TANAH MERAH: Ketika mula menjadi pemimpin, antara perkara yang sering kali diperjuangkan oleh Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz adalah untuk melihat sebuah persimpangan bertingkat dibina di bandar ini.
Sejak daripada tempoh itu, Ikmal Hisham tidak pernah berhenti berusaha untuk membawa projek tersebut yang sekali gus bakal menyelesaikan masalah kesesakkan lalu lintas di kawasan tersebut.
Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah itu sedar betapa seksa dan deritanya penduduk terpaksa menghadapi masalah berkenaan setiap hari dan perkara itu bukan baharu malah berlarutan sejak puluhan tahun lalu.
Akhirnya, usaha berterusan Ikmal Hisham itu membuahkan hasil apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 Ogos 2013 telah mengumumkan pembinaan projek tersebut dan kini kerja-kerja perlaksanaannya telah mula dilakukan sejak tahun lalu.
Dengan adanya persimpangan bertingkat di kawasan itu nanti, masalah kesesakkan lalu lintas luar biasa terutama pada waktu kemuncak dijangka selesai.
Malah pengguna juga tidak tidak perlu lagi berhenti di lintasan kereta api di tengah-tengah bandar tersebut sekurang-kurangnya 12 kali sehari seperti sebelum ini.
Selain itu, persimpangan bertingkat tersebut juga bakal memudahkan pengguna apabila tidak perlu lagi melalui kawasan bandar sekiranya hendak ke mana-mana di daerah ini.
Wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Nik Burhanudin Nik Yussof berkata, projek itu adalah penyelesaian jangka panjang dalam mengatasi masalah aliran trafik di kawasan bandar ini dan mampu meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
“Bandar Tanah Merah merupakan sebuah kawasan yang pesat membangun, limpahan kenderaan terutamanya pada waktu puncak telah mengakibatkan berlakunya kesesakkan lalu lintas yang teruk,” katanya.
Pengerusi Persatuan Pemandu Kereta Sewa Tanah Merah, Ismail Hassan, 64, berkata, antara kesulitan terpaksa dihadapinya sepanjang 43 tahun bergelar pemandu kereta sewa adalah masalah kesesakkan lalu lintas yang tidak pernah selesai di bandar ini.
Katanya, setiap hari, dia terpaksa menempuh perjalanan antara satu hingga dua jam untuk menghantar pelanggan ke mana-mana sekitar daerah berkenaan meskipun jaraknya hanya sekitar dua kilometer terutama ketika kereta api melalui kawasan tersebut yang menyebabkannya terpaksa menunggu lebih 20 minit.
“Masalah yang terpaksa ditempuh pengguna jalan raya itu bukan sehari, tetapi sudah lebih puluhan tahun lalu. Alhamdulilah, saya dengar sebuah persimpangan bertingkat akan dibina di kawasan ini dapat menyelesaikan masalah kesesakan ini.
“Aliran trafik yang lancar akan memudahkan urusan banyak pihak dan secara tidak langsung akan membantu merancakan pembangunan di bandar ini.
“Ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen kita yang berusah untuk menjadikannya kenyataan,” katanya.
Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, projek pembinaan persimpangan bertingkat tersebut sememangnya dinantikan oleh seluruh penduduk di daerah ini.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri yang meluluskan projek tersebut. Kita juga mengharapkan kerjasama semua pihak khususnya kerajaan negeri dalam merealisasikan pembinaan persimpangan bertingkat ini,”katanya.
Sumber: Bernama | Wilayah - Kelantan | 8 Feb. 2017 | Terbitan 9 Feb. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan