KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu hari ini menyita 377 unit berus cat disyaki diperbuat daripada bulu babi bernilai RM2,768 di 19 premis perniagaan barang binaan.
Pengarahnya Azlan Abd Samat berkata dari jumlah itu, 300 unit bernilai RM2,000 disita di sebuah premis di Dungun manakala 77 unit lagi bernilai RM768 disita dari dua premis di Kemaman.
"Barangan ini disita kerana disyaki menyalahi peraturan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 kerana tidak dilabelkan dengan betul selain penyimpanannya yang bercampur dengan bulu jenis yang berlainan.
"Peniaga dinasihatkan supaya membuat penandaan yang jelas dan tidak mencampurkan berus cat yang diperbuat daripada bulu babi dengan berus cat dari bulu lain jika ingin menjualnya," katanya kepada pemberita Selasa.
Seramai 16 anggota penguatkuasa KPDNKK Terengganu menyertai operasi itu yang diadakan secara serentak bermula pada pukul 9.30 pagi tadi di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Besut, Dungun dan Kemaman.
Mengulas lanjut, Azlan berkata walaupun pihaknya tidak menerima apa-apa aduan berhubung perkara itu, operasi itu dilaksanakan bagi melindungi kepentingan pengguna khususnya umat Islam.
"Pengguna dinasihatkan supaya membuat aduan rasmi kepada KPDNKK melalui hot line 1-800 886 800 atau http://www.kpdnkk.gov.my jika terdapat sebarang masalah.
"KPDNKK Terengganu juga akan meneruskan operasi ini secara berkala pada masa akan datang, " katanya.
Sumber: Bernama | 7 Feb. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan