MACHANG: Permohonan terhadap Rumah Bina Negara (Rumah BN) untuk generasi kedua luar bandar di negeri ini masih lagi berada di tahap rendah.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak 200 buah Rumah BN di negeri ini, namun sehingga kini pihaknya menerima 100 permohonan sahaja.
Beliau berkata, rakyat khususnya generasi kedua pekebun kecil harus merebut peluang ini untuk memiliki rumah sendiri dengan harga yang mampu milik.
“Kerajaan begitu bersungguh-sungguh membantu rakyat untuk memiliki rumah sendiri dengan menawarkan insentif sebanyak RM20,000 bagi setiap rumah yang berharga RM65,000.
“Namun peluang ini tidak direbut, malah ada segelintir pihak yang hanya ingin bantuan rumah percuma sepenuhnya daripada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pembangunan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Kelantan dan Bantuan Banjir Tahun 2017 di Sekolah Kebangsaan Pangkal Nering di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah RISDA negeri, Rusly Yaacob.
Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 5,000 unit Rumah BN untuk generasi kedua di seluruh negara termasuk 200 unit di negeri ini.
“Projek ini mula dilaksanakan tahun lalu dan dikendalikan oleh RISDA dan Felcra Berhad (Felcra) sebagai agensi pelaksana.
“Pembinaan rumah berkenaan sudah bermula dan mereka yang ingin memohon boleh mengisi borang di pejabat RISDA di setiap daerah,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata, pihaknya turut menafikan dakwaan yang mengatakan Rumah BN adalah untuk penyokong kerajaan sahaja.
“Apabila mendengar BN, pelbagai tuduhan dilemparkan, kononnya Rumah BN ini untuk golongan yang menyokong kerajaan sahaja.
“Tanggapan ini salah dan tidak berasas kerana kerajaan ingin membantu semua tanpa mengira siapa. Kenapa harus menidakkan usaha baik yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 7 Feb. 2017 | 8 Feb. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan