KOTA BHARU: Kajian yang dilakukan Universiti Sains Malaysia
(USM) mendapati pemakanan yang tidak seimbang menjadi punca kepada
peningkatan kes kanser payu dara di negeri ini.
Ketua Jabatan Radiologi USM, Dr. Nik Munirah Nik Mahdi berkata,
sebagai contoh, pengambilan makanan ringan dan gula dalam kadar
berlebihan menyebabkan berlakunya kanser itu.
"Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) mencatat sebanyak 150 kes
kanser payu dara pada setiap tahun berikutan faktor tersebut. "Pihak kami menerima dua hingga kes melibatkan kanser payu dara pada setiap minggu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena perasmian Pusat
Pemeriksaan Radiologi Setempat dan Seminar Wanita Peringkat Kebangsaan
di sebuah hotel di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman. Nik
Munirah berkata, berdasarkan kajian pihaknya pada tahun 2007, sebanyak
83 peratus pesakit kanser menerima rawatan pada peringkat keempat
kanser.
"Kelewatan itu menyebabkan peluang mereka untuk sembuh amat tipis
kerana rawatan kanser kebiasaannya mengambil masa panjang dan sukar
untuk disembuhkan.
"Tindakan pencegahan awal amat penting bagi meningkatkan peluang untuk penyembuhan pesakit terhadap ancaman kanser," katanya.
Katanya, bagi membantu menyembuhkan pesakit, pihaknya sendiri akan
mengatur temu janji kepada pesakit untuk diberikan sesi kaunseling.
Tambah beliau, walaupun kesedaran tentang bahaya kanser semakin
meningkat dalam kalangan rakyat di negeri ini, namun sebahagiannya masih
malu untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan pemeriksaan awal.
"Hakikatnya penyakit ini boleh dicegah jika setiap wanita mengambil langkah melakukan pengesanan pada peringkat awal," ujarnya.
Sementara itu, Nik Munirah memberitahu, HUSM akan menawarkan
perkhidmatan pemeriksaan ultrasound payu dara dan kepadatan tulang (bone
densitometri) secara terus tanpa perlu temu janji bermula pada minggu
hadapan.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 2 Sept. 2014 | Terbitan 3 Sept. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan