Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 12 Februari 2017

50 pelajar ditempatkan di asrama berikutan jambatan rosak - ADUN Nenggiri

GUA MUSANG: Kira-kira 50 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara dan Sekolah Kebangsaan (SK) Star yang mengalami kesukaran untuk ke sekolah berikutan jambatan rosak di Kampung Pulau Setelu, dibenarkan tinggal di asrama.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Datuk Mat Yusoff Abd Ghani berkata pelajar berkenaan tidak perlu berulang-alik menggunakan bot tambang sementara menunggu jambatan berkenaan dibaik pulih.

"Asrama disediakan di kedua-dua sekolah berkenaan sementara menunggu kerja baik pulih jambatan tersebut siap yang dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan.

"Saya harap ibu bapa dapat membenarkan anak-anak mereka tinggal di asrama bagi mengelakkan mereka berdepan bahaya terutama ketika menyeberangi sungai menggunakan bot tambang," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan jambatan sementara Kampung Pulau Setelu itu yang runtuh pada 24 Jan lepas.

Jambatan itu yang menghubungkan Jalan Gua Musang-Jeli rosak akibat dirempuh arus deras Sungai Nenggiri berikutan banjir yang melanda Kelantan baru-baru ini.

Berikutan itu jambatan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan dan penduduk serta pelajar sekolah terpaksa menggunakan bot tambang untuk berulang-alik setiap hari.

Mat Yusoff berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan pengurusan kedua-dua sekolah berkenaan dan pihak sekolah telah memaklumkan kepadanya mengenai kekosongan asrama bagi menempatkan pelajar dan murid terbabit.

"Kerajaan tidak ada pilihan lain bagi membantu pelajar yang berdepan dengan masalah perhubungan itu kecuali membenarkan mereka untuk tinggal di asrama.

Ibu bapa pelajar terbabit juga harus faham dengan situasi itu dan anak mereka boleh pulang ke rumah seminggu sekali ketika cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu," katanya.

Sumber: Bernama | 12 Feb. 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan