Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 14 Februari 2017

IADA Kemasin-Semerak: 1,360 petani rugi RM3.2 juta

Sebahagian petani bergotong-royong menangkap tikus di bendang Jelutung, Bachok, Kelantan, semalam.
BACHOK: Sebanyak 1,360 petani di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin-Semerak mendakwa kerugian berjumlah RM3.2 juta apabila tanaman padi yang diusahakan musim lepas musnah dilanda banjir bulan lepas.

Pengarah IADA, Nik Hamadi Nik Abdullah berkata, kerugian itu berdasarkan kepada kemusnahan kira-kira 2,070 daripada 4,200 hektar tanaman yang diusahakan petani di daerah ini dan Pasir Puteh yang ditenggelami air melebihi satu meter dalam tempoh yang lama.

Beliau berkata, padi akan rosak sekiranya ditenggelami air mele­bihi empat hari.

“Selain masalah banjir, petani di kawasan operasi IADA Kemasin-Semerak turut menghadapi masalah serangan tikus hutan yang berhijrah dalam jumlah yang banyak ketika banjir lalu,” katanya kepada pemberita pada program gerak gempur pengawalan tikus sawah IADA di bendang Jelutung dan Telaga Ara, dekat sini, hari ini.

Lebih 200 petani dari kawasan itu menyertai gerak kerja gotong royong memusnah makhluk perosak itu dengan tangkapan secara manual.

Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok, Datuk Dr. Ilias Hussin.

Nik Hamadi berkata, ketika kejadian tersebut, padi berada pada peringkat berbunga dan berisi.

“Akibat tenggelam dalam tempoh yang lama, padi akan busuk dan reput serta pada masa yang sama pula sebahagian padi yang selamat daripada banjir menjadi habuan kepada ribuan tikus.

“Sebelum ini, petani juga menghadapi serangan siput gondang emas yang cepat membiak yang turut memusnahkan tanaman mereka dengan memakan pokok yang berumur antara dua hingga tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata, di antara kawasan yang paling teruk musnah termasuk bendang Gong Geduk, di Pasir Puteh yang membabitkan 120 hektar serta 60 hektar di Bendang Jelutung.

“Jumlah kerugian itu akan dikemukakan kepada pengurusan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk dipertimbangkan bagi menyalurkan sedikit bantuan dalam usaha meringankan bebanan petani terbabit bagi mengusahakan semula tanaman padi musim depan,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 13 Feb. 2017 | Terbitan 14 Feb. 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan