Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 3 September 2014

Masalah ulat parkir di Kawasan Bebas Cukai Rantau Panjang

Seorang penduduk (kanan) didapati mengutip wang daripada pengunjung yang meletakkan kenderaan sekitar Pasar Baharu Rantau Panjang.
RANTAU PANJANG: Ketika peniaga baharu sahaja menduduki premis di Pasar Baharu Rantau Panjang, ia dicemari dengan kegiatan beberapa individu (ulat parkir) yang mula mengambil kesempatan mengaut untung mudah daripada pengunjung.

Peniaga yang hanya mahu dikenali Abdullah, 51, berkata, pengunjung lebih suka meletakkan kereta di tingkat bawah Pasar Baharu Rantau Panjang kerana mempunyai kawasan teduh.

Namun katanya, kehadiran beberapa individu mengutip wang daripada pengunjung menyebabkan imej pasar baharu di Zon Bebas Cukai tercemar.

Menurutnya, kutipan pula bergantung kepada pemungut iaitu RM2, bahkan ada yang mengutip sehingga RM5.

Katanya, ada pengunjung merungut, terpaksa membayar dua kali kerana terdapat dua individu berbeza di kawasan sama. “Mereka menjanjikan keselamatan kenderaan sepanjang meletakkan kenderaan.

“Persoalan yang timbul, adakah kereta pengunjung akan dirosakkan atau dicalarkan jika mereka enggan memberi wang kepada 'ulat parking' berkenaan,” katanya.

Sementara itu, peniaga, Norihan Mat, 28, berkata, kebanyakan ulat parkir di sini penagih dadah dan ada sebahagiannya berasal dari Thailand.

Menurutnya, kedudukan pasar di hujung Zon Bebas Cukai masih belum dikenali pengunjung luar, ia tidak sepatutnya berlaku kerana pengunjung mungkin berasa tidak selamat apabila membiarkan kenderaan mereka dijaga penagih dadah.

“Walaupun kawasan tempat letak kenderaan di bawah seliaan majlis daerah, namun ulat parkir ini menjalankan kegiatan itu pada waktu sibuk seperti cuti hujung minggu atau cuti umum.

“Jika keadaan ini tidak dibendung, kegiatan ini boleh menjadi tidak terkawal seperti mana yang berlaku di Wakaf Che Yeh,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 3 Sept. 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan