Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 7 Februari 2017

RM240,000 bantu pekebun kecil getah terjejas banjir di Kelantan

MACHANG: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM240,000 untuk membantu pekebun kecil getah yang menjadi mangsa banjir di seluruh negeri ini baru-baru ini.

Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata bantuan itu sedang disampaikan secara berperingkat membabitkan 2,400 mangsa terutama mereka yang tinggal di jajahan Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Machang.

"Bantuan itu berupa bahan makanan seperti minyak masak, gula, sardin, biskut dan beras bagi meringankan beban mereka selepas tidak dapat keluar menoreh getah berikutan musim tengkujuh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembangunan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Kelantan dan Bantuan Banjir di Sekolah Kebangsaan Pangkal Nering di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 150 mangsa banjir menerima bantuan masing-masing.

Ahmad Jazlan juga berkata kerajaan memperuntukkan RM41 juta kepada RISDA Kelantan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk membantu pekebun kecil getah meningkatkan pendapatan sepanjang tahun ini.

Beliau berkata antara projek pembangunan itu ialah program tanaman semula getah, projek tanaman kontan, bantuan input pertanian seperti baja dan peralatan menoreh, serta penyediaan prasarana termasuk jalan ke kebun.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan menafikan tuduhan sesetengah pihak bahawa projek Rumah Bina Negara bagi generasi kedua anjuran RISDA berkepentingan politik Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata tuduhan itu selain tidak tepat, juga mengelirukan kerana kerajaan tidak pernah mengeluarkan kenyataan projek itu hanya untuk penyokong BN sahaja.

"Semua pihak yang layak boleh memohon dan mengisi borang yang boleh diperoleh di pejabat RISDA berdekatan tanpa mengira fahaman politik," katanya.

Beliau berkata setiap rumah yang dilengkapi tiga bilik tidur itu berharga RM60,000 sebuah yang mana RM20,000 daripada jumlah itu adalah subsidi daripada kerajaan.

Sumber: Bernama | 7 Feb. 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan