Ahmad Fadhli bin Shaari |
SAYA membaca kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng seperti yang disiarkan oleh Berita Harian hari ini, 8 Februari 2017 yang menyatakan bahawa Kelantan adalah sebuah negeri gagal dan muflis, berikutan ditadbir oleh PAS, sebuah parti yang gagal. Saya sifatkan kenyataan Guan Eng tersebut hanyalah untuk mengalih tumpuan daripada kontroversi campur tangan terhadap fatwa yang berlaku di Pulau Pinang pada hari ini.
Di dalam usaha mengalih perhatian tersebut, Guan Eng menyerang Kelantan. Barangkali pada tanggapannya, dengan menjadikan Kelantan sebagai sasaran, seluruh perhatian ke Pulau Pinang ekoran keceluparannya sendiri akan terhenti seketika. Namun, meletakkan Kelantan sebagai sasaran hanya akan menjadikan Guan Eng sebagai bahan ketawa.
Guan Eng memfintah Kelantan sebagai sebuah negeri yang muflis pada saat negeri Kelantan berada pada kedudukan ke-3 tertinggi di Malaysia dari sudut pemilikan kediaman iaitu sebanyak 83.9%. Saya mencabar Guan Eng untuk mendatangkan statistik berapakah peratus pemilikan kediaman di Pulau Pinang bersama perbandingan di antara kekuatan ekonomi Bumiputera di negeri yang ‘sangat kaya’ itu. Saya barangkali boleh sedikit membantu Guan Eng mengingatkan beliau terhadap fakta bahawa mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (2014), populasi penduduk Pulau Pinang adalah 1.663 juta orang iaitu Cina (42.2 peratus), Melayu (41.3 peratus), India (9.8 peratus), bangsa-bangsa lain termasuk warga asing (6.7 peratus).
Bagaimanapun dari sudut pemilikan tanah, Pejabat Tanah dan Galian pada 2010 telah mengeluarkan statistik bahawa pemilikan tanah oleh kaum Cina di Pulau Pinang mengikut bilangan hak milik adalah sebanyak 64 peratus, manakala Melayu pula hanya 28 peratus dan India sebanyak 8 peratus. Ini bukan isu perkauman, ini adalah fakta dan timbanglah sendiri mengikut neraca yang sihat dan adil. Tepatkah peratus pemilikan tersebut jika dibandingkan peratus bilangan penduduk? Adalah lebih baik Kelantan yang dikatakan muflis ini jika dibandingkan dengan Pulau Pinang dari sudut menjaga hak pribumi bumiputera dan keadilan untuk rakyat.
Untuk makluman Guan Eng juga, sumber dari Khazanah Research Institute pada tahun 2016 juga menunjukkan Pulau Pinang sebagai negeri ketiga tertinggi dari sudut ketidakmampuan rakyat untuk membeli rumah. Sekalipun gaji bulanan (pertengahan) rakyat Pulau Pinang berada di angka RM4,702.00 namun harga rumah (pertengahan) di negeri tersebut ialah RM295,000.00 berbanding Kelantan yang walaupun gaji bulanan (pertengahan) di negeri ini ialah RM2.716.00 namun harga rumah (pertengahan) di negeri ini hanyalah sekitar RM157,740.00. Ia sekali gus meletakkan Pulau Pinang berada di tangga indeks 5.2 iaitu sangat tidak mampu dimiliki berbanding Kelantan hanya di tangga indeks 4.8. Apa yang lebihnya Pulau Pinang sehingga anda melabelkan kami sebagai negeri hampir bangkrap?
Suka untuk saya nyatakan kepada Guan Eng, Kelantan telah mencatatkan penurunan kadar kemiskinan sebanyak 1.8% daripada 2.7% pada 2012 kepada 0.9% pada tahun 2014. Pencapaian ‘negeri bangkrap’ ini juga dari sudut anggaran tahunan hasil negeri meningkat dari tahun ke setahun di mana pada tahun 2017, Kelantan mengunjurkanmemperolehi hasil sebanyak RM636.98 juta yang meliputi hasil cukai sebanyak RM179.67 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM308.02 juta dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM149.29 juta. Jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hasil sebanyak RM43.18 juta ataupun sebanyak 7.27% berbanding dengan anggaran hasil tahun 2016 sebanyak RM593.80 juta.
Adapun kegagalan pemimpin kami membeli rumah banglo yang dilengkapi dengan kolam renang, ia bukanlah kerana Kelantan tidak mempunyai wang dan hampir bangkrap, tetapi negeri ini sudah diasaskan di atas prinsip Membangun Bersama Islam. Prinsip ini sudah cukup menyejukkan tanpa memerlukan kolam renang untuk menurunkan suhu kepanasan. Hakikatnya, membuat perbandingan ‘apple to apple’ di antara dua buah kerajaan negeri ini adalah tidak adil kerana banyak lagi faktor perlu ditimbangkan, namun menuduh dengan bahasa kesat bahawa Kelantan ialah sebuah negeri yang bangkrap dan muflis ialah satu tuduhan yang sangat tidak berperikemanusiaan.
Kelantan terus ditadbir dengan baik oleh kerajaan PAS. Projek-projek persekutuan sekalipun ada yang mengalami diskriminasi, namun sebahagiannya berjalan sekalipun pemimpin negeri tidak berpegangan tangan mesra dengan pemimpin UMNO di atas lantai kaca. Cukup hanya sekadar bergambar bersama pun sudah dilambakkan dengan tuduhan ‘UG’ oleh lidah-lidah pengikut Guan Eng.
Saya hanya memilih menjawab beberapa serangan sahaja sebelum menjawab beberapa isu lain. Samalah seperti seperti kata Guan Eng sewaktu ditanya kenapa tidak menyaman Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, jawabnya “Kenapa perlu membuang masa..?”
Saya syorkan kepada Guan Eng, nikmatilah hari-hari terakhir sebagai seorang manusia yang bebas dengan sebaik mungkin. Bimbang nanti jika anda ‘ke dalam’ untuk kali kedua, lebih ramai yang bergembira daripada yang bersimpati dengan nasib tuan.
Sekian, wassalam.
AHMAD FADHLI BIN SHAARI
08 Februari 2017
Sumber: Facebook Ahmad Fadhli bin Shaari | www.facebook.com/ahmadfadhli1980
08 Februari 2017
Sumber: Facebook Ahmad Fadhli bin Shaari | www.facebook.com/ahmadfadhli1980
Tiada ulasan:
Catat Ulasan