Persekitaran Pantai Irama yang kotor disebabkan sikap pengunjung yang membuang sampah selain sisa sampah yang dibawa ombak selepas banjir di Bachok, Kelantan, baru-baru ini. |
BACHOK: Jijik dan meloyakan, itu keadaan Pantai Irama dekat sini apabila longgakan sampah sarap dibiar bersepah di pusat pelancongan tersebut .
Keadaan tersebut berlaku disebabkan tabiat serta sikap tidak bertanggungjawab pengunjung yang suka membuang sampah di merata-rata tempat sehingga mencemarkan imej daerah ini yang diiktiraf sebagai bandar pelancongan Islam di negeri ini.
Seorang pengunjung, Rohana Rashid, 41, berkata, pemandangan di pantai itu amat menyakitkan mata kerana keadaannya tidak terurus dengan longgakan sampah yang tidak dibersihkan.
Menurutnya, keadaan sedemikian amat memalukan kerana ia menggambarkan sikap dan tabiat pelbagai pihak dalam konteks bertanggungjawab menjaga kebersihan kawasan awam.
“Saya tidak pasti siapa sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap kebersihan di sini tetapi kelihatan banyak sampah yang berselerak selain persekitaran pantai yang ditimbuni kayu hanyut selepas banjir,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini, baru-baru ini.
Rohana berkata, longgokan kulit buah kelapa muda dan sisa makanan yang dibuang di kawasan sekitar tong sampah seharusnya diangkut secepat mungkin bagi mengelakkan pantai itu dipenuhi lalat serta bau yang kurang menyenangkan.
Sementara itu, Setiausaha Gabungan Perantau Bachok, Nasrul Mohamed berkata, faktor utama menyebabkan keadaan itu berlaku adalah disebabkan tahap kesedaran pengunjung yang rendah tentang tanggungjawab bersama untuk menjaga kebersihan.
“Kami sendiri sudah banyak membuat promosi dan kempen termasuk meletakkan banyak tong-tong sampah di sekitar pantai untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai aspek kebersihan namun matlamat kami tidak tercapai disebabkan kesedaran yang rendah.
“Tong sampah sudah disediakan kenapa dibuang merata tempat. Saya berjalan di pantai turut terpijak lampin pakai buang bersama najis.
“Pendidikan kebersihan dan amalan bertanggungjawab menjaga persekitaraan awam belum tercapai agaknya. Saya juga ingin menegur supaya kebersihan tandas awam juga perlu ditingkatkan,” katanya.
Setiausaha Majlis Daerah Bachok (MDB), Muhammad Zaidi Mat Jusoh berkata, masalah kurang kesedaran terhadap aspek kebersihan menjadi faktor utama berlakunya pencemaran sampah di pesisir Pantai Irama sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, MDB telah menyediakan beberapa orang pekerja kontrak untuk membersihkan kawasan ini setiap hari namun ianya gagal menampung longgokan sampah yang dibuang oleh ribuan pengunjung.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 6 Feb. 2017 | Terbitan 7 Feb. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan