Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 20 September 2014

Nilai rampasan dadah meningkat di Jajahan Kota Bharu

Idris Ab. Rafar (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Rohaimi Md. Isa sebagai simbolik serah terima tugas di Ibu Pejabat Daerah Kota Bharu dengan disaksikan Rosli Ab. Rahman di Kota Bharu,Kelantan, semalam.
KOTA BHARU: Nilai rampasan dadah di daerah ini menunjukkan peningkatan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini dengan nilai rampasan sebanyak RM1.7 juta berbanding RM630,000 bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, peningkatan jumlah rampasan itu berikutan usaha pihaknya meningkatkan risikan bagi membanteras jenayah tersebut di samping menerima maklumat awam.

"Dalam rampasan itu, dadah jenis pil kuda adalah yang paling banyak dirampas. Daerah ini mencatatkan nilai rampasan yang tinggi ini kerana menjadi pusat tumpuan pelbagai aktiviti dan perniagaan. Mungkin juga diletakkan di sini sebagai transit sebelum dibawa ke daerah-daerah lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kota Bharu yang baharu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, pemangku Ketua Polis Daerah, Supritendan Idris Ab. Rafar menyerahkan tongkat kuasa kepada Ketua Polis Daerah Kota Bharu yang baharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa sebagai simbolik penyerahan kuasa.

Rohaimi yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Operasi dan Bantuan Teknik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Bukit Aman menggantikan Asisten Komisioner Azham Othman.

Azham berpindah ke Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah Pendakwaan dan Undang-undang (D5) di Jabatan Siasatan Jenayah.

Sementara itu, Rosli berkata, dalam tempoh sama juga, jenayah curi motosikal di Kota Bharu mencatatkan penurunan dari 816 kes pada tahun lalu kepada 644 kes bagi tempoh sama tahun ini.

"Ia menunjukkan penurunan sebanyak 170 kes iaitu 21.08 peratus. Peratusan kes jenayah secara amnya di daerah ini juga turun sebanyak 6.73 peratus," katanya. 

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 17 Sept. 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan