada Pejabat Tanah tidak pernah datang berjumpa dengan penduduk dan hanya kontraktor sahaja yang datang dan seolah-olah memaksa penduduk menandatangani surat kebenaran menggunakan tanah.

“Sekiranya benar ada pihak yang ingin mengambil tanah, kami memerlukan hitam putih mengenai apa perancangan dan juga projek yang dijalankan, kami bukannya menolak pembangunan tetapi kesal dengan apa yang berlaku sekarang,” katanya.

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 9 Februari 2018

Jambatan Sungai Durian siap Mac ini

Ramzi Ab. Rahman (lima dari kanan) bersama guru yang hadir dalam majlis Agihan Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2018 Parlimen Kuala Krai di SMK Sultan Yahya Petra (1), Kuala Krai, Kelantan, baru-baru ini.
KUALA KRAI: Pembinaan jambatan di jalan utama Kuala Krai - Kota Bharu di Sungai Durian dijangka siap sepenuhnya pada Mac ini.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab. Rahman berkata, projek itu akan mena­matkan penderitaan penggu­na laluan tersebut setiap kali mu­sim tengkujuh.

“Ini adalah laluan utama dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur tetapi setiap kali musim tengkujuh jalan ini akan dinaiki air sehingga terputus hubungan.

“Oleh sebab itu, Kerajaan Pusat memandang berat masalah ini dan meluluskan peruntukan untuk membina jambatan ini supaya jalan tersebut tidak di­tenggelami air lagi,” katanya selepas merasmikan majlis Agihan Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2018 Parlimen Kuala Krai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra (1) di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Krai, Sazali Ibrahim.

Sementara itu, Ramzi yang juga Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Dabong berkata, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM1,069,500 bagi bantuan awal persekolahan pelajar untuk 10,695 pelajar di 41 buah sekolah di seluruh kawasan Parlimen Kuala Krai.

“Kita harap dengan bantuan ini dapat meringankan beban murid dan pelajar khususnya dalam aspek pembelajaran dan ia menunjukkan kecaknaan kerajaan untuk menjaga kebajikan setiap pelajar yang kurang berkemampuan.

“Bantuan ini merupakan salah satu daripada usaha kerajaan yang dilakukan secara berterusan untuk membantu rakyat di seluruh negara,” ujarnya.

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 7 Februari 2018 | Terbitan 8 Februari 2018

Kelantan terima pelaburan berjumlah RM3.1 bilion sejak 2013

Mustapa Mohamed (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen Perjanjian Persefahaman (MoU) antara A-Bio Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengerusinya Tan Sri Ramli Mohd Nor (kanan) dengan Ain Medicare Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengerusinya Datuk Wan Ariff Wan Hamzah (kiri) pada Majlis Memeterai Perjanjian Usahasama Pelaburan antara Ain Medicare Sdn Bhd di A-Bio hari ini.

KOTA BHARU: Sebanyak RM3.1 bilion nilai pelaburan dicatatkan di Kelantan sejak 2013 hingga tahun lepas dengan jumlah pelaburan tertinggi pada 2014, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata pada tahun tersebut, negeri ini menerima RM1.24 bilion melalui projek pembinaan kilang simen di Chiku, Gua Musang dan nilai pelaburan terendah pada tahun lepas sebanyak RM4.2 juta yang berkaitan dengan industri kecil dan sederhana (IKS).

Katanya pada 2013, jumlah pelaburan di Kelantan sebanyak RM995 juta, 2015 (RM353 juta) dan 2016 (RM514 juta).

"Bagaimanapun, sepanjang tempoh lima tahun itu, hanya RM58 juta diaplikasikan berikutan terdapat beberapa masalah termasuklah kegagalan tiga syarikat yang diberi lesen untuk memulakan industri pembuatan simen tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Memeterai Perjanjian Usaha Sama Pelaburan antara A-Bio Sdn Bhd dan Ain Medicare Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Mustapa berkata jumlah pelaburan di Kelantan adalah rendah berbanding negeri-negeri lain berikutan pelabur berdepan dengan kesukaran terutamanya berkaitan kemudahan infrastruktur seperti kualiti dan bekalan air yang kurang memuaskan.

"Kita perlu mencari kaedah yang lebih baik untuk meningkatkan jumlah pelaburan di negeri ini dan pada masa sama, saya berharap pihak yang berkaitan dapat mengambil perhatian terhadap masalah yang dihadapi oleh pemain industri," katanya.

Terdahulu, perjanjian itu dimeterai antara Pengerusi A-Bio Sdn Bhd Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor dan Pengerusi Ain Medicare Sdn Bhd Datuk Wan Ariff Wan Hamzah.

Menerusi perjanjian tersebut, A-Bio yang merupakan syarikat pelaburan strategik di bawah Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) akan melakukan pelaburan strategik sebanyak RM20 juta dalam Ain Medicare untuk meningkatkan lagi daya saing syarikat itu dalam industri bioteknologi perubatan khususnya pengeluaran produk bio-farmaseutikal tempatan yang bernilai tinggi.

A-Bio juga adalah satu program strategik di bawah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, yang melakukan pelaburan dalam syarikat berkaitan tiga sektor utama iaitu industri berasaskan bio dan bioteknologi, industri teknologi baharu muncul dan industri hijau. 

Sumber: Bernama | 4 Februari 2018