Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 22 September 2014

Air bersih: 500 penduduk di DUN Pengkalan Kubor kecewa

Sebahagian penduduk mengadakan demonstrasi mendesak kerajaan negeri Kelantan menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang dihadapi mereka sejak lebih lima tahun lalu di Kampung Kuala Jambu, Tumpat, Kelantan, semalam.
TUMPAT: Lebih 500 penduduk di tiga buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor menyatakan kekesalan mereka kerana masih tidak dapat menikmati bekalan air bersih secara sempurna sejak lebih lima tahun lalu.

Ekoran masalah itu, penduduk di kampung terbabit iaitu Kampung Kuala Jambu, Kampung Kubang Sawah dan Kampung Naga Ibu terpaksa menggunakan air sungai untuk kegunaan harian.

Keadaan tersebut turut memaksa mereka mengeluarkan belanja lebih bagi membeli air bersih dalam botol di kedai-kedai untuk memasak dan minum.

Seorang penduduk, Hashim Mahmood, 39, berkata, walaupun sumber air sungai tidak terjamin tahap kebersihannya, mereka tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menggunakannya untuk mandi dan membasuh pakaian.

"Untuk memasak dan minum pula, saya perlu berbelanja kira-kira RM300 sebulan bagi membeli bekalan air bersih di kedai berhampiran setiap hari," katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Jambu di sini baru-baru ini.

Hashim berkata, sebelum ini masalah bekalan air bersih di kawasan tersebut berjaya diselesaikan apabila Datuk Noor Zahidi Omar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu yang meninggal dunia baru-baru ini, memperkenalkan program Bekalan Air Bersih 1Malaysia, namun tidak kekal kerana ada peralatan yang rosak.

"Penapis kepada tangki air yang diberikan oleh Allahyarham Datuk Noor Zahidi telah rosak sejak awal tahun lalu di mana kami hanya dapat menikmati bekalan air bersih dalam tempoh enam bulan.

"Oleh itu, kami amat berharap sebuah tangki air baharu yang lebih besar dapat dibina di kawasan ini untuk kemudahan seluruh penduduk kampung," katanya.

Seorang peniaga kedai makan, Che Rahmah Che Sulaiman, 54, pula berkata, keadaan itu menyukarkan dia untuk menjalankan perniagaan memandangkan air merupakan perkara asas.

"Setiap hari saya perlu menadah air bersih di kampung berhampiran untuk berniaga memandangkan sumber air telaga tidak sesuai untuk diminum mahupun memasak.

"Untuk keperluan lain, kami terpaksa menggunakan air dari telaga yang kurang bersih kerana itulah satu-satunya sumber air yang ada," katanya.

Bagi suri rumah, Kelsom Sulong, 65, dia amat berharap masalah bekalan air bersih dapat diselesaikan secepat mungkin untuk keselesaan penduduk di kawasan berkenaan.

"Sudah lama kami menunggu untuk menikmati bekalan air bersih, namun gagal disediakan kerajaan negeri. Oleh itu, perhatian sewajarnya perlu diberikan bagi mengatasi masalah air di kawasan ini," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 21 Sept. 2014 | Terbitan 22 Sept. 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan