Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 14 Februari 2017

MDPP bantu ringankan beban penduduk

Sebahagian kakitangan MDPP bergotong-royong membersihkan kawasan selepas banjir di Kampung Tasek Pauh, Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.
PASIR PUTEH: Biarpun banjir telah berlalu pada penghujung bulan lepas, namun sisa-sisa pe­ninggalan itu masih kelihatan di daerah ini.

Justeru, Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) bersama beberapa agensi kerajaan yang lain telah sama-sama turun padang bagi menjayakan Program Amal Pasca Banjir untuk meringankan bebanan penduduk yang ditimpa musibah.

Setiausaha MDPP, Ahmad Shar­gowi Derahman berkata, gotong-royong membersih persekitaran kampung dan rumah penduduk berjaya diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seli­sing, dekat sini, baru-baru ini yang memfokuskan usaha membantu mangsa banjir di zon Tasek Pauh dan Tualang Tinggi.

Menurutnya, aktiviti gotong-royong yang melibatkan semua kakitangan dari Bahagian Kebersihan MDPP dan diselia oleh seorang Pengawas Bandar itu berjaya membersihkan kekotoran yang disebabkan banjir.

“Ini adalah sumbangan amal korporat MDPP yang menjadi tradisi setiap tahun untuk turun ke lokasi banjir selain bersama-sama agensi penyelamat untuk memindahkan mangsa ketika berlakunya banjir sebelum ini.

“Ini membuktikan skop per­khidmatan kakitangan yang mencakupi pelbagai keperluan komuniti,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Ahmad Shargowi berkata, selain gotong-royong membersih­kan kawasan, pihaknya turut menyampaikan sumbangan bantuan pasca banjir di Kampung Gong Chokoh, Kampung Gong Pachat dan Pondok Dalam Huma dalam DUN Semerak

Menurutnya, agihan sumba­ngan pasca banjir ini merupakan kerjasama di MDPP, Pejabat Agama Jajahan, Ibu Pejabat Polis Da­erah Pasir Puteh dan pengurusan Masjid Ibrahimi.

“Program ini mendapat kerjasama padu semua Ahli Majlis Daerah dan ketua-ketua jabatan untuk turun kelapangan bagi menjayakan program menyampaikan bantuan dari rumah ke rumah.

“Paling tidak kesepakatan kami bersama mereka dapat meringankan sedikit bebanan selepas beberapa kali menghadapi musibah banjir," katanya. 

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 13 Feb. 2017 | Terbitan 14 Feb. 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan