PASIR MAS: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) terpaksa menganggung kerugian sebanyak RM11 juta kesan banjir yang melanda kawasan selian mereka pada awal Januari lalu.
Ahli Lembaga Pengarah KADA, Datuk Hanafi Mamat berkata, anggaran tersebut melibatkan kerosakan prasarana milik agensi itu dan tanaman petani.
“Kerosakan prasarana kita anggarkan berjumlah RM8 juta dan kemusnahan tanaman milik petani RM3 juta.
“Untuk prasarana kita sedang melakukan kerja-kerja baik pulih, bagi jumlah kerugiaan petani kita sedang mengumpulkan maklumat secara terperinci daripada golongan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Zakat Perniagaan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Sepat dan Penyerahan Peralatan di Bawah Program Azam Tani di sini hari ini.
Sebanyak 212 golongan asnaf menerima sumbangan zakat membabitkan jumlah RM20,000 dan lapan peserta Azam Tani mendapat bantuan peralatan berjumlah RM60,000.
Mengulas mengenai Program Azam Tani di bawah KADA, Hanafi memberitahu, kebanyakkan para perserta telah berjaya dibebaskan daripada kepompong kemiskinan.
“Rata-rata peserta di bawah program ini mampu memperoleh pendapatan minimum berjumlah RM1,500. Kejayaan ini selaras dengan kehendak kerajaan untuk membantu para peserta bebas daripada kemiskinan tegar.
“KADA berharap para peserta dapat memanfaatkan kemudahan ini sebaik mungkin untuk keluar dari kemiskinan,” ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 12 Feb. 2017 | Terbitan 13 Feb. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan