Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 3 September 2014

Kota Sejahtera terap konsep Islamik, Melayu

Mohd. Amar Nik Abdullah (dua dari kiri) melihat model pembangunan Kota Sejahtera yang bakal dibangunkan di Chiku 3, Gua Musang, Kelantan, kelmarin.
GUA MUSANG:  Projek Kota Sejahtera di Bandar Baharu Chiku 3 dekat sini yang bernilai RM169 juta bakal menjadikan kawasan itu sebuah bandar berkonsepkan Islam dan budaya masyarakat Melayu Kelantan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, projek di atas kawasan seluas 40 hektar itu bakal menjadi pencetus pembangunan ekonomi, sekali gus membantu rakyat, khususnya penduduk di kawasan luar bandar meningkatkan taraf hidup.

"Projek ini dibangunkan oleh MSO Corporation Sdn. Bhd dengan kerjasama Majlis Daerah Gua Musang. "Selepas ini, kita juga merancang untuk membangunkan kilang pakaian dan kilang simen bagi memberikan peluang pekerjaan kepada generasi kedua Felda supaya mereka tidak berhijrah ke bandar," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menerusi projek itu, sebanyak 183 unit rumah kedai dan 870 unit kediaman kos rendah dan mampu milik serta kemudahan infrastruktur lain bakal dibina.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, pihaknya juga sedang membuat perancangan untuk membina satu lagi bandar baharu seluas 400 hektar di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Sungai Terah di sini untuk menampung generasi kedua Felda.

Selain itu katanya, Kerajaan Pas Kelantan juga berhasrat untuk mengembangkan potensi Gua Musang sebagai bandar pelancongan supaya dapat dimanfaatkan penduduk di daerah ini untuk menjana pendapatan.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 28 Ogos 2014 | Terbitan 29 Ogos 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan