TUMPAT: Setelah lebih 30 tahun penduduk di Teluk Jering Pengkalan Kubor terpaksa menggunakan jambatan sempit, tidak lama lagi jambatan itu akan diganti baharu.
Kerajaan negeri memperuntukkan RM5.5 juta bagi membina jambatan baharu yang menghubungkan lima kampung membabitkan lebih 5,000 penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad (gambar) berkata, kerajaan negeri meluluskan pembinaan jambatan baharu bagi mengatasi masalah dihadapi penduduk.
“Penduduk terpaksa menggunakan jambatan lama yang sempit. Strukturnya tidak sesuai lagi memandangkan berlaku pertambahan pengguna.
“Pembinaannya akan dilakukan setelah selesai proses di peringkat teknikal dan penyediaan pelan,” katanya pada sidang media di Markas Besar PRK Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Jambatan itu digunakan penduduk di Kampung Teluk Jering, Kajang Sebidang, Jejulok, Kuala Jambu dan Bendang Pok Yong terutamanya bagi membawa hasil pertanian dan anak-anak ke sekolah.
Jambatan itu dibina kerajaan negeri selepas ia tidak diberi perhatian di bawah projek kerajaan pusat melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).
Hanifa melawat jambatan lama minggu lepas dan sehari selepas itu disusuli lawatan pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerjaraya dan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat.
"Jambatan itu akan dibina bermula seawal tahun hadapan dan dijangka siap dalam tempoh setahun," katanya. Jambatan baharu akan dibina sepanjang 65 meter dan lebar lapan meter.
Sumber: Harakah Daily | 22 Sept. 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan