BESUT: Seorang peniaga ikan cedera ditetak dengan pedang oleh empat individu ketika dia dalam perjalanan ke Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa yang berumur 60 tahun dan isterinya diserang oleh individu yang menaiki sebuah kereta sebaik mereka tiba di kompleks tersebut.
"Kejadian berkenaan disedari anak lelaki mangsa yang kebetulan berada di kawasan kompleks dan sempat mengejar kumpulan itu hingga menyebabkan kereta mereka terbabas di kawasan pintu luar kompleks.
"Namun kelima-limanya termasuk pemandu kereta itu gagal ditangkap dan mereka dapat melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Zamri berkata siasatan awal menunjukkan kereta Proton Axia itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan keretanya telah dilapor hilang di Kerteh sebelum ini.
"Kelima-lima suspek kini giat diburu dan berdasarkan tiga cap jari yang berjaya ditemui pada kereta yang digunakan suspek, kita yakin mereka akan dapat ditangkap tidak lama lagi," katanya.
Sumber: Bernama | 12 Feb. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan