KOTA BHARU: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan buat julung kali mengetengahkan lebih 1,000 koleksi karya seni pelajarnya untuk pasaran umum di Pameran dan Jualan Karya Seni UiTM 'Art For Everyone' di Muzium Negeri Kelantan di sini.
Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Kelantan Dr Wan Fairos Wan Yaakob berkata usaha tersebut adalah selari dengan hasrat UiTM dalam melahirkan graduan yang berteraskan keusahawanan.
"Pameran dan jualan ini berlangsung selama sebulan bermula 26 Jan hingga 28 Feb ini adalah inisiatif UiTM untuk memartabatkan karya seni pelajar, selain memberi pendedahan kepada mereka untuk menjana pendapatan menerusi hasil jualan karya masing-masing.
"Pada masa sama kita juga ingin menyuntik keyakinan kepada pelajar dan masyarakat tentang prospek kerjaya dalam bidang seni melalui jaringan industri yang diwujudkan," katanya kepada pemberita di Majlis Pelancaran Pameran dan Jualan Karya Seni UiTM 'Art For Everyone' di Muzium Negeri Kelantan di sini, Isnin.
Hadir sama Pengarah Muzium Negeri Kelantan Mohd Nazwan Ismail dan Ketua Pusat Pengajian Fakulti Seni Lukis Seni Reka UiTM Kelantan Hamdan Lias.
Wan Fairos berkata karya seni yang dipamerkan merangkumi lukisan, batik, logam dan perhiasan itu dijual serendah RM70 hingga RM650 dan merupakan hasil rekaan pelajar sejak 2010.
Beliau berkata karya seni itu merupakan hasil kerja daripada pelajar dalam jurusan Seni Lukis dan Seni Reka (A&D) UiTM Kampus Machang.
Katanya UiTM menyasarkan sejumlah RM30,000 hasil jualan bakal diraih dalam tempoh sebulan pameran jualan berlangsung.
"Selain itu satu perbincangan telah diadakan dengan pihak muzium dan kami turut merancang akan mengadakan pemeran tersebut sebanyak dua kali setahun bermula tahun ini.
"Kita harap masyarakat di luar sana dapat hadir memberi sokongan kepada usaha ini bagi menyuntik semangat kepada pelajar untuk menerokai kerjaya dalam bidang seni," katanya.
Sumber: Bernama | 6 Feb. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan