Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 12 September 2014

Kerajaan Persekutuan akan bina lebih 2,000 unit rumah kos rendah di Kelantan

TUMPAT: Kerajaan Persekutuan akan membina lebih 2,000 unit rumah kos rendah di negeri ini sebagai usaha membantu rakyat golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata Projek Perumahan Rakyat (PPR) itu akan dibina di Tanah Merah, Kota Baharu dan Machang.

Projek di kawasan berkenaan dijangka mula dibina akhir tahun ini manakala PPR di Gua Musang telah siap dibina dan dalam proses memuktamadkan senarai penghuni.

"Kini ia (PPR Gua Musang) dalam proses muktamadkan senarai penghuni," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran 'Pintu ke Pintu' di Kampung Geting di sini, hari ini.

Katanya, rumah berkenaan disediakan untuk golongan berpendapatan rendah dengan kadar sewa sebanyak RM124 sebulan.

Pada majlis berkenaan, Abdul Rahman turut menyerahkan sebuah lori tangki air yang bernilai RM1.4 juta seunit untuk kegunaan Bomba Kelantan.

Katanya, 100 lagi lori tangki akan di serahkan kepada Bomba di seluruh negara secara berperingkat.

Abdul Rahman berkata kerajaan negeri perlu memberi kerjasama bagi membolehkan pihaknya menyediakan lebih banyak rumah kos rendah di negeri ini.

"Kita terpaksa membina rumah di kawasan tanah swasta dan kos beli tanah swasta agak tinggi sedangkan bajet berkenaan boleh digunakan untuk membuat lebih banyak rumah kos rendah di Kelantan.

"Saya ingin kerajaan negeri mengutamakan perumahan mampu milik terutama di kawasan bandar," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya akan menyediakan kaunter khusus di balai-balai bomba seluruh negara bagi memudahkan mangsa kebakaran menguruskan segala dokumen yang telah hilang.

"Kita akan wujudkan kaunter khusus untuk mangsa kebakaran mendapatkan kembali salinan asal kad pengenalan, sijil kahwin dan sebagainya.

Ini kerana sudah tentu bomba mengetahui latar belakang kebakaran tersebut dan boleh membantu pihak polis mengesahkan dan mempercepatkan permohonan mereka,' katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Bahagian Keselamatan Kebakaran Datuk Rusmaini Muhamad, Ketua Bomba Kelantan Azmi Osman dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail.

Pilihan Raya Kecil itu diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar dari BN yang meninggal dunia 20 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 Sept sebagai tarikh penamaan calon dan 25 Sept sebagai hari mengundi.

Sumber: Bernama | 11 Sept. 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan