KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meminta pembekal bekas plastik mesra alam tidak mengenakan harga yang tinggi kepada peniaga bagi menjayakan program bebas beg plastik dan polisterin di sekitar ibu kota.
Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosial Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff berkata segelintir peniaga mendakwa mereka terpaksa membelanjakan kos yang lebih tinggi ekoran penggunaan produk mesra alam itu.
"Pembekal disarankan memberi diskaun kepada para peniaga yang membeli produk mesra alam secara pukal bagi meringankan beban sekali gus dapat mendidik orang ramai mengenai kepentingan alam sekitar.
Usaha itu juga dapat mengelakkan peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga barang dengan alasan ingin menampung kos pembelian itu," katanya dalam sidang media selepas merasmikan program 'Let's Do It Malaysia- Eco and Biogradable Day' di sini, hari ini.
Terdahulu, Ibrahim ketika membaca teks ucapan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata inisiatif program 'Let's Do It Malaysia' bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya penggunaan polisterin.
Mulai 1 Sept, larangan penggunaan pembungkusan plastik dan polisterin oleh semua penjaga dan penjaja di sekitar ibu kota akan berkuatkuasa dan mereka yang didapati ingkar akan dikenakan kompaun.
"Program ini akan menyebarkan mesej secara lebih sistematik sebelum sesuatu penguatkuasaan baharu diamalkan," katanya.
Sumber: Bernama | 17 Feb. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan