Hospital Tanah Merah. Foto ihsan: Azri Azmi |
TANAH MERAH: Hospital Tanah Merah (HTM) kini mempunyai perkhidmatan pengimbas CT bernilai RM3.4 juta yang memberi manfaat kepada penduduk di jajahan Tanah Merah, Machang, Jeli dan Pasir Mas.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata dengan adanya kemudahan itu, penduduk sekitar Tanah Merah tidak perlu lagi menempuh perjalanan jauh bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut.
Sebelum ini, penduduk di jajahan berkenaan terpaksa menempuh jarak perjalanan 50 kilometer untuk ke Hospital Kuala Krai atau Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu bagi mendapatkan perkhidmatan itu.
"Proses mendiagnosis dan rawatan yang berkaitan juga dapat dilakukan dengan lebih cepat. Kita anggarkan lebih 160,000 penduduk sekitar jajahan Tanah Merah mendapat manfaatnya," katanya selepas merasmikan Bangunan dan Perkhidmatan Pengimbas CT HTM di sini, Selasa
Turut hadir Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir dan Anggota Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Dr Hilmi juga berkata satu blok bangunan tambahan baharu bernilai RM150 juta di HTM juga telah diluluskan dan proses pembinaannya akan bermula akhir tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
"Blok ini akan menempatkan tambahan 124 katil selain lima dewan bedah, klinik pakar, wad rawatan rapi dan ruangan parkir yang lebih luas. Ini akan mengatasi kesesakan di wad sedia ada dan meningkatkan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat," katanya.
Beliau berkata inisiatif tersebut juga bersesuaian dengan hala tuju kementerian bagi meningkatkan perkhidmatan HTM daripada hospital pakar minor kepada hospital pakar major.
Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata campur tangan kerajaan DAP yang didakwa berlaku dalam urusan agama Islam termasuk dalam penentuan fatwa tidak sepatutnya berlaku.
"Urusan itu adalah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang di bawah Yang di-Pertuan Agong. Ia tidak perlu melalui kerajaan negeri dan semua itu kita laksanakan sepanjang Barisan Nasional memerintah Pulau Pinang sebelum ini.
"Kita harap kerajaan negeri (DAP) akan ubah semula kepada cara asal dengan menyerahkan urusan tersebut kepada majlis agama sepenuhnya dan tidak cuba mengatasi kuasa Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Beliau mengulas laporan media berhubung dakwaan wujud campur tangan kerajaan DAP Pulau Pinang dalam agama dan proses fatwa di negeri itu baru-baru ini.
Sumber: Bernama | 7 Feb. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan