Gambar hiasan: Sebuah bas milik Rapid KL di ibu kota Kuala Lumpur. |
PADA 20 Januari 2013 semasa berucap merasmikan program
Jelajah Janji Ditepati (JJD), di padang Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC)
Kelantan di Bandar Baharu Tunjong, Kota Bharu, Y.A.B. Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri telah mengumumkan tujuh projek yang bakal dilaksanakan
di Kelantan.
Salah satu daripadanya adalah sistem Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras (Rapid), iaitu Rapid Kota Bharu
(Rapid KB), iaitu sistem pengangkutan bas bandar yang moden dan cekap seperti
perkhidmatan Rapid Kuala Lumpur (Rapid KL) di Kuala Lumpur Raya (Greater Kuala Lumpur); Rapid Penang di
Pulau Pinang; dan Rapid Kuantan di bandar Kuantan, Pahang.
“Ambo tengok jalan di Kota Bharu ini sesak. Kita sudah buat
perkhidmatan bas Rapid KL dan Rapid Kuantan. Kita akan buat Rapid Kota Bharu.” –
kata Y.A.B. Perdana Menteri pada majlis tersebut. Walau bagaimanapun, sehingga kini ini rakyat Kelantan terutamanya warga Kota Bharu masih ternanti-nanti dan tertanya-tanya akan perkhidmatan bas bandar ini.
Bas Rapid diperluas
ke Kota Bharu tahun ini (Utusan Malaysia,
25 Julai 2013)
PULAU PINANG: Rapid Bus
Sdn. Bhd. (Rapid Bus) kini dalam perancangan untuk meluaskan perkhidmatannya ke
seluruh negara secara berperingkat mulai tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir.
Zohari Sulaiman berkata, pelan berkenaan selaras dengan hasrat kerajaan yang
mahu menyediakan perkhidmatan awam terbaik, cekap dan berkualiti kepada rakyat.
"Untuk tahun ini, syarikat
telah merancang untuk memulakan perkhidmatan di Kota Bharu, Kelantan dan
persediaan awal telah dibuat namun ditangguhkan seketika.
"Selepas kerajaan memberi lampu
hijau, projek berkenaan dijangka bermula tahun ini juga bagi memastikan
penduduk di negeri berkenaan mendapat manfaat.
"Selain itu, beberapa ibu
negeri lain juga bakal dilengkapi dengan sistem pengangkutan Rapid Bus,"
katanya selepas majlis berbuka puasa di sini malam tadi.
Zohari berkata, ketika ini perkhidmatan
Rapid Bus yang beroperasi di ibu negara, Pulau Pinang dan Kuantan memberi
manfaat kepada ratusan ribu pengguna setiap hari yang menggunakan pengangkutan
awam berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu,
antara bandar dan ibu negeri yang dijangka disediakan sistem pengangkutan Rapid
Bus ialah Ipoh, Seremban, Johor Bahru dan Kota Kinabalu.
"Ia selaras dengan slogan Janji
Ditepati yang dilaungkan kerajaan dan sebenarnya kita mempunyai pelan yang
lebih menyeluruh iaitu mahu meluaskan perkhidmatan di setiap negeri,"
katanya.
Bas Rapid bakal beroperasi di Kota Bharu tahun ini (Bernama,
17 Februari 2014)
KUANTAN: Rapid Bus Sdn Bhd, ahli kumpulan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) bakal mengembangkan perkhidmatan bas Rapid ke Kota Bharu, Kelantan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zohari Sulaiman berkata, pada masa ini pihaknya sedang mendapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) untuk memulakan operasi di sana seawal-awalnya pada pertengahan tahun ini.
“Selepas Kota Bharu kita juga berharap dapat mengembangkan operasi bas Rapid ke sembilan ibu negeri lain di Semenanjung,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan 60 buah bas Scania kepada Rapid Kuantan di depoh bas syarikat itu di sini hari ini.
Dalam pada itu Zohari berkata penyerahan 60 buah bas baharu bernilai RM65,000 sebuah hari ini adalah bagi menggantikan bas-bas yang dipinjam daripada Rapid KL ketika Rapid Kuantan memulakan operasi tahun lepas.
Sejak beroperasi Januari tahun lepas, Rapid Kuantan kini mempunyai 80 buah bas dan beroperasi di 47 laluan di sekitar Kuantan iaitu Teluk Cempedak, Gambang, Sungai Lembing dan Pekan.
Zohari berkata sebanyak 65 pemandu baharu diperlukan berikutan Rapid Kuantan akan memulakan operasi di laluan baharu iaitu di kawasan Beserah pada April depan.
Katanya, kaum wanita yang layak juga dialu-alukan untuk mengisi kekosongan jawatan pemandu bas sementara Rapid Kuantan juga dalam perancangan memperkenalkan perkhidmatan bas khusus untuk wanita.
Turut hadir Pengerusi Rapid Bus Sdn Bhd Datuk Ruhaizah Mohamed Rashid, Pengarah Urusan Scania Asia Tenggara James Armstrong dan Ketua Pegawai Operasi Rapid Kuantan Zainurul Hakim Mohamad.
Harapan Rakyat Kelantan Dipermainkan
Setakat ini belum ada tanda-tanda sistem pengangkutan awam ini akan dimulakan tidak lama lagi. Projek yang pada asalnya dijanjikan untuk dilaksanakan pada tahun lepas masih belum dilaksanakan sehingga ke hari ini.
Adakah rakyat Kelantan masih dipermainkan Kerajaan Persekutuan di Putrajaya? Adakah masih ada tangan-tangan ghaib yang menghalang pelaksanaan projek-projek pembangunan di Kelantan? Itulah persoalan yang terdetik di hati lantaran sebelum ini pun banyak projek yang dijanjikan oleh Kerajaan Persekutuan di Kelantan tidak dilaksanakan umpamanya projek pembinaan sebuah hospital daerah di Bachok di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9: 2006 - 2010) yang masih belum ditunaikan sehingga ke hari ini. Begitu juga projek pembinaan hotel wakaf di Kota Bharu dan sebuah zoo yang terbesar di Malaysia di Machang di bawah RMK-9. Ternyata itu semua hanyalah omongan kosong sahaja.
Sampai bilakah rakyat Kelantan perlu menerima layanan sebegini daripada pihak Kerajaan Persekutuan? Kami rakyat Kelantan tidak meminta lebih daripada rakyat di negeri-negeri lain tetapi kami hanya meminta agar kami juga diberikan layanan yang sama dan adil.
Sistem pengangkutan awam yang cekap di bandar besar seperti Kota Bharu amat diperlukan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar terbesar di Pantai Timur ini. Ia juga dapat meningkatkan imej bandar raya ini di mata para pelancong yang berkunjung ke ibu negeri Kelantan ini.
Garis Masa (Timeline)
- 20 Jan. 2013: Pengumuman dibuat oleh Y.A.B. Perdana Menteri di Kota Bharu, Kelantan.
- 05 Mei 2013: Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)
- 25 Jul. 2013: Laporan akhbar Utusan Malaysia dengan tajuk "Bas Rapid diperluas ke Kota Bharu tahun ini."
- 25 Okt. 2013: Pembentangan Belanjawan Negara 2014 di Dewan Rakyat. Ramai yang menanti pengumuman Perdana Menteri tentang pelaksanaan projek Rapid KB tetapi hampa.
- 31 Dis. 2013: Perkhidmatan bas Rapid KB belum dilaksanakan.
- 20 Jan. 2014: Genap setahun janji dibuat tetapi ia belum dilaksanakan.
- 17 Feb. 2014: Laporan agensi berita Bernama dengan tajuk "Bas Rapid akan beroperasi di Kota Bharu tahun ini."
- 05 Mei 2014: Genap setahun PRU-13 berlalu tetapi janji belum dilaksanakan.
- 01 Jul. 2014: Memasuki pertengahan tahun 2014 tetapi perkhidmatan bas ini masih belum dilaksanakan.
- 15 Sep. 2014: Perkhidmatan bas Rapid KB belum dilaksanakan.
·
NOTIS: Kami meminta agar mana-mana pihak tidak menyalin artikel ini dan diletakkan di laman-laman blog, thread, atau seumpama dengannya tanpa mendapat kelulusan bertulis daripada pihak laman ini terlebih dahulu. Kami memohon agar setiap orang profesional dan tidak sesuka hati menyalin mana-mana artikel tulisan blog ini untuk disiarkan di laman sosial lain semata-mata untuk mempopularkan laman sosial sendiri.
RAPID KOTA BHARU (RAPID KB) | PRASARANA MALAYSIA BERHAD (PRASARANA) | RAPID KUALA LUMPUR (RAPID KL) | RAPID PENANG | RAPID KUANTAN | RANGKAIAN PENGANGKUTAN INTEGRASI DERAS (RAPID) | RAPID BUS SDN BHD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan