Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 24 September 2014

Pembinaan loji rawatan air Tendong selesai masalah bekalan

KOTA BHARU: Masalah bekalan air di tiga buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor yang menjejaskan lebih 500 penduduknya akan hanya dapat diselesaikan sepenuhnya dengan pembinaan loji rawatan air baharu di Tendong.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Infrastruktur dan Teknoloji Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, pembinaan loji baharu itu dijangka siap pada akhir tahun hadapan.

"Loji ini akan dapat mengeluarkan bekalan air bersih sebanyak 25 juta liter sehari untuk diagihkan ke daerah Tumpat.

"Kita kini sedang mengambil beberapa langkah dalam menangani masalah yang dihadapi oleh penduduk di kampung yang terlibat iaitu di Kampung Kubang Sawa, Kampung Naga Ibu dan Kampung Kuala Jambu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan lebih 500 penduduk di kampung terbabit menyatakan kekesalan mereka kerana masih tidak dapat menikmati bekalan air bersih secara sempurna sejak lebih lima tahun lalu.

Ekoran itu, penduduk di kampung terbabit iaitu Kampung Kuala Jambu, Kampung Kubang Sawah dan Kampung Naga Ibu terpaksa menggunakan air sungai untuk kegunaan harian.

Keadaan tersebut turut memaksa mereka mengeluarkan belanja lebih bagi membeli air bersih di dalam botol di kedai-kedai untuk memasak dan minum.

Hanifa berkata, pihaknya telah menghantar bekalan air melalui lori tangki bagi membekalkan air kepada 14 tangki statik yang telah ditempatkan di kampung yang terlibat.

"Langkah ini akan dan sentiasa dilakukan sehingga masalah ini dapat diselesaikan sepenuhnya. "Sebelum ini pihak AKSB telah menasihatkan pengguna di kampung tersebut yang sedang mengalami masalah bekalan air supaya membuat tangki sedutan di premis masing-masing bagi mengelak timbul masalah," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 23 Sept. 2014 | Terbitan 24 Sept. 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan